Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu.
Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.
Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering, dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.
Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Daging, kita masak kuahnya sampai kering.
Antara bahan-bahan yang dikisar halus |
Resepi Rendang Tok Versi Ayam ini adalah inspirasi dan eksperimen tokok tambah Kak Noor sendiri setelah berpenat lelah menggoggle resepi-resepi rendang tok yang ada dalam internet. Setelah penat buat research (macam buat tesis pulak dah... ) dan mentelaah resepi-resepi sekalian yang ada, maka ia dikombinasikan dengan resepi warisan keluarga, maka terhasillah Rendang Tok Versi Ayam ini.
Rendang Tok Ayam yang telah siap ditempah - Ready for Delivery |
Resepi inilah yang Kak Noor gunakan untuk jualan. Customer yang pernah menempah rendang ini kata sedap dan repeat order. Rendang Tok Versi Ayam ini Kak Noor jual dengan harga RM60.00 untuk seekor ayam anggaran 2 kilo. Harga ini dinobatkan setelah mengambil kira harga ayam di pasaran ketika ini yang melambung naik secara tiba-tiba, di mana dahulunya cuma RM4.50 - RM6.00 sekilo, sekarang ini telah mencecah RM9.00 sekilo. Di samping itu penggunaan bahan-bahannya yang boleh dikatakan `meriah' juga.
Santan Sawit Khalis, pengganti santan kelapa. |
Salah satu cara untuk menghasilkan rendang yang sedap ialah penggunaan santan yang mencukupi. Kak Noor guna santan sawit Khalis kerana santannya pekat dan lebih ekonomik. Telah banyak kali Kak Noor guna dalam masakan rendang dan juga masakan harian, hasilnya memang sedap. Lagipun ia rendah kolestrol dan baik untuk kesihatan.
Bagi sesiapa yang teringin nak merasa Rendang Tok Versi Ayam, Sajian Dapur Bonda bolehlah roger Kak Noor. Tempahan di hujung minggu dan cuti am sahaja. Hari lain Kak Noor ada tugas di pejabat, masuk jam 0830, dan balik jam 1730. Tak sempat nak `berperang' di dapur bila balik kerja. ... dan lagi satu takut rendangnya tak menjadi. Biarlah bila kita masak tu.. dalam keadaan mental yang tenang, ceria, baru masakan menjadi enak dan sedap.
Dan... bagi sesiapa yang nak save bajet dan nak ingin mendalami skil memasak rendang, boleh bereksperimen sendiri mencuba resepi ini. Kak Noor dengan seiikhlas hati berkongsi resepinya di sini. Kalau boleh Kak Noor nak ambil video dan tunjuk step by step cara memasaknya, tetapi masa senantiasa mencemburui daku. Hanya sempat snap gambar aje untuk tutorial. Harap dapat dimanfaatkan bersama.
Selamat Mencuba.
Rendang Tok Versi Ayam
Inspirasi: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda
Bahan-bahan A:
Seekor ayam segar (anggaran 2 kg) – dipotong 12
2 cawan santan sawit KHALIS + 1 cawan air = 3 cawan santan
(kalau guna santan kelapa, gunakan tiga cawan pati santan)
6 sudu besar kerisik
5 keping asam gelugor
4 keping daun kunyit – dihiris halus
5 – 6 helai daun limau purut
1 batang serai – dititik
3 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam
Bahan-bahan B (dikisar basah):
8 sudu besar cili kering kisar
4 biji bawang besar – dipotong kecil terlebih dahulu
4 ulas bawang putih
6 batang serai – dipotong serong
2 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
Air secukupnya
Bahan-bahan C (rempah):
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu keci serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu besar serbuk garam masala
1 sudu kecil serbuk rempah masak hitam – Kak Noor guna jenama Az-Zain
Air secukupnya
Persediaan Sebelum Memasak:
1. Ayam dipotong 12 dan dibuang semua kulit. Kemudian lumurkan ayam dengan 3 sudu besar tepung gandum dan 2 sudu cuka. Biarkan 2 minit. Kemudian basuh bersih dan toskan (Kaedah ini selalu digunakan oleh Kak Noor untuk menghilangkan bau hanyir ayam dan isinya kembali pejal setelah dibasuh – petua daripada bonda).
2. Perap ayam bersama 3 sudu besar rempah daging dan 1 sudu besar serbuk kunyit selama lebih kurang 20 minit.
3. Panaskan minyak dan goreng ayam ½ masak. Angkat dan toskan.
4. Masukkan kesemua Bahan B di dalam blender basah dan kisar sehingga semua bahan lumat.
5. Satukan kesemua Bahan C dan bancuh dengan sedikit air sehingga menjadi pes.
Cara-cara Memasak:
1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis serai sehingga layu sedikit.
2. Kemudian masukkan bahan kisar B, kacau rata. Diikuti dengan bahan C (pes rempah). Kacau dan masak sehingga terbit minyak. Gunakan api sederhana.
3. Selepas itu tuang santan dan kacau. Masak sehingga mendidih.
4. Kemudian masukkan ayam, diikuti dengan asam keping, daun limau purut, kerisik, gula perang, gula putih, dan garam. Kacau rata sehinga semuanya rasa sebati.
5. Bila ayam telah masak dan kuah agak pekat, masukkan hirisan daun kunyit ke dalam rendang. Kacau sehingga sebati dan biarkan mereneh 1 minit di atas dapur sebelum tutup api.
6. Ayam Rendang Tok Ayam telah siap untuk dihidangkan.
Ulasan