Kesinambungan dari menu sebelum ini iaitu Udang Masak Masala, timbul idea untuk menggabungkan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak rendang pedas dengan bahan-bahan yang digunakan untuk masak masala bagi menghasilkan satu menu gabungan iaitu rendang masala. Wah..! rajin betul Kak Noor minggu ni kan. Bukan selalu ada mood macam ni.
Memang seronok menghasilkan sesuatu yang baharu hasil daya kreativiti kita. Tapi itupun ikut mood kita juga. Kalau mood kita baik, apapun yang kita buat, Insya Allah akan sempurna kejadiannya. Kalau kita dalam keadaan kurang/tak ada mood dinasihatkan janganlah dipaksa diri mencuba sesuatu yang baharu kerana kemungkinan hasilnya tidak sempurna dan tidak seperti yang kita inginkan, ataupun tidak menjadi langsung (through my experience).
Rendang Ayam Masala merupakan menu eksperimen Kak Noor semasa cuti hari Ahad lalu. Hasilnya memberi suatu kepuasan kepada diri ini apabila suami, anak-anak, dan juga rakan-rakan memberi maklum balas yang positif. Sempat juga Kak Noor bawa rendang ini ke pejabat untuk `food tasting'. Selain keluarga sendiri yang merasai masakan kita, naklah orang luar beri pandangan juga kan! Rendang Ayam Masala ini selain sedap dimakan bersama nasi putih, ia juga sesuatu dijadikan set hidangan bersama nasi beriani, nasi tomato dan juga nasi lemak. Boleh juga dicicah dengan ketupat nasi, ketupat pulut, dan lemang.
Kebiasaannya bila kita masak rendang, kita akan satukan semua bahan dalam kuali besar dan kacau sehingga sebati dan masak sehingga kuahnya pekat atau kering. Tetapi bagi rendang ayam masala ini, bahan-bahannya perlu ditumis dahulu satu persatu. Banyak juga persediaannya sebelum kita mula memasak. Tetapi kalau kita inginkan sesuatu hasil yang memuaskan, kita perlu sabar melakukannya. Rendang Ayam Masala ini boleh dimasak berkuah dan juga boleh dimasak sehingga kering. Terpulanglah kepada citarasa masing-masing ye!
Kak Noor ingin kongsikan resepi ini dalam Sajian Dapur Bonda. Semoga menu ini dijadikan sajian keluarga dan dapat menambahkan koleksi rendang yang sedia ada.
Jom kita lihat bahan-bahannya yang digunakan.Bahan-bahannya:
1 ekor ayam – dipotong 12 atau 16
Sedikit kunyit serbuk
3 sudu besar serbuk rempah masala - boleh dibeli siap atau dibuat sendiri
2 sudu besar jus limau nipis
2 biji bawang - dihiris
250 gram kerisik
5 – 7 helai daun limau purut
2 batang serai dititik
4 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
1 ½ cawan santan kelapa sawit
2 cawan air
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis
Bahan-bahan dikisar berasingan:
Bahan A (disatukan dan dikisar):
8 ulas bawang putih
60 gram halia
Bahan B:
5 biji bawang besar
Bahan C (disatukan dan dikisar):
10 batang serai – dihiris
50 gram kunyit hidup - dihiris
40 gram lengkuas - dihiris
Bahan D (disatukan dan dibancuh menjadi pes):
2 sudu besar serbuk rempah daging - Kak Noor guna cap BABA's
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1/2 sudu besar serbuk kas-kas (opsyen)
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk lada hitam kasar
Sedikit air untuk membancuh.
Penyediaannya:
1. Ayam dilumurkan dengan serbuk kunyit, serbuk rempah masala, satu sudu besar Bahan A (kisaran bawang putih dan halia) dan jus limau nipis. Ketepikan dan perapkan selama 1 jam.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Bila minyak telah panas, masukkan hirisan bawang besar. Apabila bawang telah layu, masukkan pula bahan A. Selang 1 minit masukkan bahan B, dan selang 1 minit lagi diikuti bahan C. Kacau sehingga naik bau dan bahan kisaran sedikit layu.
3. Seterusnya masukkan bahan D (pes rempah). Perlahankan api dan masak sehingga rempah garing/terbit minyak.
4. Kemudian masukkan santan, diikuti dengan 2 cawan air dan serai. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.
5. Selepas itu masukkan perapan ayam tadi. Masukkan gula merah, gula putih, asam gelugor, dan daun limau purut. Kacau rata. Gunakan api perlahan.
6. Semasa ayam ½ empuk, masukkan kerisik dan diikuti dengan garam. Kacau rata dan masak sehingga ayam empuk. Sekiranya anda tidak mahu rendang anda berkuah, boleh dibiarkan mereneh di atas dapur sehingga ia pekat dan berpalut.
SELAMAT MENCUBA...