Assalamualaikum rakan-rakan semua.
Menu ini Kak Noor sajikan untuk keluarga pagi tadi. Rancangan asal nak buat nasi lemak tetapi tiada santan kat rumah. Pagi-pagi begini malas nak pergi ke kedai mencari santan. Kalau dah keluar, alamatnya lewatlah Kak Noor pulang ke rumah. Bila pula nak sediakan sarapan pagi untuk keluarga? Banyak lagi kerja rumah yang perlu dibereskan sebelum menjelangnya hari esok.
So menu yang paling mudah disediakan ialah nasi tumis aje…. Lagipun hasben dan anak-anak Kak Noor memang gemar nasi tumis ini. Rasa macam makan nasi kenduri pulak. Masak banyak-banyak dan boleh makan hingga tengah hari. Lauknya pula ringkas sahaja. Tak ade ayam dan daging pun… Cuma sambal tumis ikan bilis + telur. Goreng ikan jeruk tenggiri untuk cik hasben.
Nasi Tumis Planta ni sebenarnya bewarna kuning. Tetapi dah jadi warna oren. Sekali tengok gambar macam nasi tomato kan! Sebenarnya semalam Kak Noor nak beli pewarna kuning (yellow egg), tetapi masa nak masak tu baru sedar dah tersalah ambil. Al-maklumlah dah nak masuk 5 series ni, bertambah rabun kalau tak pakai kacamata. Tapi apalah, menarik juga nasinya kalau guna warna oren ni.
Resepi nasi tumis planta lebih kurang juga penyediaannya macam nasi planta yang pernah Kak Noor poskan dalam blog ini. Cuma kali ini Kak Noor masukkan sedikit daun kari untuk mendapatkan citarasa yang berlainan. Cara memasaknya Kak Noor guna rice cooker. Tumis terus di dalamnya.
Untuk resepi sambal tumis ikan bilis dan telur ini, resepinya telah pernah Kak Noor poskan. Tapi tak apelah ulang tayang semula di sini. Kebiasaannya cili kisar yang Kak Noor gunakan adalah daripada cili kering yang telah siap dikisar dalam kuantiti yang banyak dan disimpan di dalam peti ais. Mudah dan cepat. Bila nak guna, cedok aje dan campur dengan bahan-bahan lain seperti bawang dan kisar semula.
Lagi satu kalau kita menggunakan chopper, tak perlu masukkan air untuk mengisar. Kalau perlu mungkin sedikit sahaja untuk memudahkan pergerakan pisau pengisar. Kak Noor lebih suka kaedah ini sebab bawang tidak dikisar halus sangat. Lagipun bila kita menumis cili, tak perlu menunggu masa yang lama untuk terbit minyak.
NASI TUMIS PLANTA
Bahan-bahannya:
4 cawan beras – dibasuh bersih dan ditoskan.
Air secukupnya untuk memasak nasi
2 inci halia – diketuk
1 tangkai daun kari
1 kiub ayam Knorr – brand lain pun ok, tetapi mesti perasa ayam
Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan ditumis:
2 senduk nasi planta (agak-agak)
2 biji bawang besar – dikisar menggunakan chopper
3 ulas bawang putih – dihiris
1 batang serai – dititik
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
Penyediaannya:
1. Basuh beras dalam periuk yang berlainan dan ditoskan.
2. Panaskan rice cooker. Masukkan planta dan biar ia cair di dalam periuk.
3. Kemudian tumis kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, dan serai. Bila telah naik bau, masukkan bawang besar dan bawang putih. Kacau lagi sehingga bawang layu.
4. Selepas itu masukkan beras dan gaul rata dengan bahan tumisan tadi lebih kurang 1 minit.
5. Masukkan air secukupnya menggunakan sukatan biasa kita memasak nasi dan kacau. Masukkan kiub ayam, gula, garam, daun kari, halia, dan pewarna kuning/oren. Kacau rata dan biar ia masak seperti biasa.
6. Bila nasi telah masak, gemburkan ia dan biarkan ia panas dalam rice cooker. Bila nak makan, baru diambil. Sedap dimakan sewaktu masih panas.
SAMBAL TUMIS IKAN BILIS CAMPUR TELUR
Bahan-bahannya:
10 biji telur direbus
200 gram ikan bilis kopek
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
3 sudu besar gula perang
2 sudu besar gula putih
2 – 3 keping asam gelugor
1 biji bawang besar - dipotong bulat
Minyak secukupnya untuk menumis
Bahan-bahan dikisar (menggunakan chopper):
4 senduk nasi cili kisar
1 genggam ikan bilis yang telah dibersihkan.
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
Penyediaannya:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis ¾ garing dan ketepikan.
2. Panaskan periuk. Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan kacau rata. Tutup periuk dan masak di atas api sehingga terbit minyak.
3. Masukkan 1 cawan air dan kacau rata. Masukkan gula perang, gula putih dan asam gelugor. Biar kuah mendidih. Rasa sambal; mesti cukup citarasanya.
4. Bila telah cukup rasa, masukkan ikan bilis dan telur. Perlahankan api. Kacau dan biar ia mereneh di atas dapur beberapa minit lagi sehingga kuah sambal mendidih sekali lagi.
5. Akhir sekali sebelum ditutup api, masukkan bawang besar yang dipotong bulat tadi dan kacau rata.