Langkau ke kandungan utama

Karikurma Ayam; eksperimenku di dapur menghasilkan satu menu untuk sajian keluarga.


Assalamualaikum.




Rasa pelik tak dengan nama menu yang dipaparkan? Bila tengok gambar di atas mostly nampak macam masakan kari ayam kan? Memanglah kari ayam sebab Kak Noor menggunakan bahan utama dalam masakan ini iaitu serbuk rempah kari daging. Pun begitu menu ini mempunyai kelainan dari segi rasanya selepas dimasak. Untuk mempelbagaikan rasa kuah berempah, Kak Noor turut menggunakan serbuk rempah kurma dalam masakan ini. 




Tak salah kalau kita  `bereksperimen' untuk mencuba menghasilkan satu menu yang baharu  dan kelaianan rasanya.  Apapun hasilnya, ia masih sedap dimakan. Karikurma  merupakan gabungan serbuk rempah kari daging dan juga serbuk rempah kurma. Maka jadilah nama masakan ini Karikurma. Ha...ha... sempoikan! Satu nama baharu dalam menu masakan.




Cara memasaknya lebih kurang sama seperti kita memasak kari ayam.  Kali ini Kak Noor menggunakan susu sejat bagi menggantikan santan. Cubalah resepi ini untuk merasa kelainannya. Bila dah cuba masak sendiri, baru tahu hasilnya; sedap ataupun tidak. Insya Allah sedap.

Jom kita ke resepi Karikurma Ayam ini.

Bahan-bahannya:

1 kg. ayam – dipotong 12 atau 16
5 biji ubi kentang – dipotong 2
1 batang serai – dititik
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1 inci halia + 4 ulas bawang putih – dikisar
2 biji bawang besar - dikisar
2 batang daun kari
4 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar rempah kurma
1 sudu besar serbuk cili
1 tin susu sejat
2 tin air (menggunakan sukatan tin susu sejat)
1 kiub ayam
1 biji tomato saiz sederhana - dipotong kiub/kecil
Garam dan gula secukup rasa.
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-caranya:


1. Satukan serbuk rempah kari daging, serbuk rempah kurma dan serbuk cili. Bancuh dengan air untuk menjadikannya pes.


2. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan serai, diikuti dengan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Kacau, kemudian masukkan kisaran halia dan bawang putih, diikuti dengan kisaran bawang besar dan daun kari. Tumis sehingga naik bau dan bahan-bahan tumisan kekuningan.

3. Kemudian masukkan pes rempah. Kacau rata dan perlahan api. Biarkan rempah mereneh di atas dapur sehingga rempah garing/terbit minyak.

4. Selepas rempah garing masukkan ayam. Kaupbalikkan ayam dengan rempah. Tutup periuk dan biarkan ia mereneh di atas dapur lebih kurang 10 minit.

5. Kemudian masukkan susu sejat dan air. Kacau rata. Masukkan kiub ayam Knorr dan buah tomato.  Masak di atas dapur sehingga kuah mendidih.

6. Selepas itu masukkan potongan ubi kentang.  Perisakan dengan garam dan gula.  Masak di atas dapur sehingga ayam masak dan ubi empuk. 

7. Akhir sekali masukkan cili padi hijau dan cili hidup. Kacau dan tutup api.

Catatan popular daripada blog ini

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...

SAWI RAJA GORENG SOS TIRAM

Tak ramai orang kenal sayur ni kan?  Kebiasaannya kalau kita masak sayur, hanya terlintas di fikiran kita sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, kobis, dan kailan yang telah kita kenali sejak dahulu lagi. Tetapi sayur ini? Menjadi teka teki akan namanya.  Kak Noor sendiri pun tak tahu nama sayur ini, pakai beli sahaja disebabkan teruja dengan kesegaran dan kehijauannya.  Beli sayur ni kat NSK Selayang dan ramai orang Cina yang membelinya. So.. hari tu sempat Kak Noor tanya seorang perempuan Cina, sedap x sayur ni dan macam mana masak? Katanya sedap dan dengan murah hatinya dia berkongsi cara-cara untuk memasak sayur ini. Tapi... Kak Noor tak tanya pulak nama sayur ini kepadanya. Memandangkan ketidaktahuan nama sayuran ini, maka ter`pending'lah N3 untuk resepinya.  Kak Noor akses internet untuk mencari nama bagi sayur ini.  Puas jugalah mencari... sehingga terpaksa Kak Noor letakkan dalam FB gambar sayur ini bertanyakan kepada rak...