Kebiasaannya bila setiap kali selepas makan nasi, kita mesti inginkan sesuatu yang manis sebagai pencuci mulut seperti buah-buahan, agar-agar, dan puding. Dan pencuci mulut yang paling mudah untuk disediakan ialah agar-agar atau puding. Cepat dimasak, dan sedia dimakan. Pencuci mulut seperti agar-agar dan puding hendaklah disimpan di dalam peti ais supaya `kenyamananan'nya dapat dirasai ketika disuapkan ke dalam mulut.
Hasrat untuk menyediakan puding ini timbul apabila Kak Noor `tersinggah' di blog Sajian Kaseh semasa blog walking. Berdasarkan resepi di blog ini, Kak Noor mengolah resepi puding ini mengikut citarasa Kak Noor dan kesesuaiannya.
Bahan-bahannya:
20 gm agar-agar stripe
6 cawan air
2 cawan gula pasir
2 biji telur
2 sudu besar tepung kastard
1 tin susu cair
1 sudu kecil esen vanilla
120 gm margerin
*Pewarna kuning/merah/coklat
(* Bagi warna kuning Kak Noor gunakan pewarna yellow egg, merah - sirap ros, dan coklat - sirap coklat)
Penyediaannya:
1. Masak agar-agar dengan air sehingga hancur di dalam periuk. Kemudian masukkan gula dan masak sehingga gula larut. Kemudian tapiskan ke periuk lain.
2. Satukan susu cair, telur, dan tepung kastard di dalam blender. Blend sehingga bahan-bahan tadi betul-betul larut dan sebati halus.
3. Masukkan bahan-bahan yang telah diblend (No. 2) tadi ke dalam periuk agar-agar dan kacau rata dan sebati.
4. Letakkan semula di atas dapur. Gunakan api yang sederhana. Masak sehingga mendidih. Semasa adunan berada di atas dapur, ia hendaklah dikacau dan jangan ditinggalkan, ditakuti adunan akan berketul.
5. Setelah adunan mendidih, masukkan esen vanilla dan margerin. Kacau lagi sehingga adunan agak pekat. Kemudian tutup api.
6. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian; warna kuning, merah, dan coklat.
7. Sediakan loyang. Tuangkan adunan berselang-seli di dalam loyang untuk mendapatkan corak.
Ulasan
Cantik rupa puding marble ni.Nanti bolehlah saya cuba resepi ni.Tq berkongsi.