Iklan Nuffnang

22 Mei 2019

DAPNYA.... RESEPI KARI AYAM PEKAT TANPA SANTAN STAIL KENCANA DEWI

Assalamualaikum.

Ramadhan yang ke-17 dan hari ini adalah cuti am Hari Nuzul Al-Quran bagi semua negeri kecuali Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan,dan Sabah & Sarawak. Alhamdulillah dah sampai pertengahan bulan Ramadhan rupanya. 


Seperti biasa bagi isteri@ibu mesti memikirkan juadah yang bakal dihidangkan untuk berbuka puasa nanti.  Ada masanya tekak ini dah jemu makan nasi semasa berbuka dan teringin nak berubah selera. So bazar Ramadhanlah tempat yang dituju. Di sana bermacam-macam menu ada, kalau ikutkan selera semua nampak sedap dan hendak dibeli.  Tetapi selepas berbuka makan sedikit pun dah kenyang.   

Sebenarnya tiada idea nak masak apa hari ini. Teringat video tutorial kari ayam pekat tanpa santan stail Kencana Devi yang diposkan dalam FB. Pagi tadi Encik Hasben ada beli ayam. Hmm.. Alhamdulillah dah siap dibasuhnya dan digaramkunyitkan lagi masa kita melelapkan mata sejenak pagi tadi.  Encik Hasben minta kita masakkan sup ayam aja, tapi bila tengok semua ayam telah digaramkunyitkan, nanti sup jadi  sup kuning pula.

Beberapa hari yang lalu viral kari ayam stail artis Kencana Dewi ini.  Ramai juga yang telah cuba resepinya dan puji sedap.  Kak Noor pun ada tonton videonya.  Memang teruja sangat nak cuba sebab ada kelainan pada resepinya. Biasanya kita guna resepi versi kemelayuan iaitu masukkan santan. Kita tumis dulu rempah sehingga garing, baru masukkan ayam dan santan. Stail KD pula tak letak santan dan rempah tidak ditumis; rempah hanya dimasukkan selepas ayam bergaul mesra dengan bahan-bahan yang dikisar.



Resepi Kari Ayam Pekat Tanpa Santan
Oleh:  Kencana Dewi

Bahan-bahannya:
1 kg. ayam – dibuang kulitnya
4 biji ubi kentang – dipotong dua (kalau nak letak lebih pun boleh)
Garam secukupnya

Serbuk maggi cukup rasa - saya tambah 

Bahan-bahan tumis:
Minyak secukupnya untuk menumis
1 biji bawang besar merah – dihiris
2 batang serai
2 biji cili merah – dipotong dua
4 sekawan (bunga cengkih, bunga lawang, biji pelaga, kulit kayu manis)
Jintan manis
5 biji cili kering
Beberapa helai daun kari

Bahan-bahan dikisar (blender):
Halia saiz besar 50 sen 2 ketul – (lebih lagi sedap)
5 ulas bawang putih
1 batang serai – dihiris dahulu
1 biji bawang besar
4 biji cili padi
1 biji tomato
Air secukupnya untuk mengisar

Bahan-bahan pes rempah:
4 – 5 sudu rempah kari daging/ayam
1 sudu besar serbuk cili – kalau nak pedas boleh tambah lagi
1 sudu besar serbuk kunyit
Air secukupnya untuk bancuhan rempah
(Bancuh semua rempah di atas sehingga tidak berketul)

Bahan-bahan akhir:
1 biji tomato – dipotong 4
Sedikit air perahan lemon

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak secukupnya.
2. Tumiskan empat sekawan, jintan manis, dan kacau. Kemudian masukkan cili kering dan serai dan kacau lagi. Masukkan daun kari dan akhir sekali cili merah. Kacau rata.
3. Selepas itu masukkan bahan-bahan yang dikisar. Kacau rata.
4. Kemudian masukkan ubi kentang. Kacau sehingga semua bahan sebati dan ubi kentang empuk sedikit.
5. Selepas itu masukkan ayam. Kacau rata dan masukkan garam secukup rasa. Kacau dan biarkan ia masak sedikit.
6. Bila ayam telah separuh masak, masukkan pes rempah diikuti dengan sedikit air. Gaul sehingga sebati dan masak sehingga mendidih.
7. Akhir sekali sebelum ditutup api masukkan buah tomato dan perahan lemon. Kacau rata.
8. Sedia untuk dihidangkan.

14 Mac 2019

PUDING JAGUNG LUMUT


Assalammualaikum.

Hmmm… dah lama Kak Noor tak pos kat blog SDB ni. Last N3 bulan Disember 2018. Ini adalah catatan pertama untuk tahun 2019. Rindu sangat nak menulis tapi tidak kesampaian. Setiap kali bila masak sesuatu kat rumah, memang dah ada niat nak upload menu yang dimasak. Tapi bila berhadapan dengan komputer, dah blur, kureng idea. Mungkin disebabkan keletihan bekerja di siang hari dan faktor usia juga.


So hari ini Kak Noor cuba juga untuk poskan sesuatu yang simple untuk dikongsi bersama. Rasanya resepi puding jagung ini ramai yang dah tahu. Cuma mungkin ada pelbagai variasi. Untuk resepi puding jagung ini Kak Noor lebih suka menggunakan agar-agar. Ada juga resepi yang tidak menggunakan agar-agar; hanya menggunakan tepung, gula, dan jagung berkrim aja.


Asal resepi ini adalah puding jagung. Tetapi disebabkan kreativiti mencorakkannya dengan warna hijau, maka bertukarlah nama resepi kepada Puding Jagung Lumut. Warna hijau tu ibarat lumutlah yang bertempek. Pandai-pandailah kau orang nak corakkannya. Seronok juga sesekali dapat buat corak ni. 


Adunan muat loyang 10” x 10”penuh. Adalah lebih sedikit, masukkan di dalam bekas tupperware kecil. Tak sempat nak snap gambar puding masa di dalam loyang. Cuma dapat snap gambar dalam bekas tupperware yang dibawa ke pejabat untuk dijamu kepada rakan-rakan. Tu pun snap masa kat pejabat. Pakat-pakat merasa. Rezeki dikongsi bersama.

Dah selesai mukadimmah, kita ke bab resepi pula. Jom kita cuba resepi yang mudah dan ringkas ini. 

Puding Jagung Lumut
Oleh: Kak Noor@sajiandapurbonda


Bahan-bahannya:
20 gram agar-agar tali
1200 ml air
1 cawan gula pasir
3 skop ais krim jagung
Pewarna hijau

Bahan-bahan disatukan di dalam blender (diblend):
1 tin jagung berkrim
1 tin susu sejat
1 biji telur organik gred A
4 sudu besar tepung kastard
1 sudu the perasa jagung / perasa pisang
Secubit garam

Cara-caranya:
1. Basuh agar-agar terlebih dahulu. Masak agar-agar bersama air sehingga larut sepenuhnya.
2. Masukkan gula dan masak lagi sehingga gula larut. Kemudian tapis.
3. Masukkan semula agar-agar yang telah ditapis di dalam periuk. Masukkan juga bahan-bahan yang telah diblend tadi. Guna api perlahan. Kacau selalu supaya tidak melekat.
4. Setelah adunan mendidih, masukkan tiga skop ais krim jagung. Kacau lagi sehingga mendidih sekali lagi.
5. Setelah mendidih tuangkan adunan di dalam loyang. Ambil sedikit daripada adunan tadi untuk diwarnakan dengan warna hijau.
6. Biarkan adunan di dalam loyang tadi sejuk sedikit sebelum dituang/dititik adunan warna hijau di atasnya. Coraknya bergantung kepada kreativiti masing-masing.
7. Masukkan ke dalam peti ais. Apabila telah keras bolehlah dipotong. 


SELAMAT MENCUBA