Langkau ke kandungan utama

Ayam Masak Madu Berkicap Ala Mamak

Hujung minggu yang lalu, Kak Noor sempat singgah di restoran nasi kandar di Tesco Ampang.  Ingat nak pekena mee rebus sahaja, tetapi bila lihat lauk ini dalam tray yang tengah berasap-asap, teringin pula nak makan nasi.  Lauk ni memang menjadi kegemaran orang-orang Utara, termasuklah Kak Noor sendiri. Tak sah kalau lauk ni tak ada dalam restoran mamak.  So... bila balik rumah, timbul idea nak masak lauk ni.  Kak Noor sempat masak lauk ni semalam (sebelah malam le....) untuk santapan anak-anak hari ini.  Lagi satu nak bagi tahu, kalau masak lauk ala mamak ni, daun kari WAJIB digunakan, baru timbul aromanya...

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (dipotong ikut suka). Bersihkan dan sedia untuk goreng.
2 sudu besar gula pasir
Garam secukup rasa
1 sudu kecil perasa Tumix
Kicap manis secukupnya
3 sudu besar sos cili
2 biji tomato (setiap biji dibelah 4)
2 biji cili hijau
Hirisan bawang besar 2 biji
4 - 5 sudu besar madu
1 tangkai daun kari
100gm buah kismis
Minyak masak untuk menumis
Bawang goreng dan daun pudina untuk taburkan di atas hidangan.

Bahan-bahan untuk dikisar menjadi pes:
Cili kering yang telah dikisar (anggaran RM2.00 cili kering)
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
2 inci halia

Bahan-bahan untuk menumis:
1 biji hirisan bawang besar saiz sederhana
2 ulas hirisan bawang putih
2 inci hirisan halia
5 biji buah pelaga
3 kuntum cengkih
3 kuntum bunga lawang
1 inci kulit kayu manis
3 tangkai daun kari

Cara penyediaannya:
1.  Bersihkan ketulan ayam, masukkan kunyit dan garam (sedikit) dan goreng.  Gorengan tidak perlu aring atau terlalu lama, cukup kadar masak 3/4 sahaja.  Asingkan.
2.  Panaskan kuali dan masukkan minyak tiga sudu besar.  Gorengkan kismis dalam api yang sederhana, jangan hanguskan gorengan ini.  Asingkan gorengan ini.
3.  Tambahkan satu sudu besar minyak dan masukkan semua bahan-bahan menumis dan kacau sehingga kekuningan dan mengeluarkan bau yang harum.
4.  Apabila gorengan mengeluarkan haruman, masukkan pes tadi.  Kacau rata campuran ini dan tutup kuali dengan tudung periuk.  Biarkan campuran ini mendidih dan pecah minyak (minyak timbul di atas permukaan pes).   Setelah pecah minyak, masukkan 3 sudu besar sos cili, garam, gula, dan perasa secukup rasa.  Sekiranya terlalu likat, bolehlah campurkan sedikit air.  Biarkan campuran ini masak seketika, kemudian masukkan kicap manis.
5.  Masukkan ayam yang telah sedia digoreng, kacau rata supaya kuah ini dapat serap ke dalam isi ayam.  Kecilkan api dapur dan masukkan buah tomato, hirisan bawang besar, cili hidup dan madu dan kismis yang telah digoreng dan daun kari. Kacau serata.
5.  Keluarkan dari kuali dan hidangkan.  Taburkan bawang goreng dan daun pudina (Kak Noor tak sempat nak beli daun pudina semalam, so tak letak le...)

Hasilnya..... kita scroll kat bawah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa...

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlu...

Kari Ikan Pari

Bahan-bahannya:  500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping 10 batang bendi 1 biji terung panjang – dipotong serong 1 biji tomato – dibelah empat 2 biji cili hijau 4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil 1 sudu besar pati asam jawa 1 cawan pati santan + 2 cawan air Garam secukup rasa Minyak secukupnya untuk menumis Bahan mesin (A): 4 sudu besar rempah kari 1 sudu kecil jintan manis 1 sudu kecil jintan putih 1 sudu kecil serbuk cili 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih Air secukupnya (Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus) Bahan tumis (B): 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih 1 sudu besar halba campur 2 tangkai daun kari Cara-cara memasak: · Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan. · Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minya...