Iklan Nuffnang

22 Mei 2019

DAPNYA.... RESEPI KARI AYAM PEKAT TANPA SANTAN STAIL KENCANA DEWI

Assalamualaikum.

Ramadhan yang ke-17 dan hari ini adalah cuti am Hari Nuzul Al-Quran bagi semua negeri kecuali Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan,dan Sabah & Sarawak. Alhamdulillah dah sampai pertengahan bulan Ramadhan rupanya. 


Seperti biasa bagi isteri@ibu mesti memikirkan juadah yang bakal dihidangkan untuk berbuka puasa nanti.  Ada masanya tekak ini dah jemu makan nasi semasa berbuka dan teringin nak berubah selera. So bazar Ramadhanlah tempat yang dituju. Di sana bermacam-macam menu ada, kalau ikutkan selera semua nampak sedap dan hendak dibeli.  Tetapi selepas berbuka makan sedikit pun dah kenyang.   

Sebenarnya tiada idea nak masak apa hari ini. Teringat video tutorial kari ayam pekat tanpa santan stail Kencana Devi yang diposkan dalam FB. Pagi tadi Encik Hasben ada beli ayam. Hmm.. Alhamdulillah dah siap dibasuhnya dan digaramkunyitkan lagi masa kita melelapkan mata sejenak pagi tadi.  Encik Hasben minta kita masakkan sup ayam aja, tapi bila tengok semua ayam telah digaramkunyitkan, nanti sup jadi  sup kuning pula.

Beberapa hari yang lalu viral kari ayam stail artis Kencana Dewi ini.  Ramai juga yang telah cuba resepinya dan puji sedap.  Kak Noor pun ada tonton videonya.  Memang teruja sangat nak cuba sebab ada kelainan pada resepinya. Biasanya kita guna resepi versi kemelayuan iaitu masukkan santan. Kita tumis dulu rempah sehingga garing, baru masukkan ayam dan santan. Stail KD pula tak letak santan dan rempah tidak ditumis; rempah hanya dimasukkan selepas ayam bergaul mesra dengan bahan-bahan yang dikisar.



Resepi Kari Ayam Pekat Tanpa Santan
Oleh:  Kencana Dewi

Bahan-bahannya:
1 kg. ayam – dibuang kulitnya
4 biji ubi kentang – dipotong dua (kalau nak letak lebih pun boleh)
Garam secukupnya

Serbuk maggi cukup rasa - saya tambah 

Bahan-bahan tumis:
Minyak secukupnya untuk menumis
1 biji bawang besar merah – dihiris
2 batang serai
2 biji cili merah – dipotong dua
4 sekawan (bunga cengkih, bunga lawang, biji pelaga, kulit kayu manis)
Jintan manis
5 biji cili kering
Beberapa helai daun kari

Bahan-bahan dikisar (blender):
Halia saiz besar 50 sen 2 ketul – (lebih lagi sedap)
5 ulas bawang putih
1 batang serai – dihiris dahulu
1 biji bawang besar
4 biji cili padi
1 biji tomato
Air secukupnya untuk mengisar

Bahan-bahan pes rempah:
4 – 5 sudu rempah kari daging/ayam
1 sudu besar serbuk cili – kalau nak pedas boleh tambah lagi
1 sudu besar serbuk kunyit
Air secukupnya untuk bancuhan rempah
(Bancuh semua rempah di atas sehingga tidak berketul)

Bahan-bahan akhir:
1 biji tomato – dipotong 4
Sedikit air perahan lemon

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak secukupnya.
2. Tumiskan empat sekawan, jintan manis, dan kacau. Kemudian masukkan cili kering dan serai dan kacau lagi. Masukkan daun kari dan akhir sekali cili merah. Kacau rata.
3. Selepas itu masukkan bahan-bahan yang dikisar. Kacau rata.
4. Kemudian masukkan ubi kentang. Kacau sehingga semua bahan sebati dan ubi kentang empuk sedikit.
5. Selepas itu masukkan ayam. Kacau rata dan masukkan garam secukup rasa. Kacau dan biarkan ia masak sedikit.
6. Bila ayam telah separuh masak, masukkan pes rempah diikuti dengan sedikit air. Gaul sehingga sebati dan masak sehingga mendidih.
7. Akhir sekali sebelum ditutup api masukkan buah tomato dan perahan lemon. Kacau rata.
8. Sedia untuk dihidangkan.