http://www.sajiandapurbonda.blogspot.com

24 Disember 2011

AYAM MASAK ROS


Hari ini Kak Noor kembali dengan resepi untuk masakan keluarga. Rasanya dah seminggu Kak Noor tidak memuatkan resepi dalam blog ini. Dalam minggu ini Kak Noor agak sibuk dengan persiapan sekolah anak-anak. Maklumlah tak lama lagi sekolah akan buka. So.... masa untuk mengadap komputer haruslah disingkatkan, kalau tidak semua kerja tidak selesai. Tahu ajelah bila kita mengadap komputer dan membuka blog, dalam sedar tak sedar boleh sampai 2 - 3 jam.

Ayam Masak Ros ini memang terkenal sejak dulu lagi. Kalau di Utara, kebiasaannya disajikan dengan nasi minyak atau nasi tomato, jelatah, dan papadom. Bonda Kak Noor gemar memasak resepi ini semasa Hari Raya Kedua atau semasa adik-beradik semua berkumpul.




Bahan-bahannya:
1 ekor ayam - dipotong 14
3 senduk cili kisar
6 sudu makan sos cili
6 sudu makan sos tomato
3 sudu makan tomato puri
1/2 tin susu cair
3 batang serai - diketuk
2 sudu besar kismis hitam
Minyak secukupnya untuk menumis


Bahan-bahan untuk ditumis:

1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 inci kulit kayu manis
2 biji bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih


Bahan-bahan untuk dikisar:

4 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga separuh masak. Ketepikan.
2. Gunakan minyak gorengan ayam untuk menumis. Masukkan bahan-bahan tumisan, diikuti dengan kismis dan bahan-bahan yang dikisar. Masak sehingga naik bau dan garing.
3. Kemudian masukkan cili kisar bersama serai dan biarkan ia masak sehingga terbit minyak.
4. Apabila garing, masukkan sos cili, sos tomato, dan 1 cawan air. Kacau rata dan biarkan ia mendidih. Kemudian masukkan ayam yang siap digoreng. Kacau rata.
5. Tuangkan susu cair bersama tomato puri. Kacau hingga sebati dan biarkan masak hingga kuahnya agak pekat.
6. Perasakan dengan serbuk perasa, garam dan gula secukup rasa dan angkat.
7. Semasa dihidangkan, boleh taburkan sedikit kismis.



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...