Sejak seminggu lalu Kak Noor teringin sangat nak makan bubur lambuk. Apalah sangat kan.. kalau setakat satu bekas tu boleh beli kat Kampung Baru saja.
Tapi kalau buat sendiri ramai yang boleh makan. Lagipun dah lama tak masak bubur ini. Sejak-sejak akhir ini anak-anak pun tak berapa selera nak makan nasi. Masak nasi dan lauk pun tak disentuh. Mungkin disebabkan cuaca panas, hilang selera nak makan nasi dan lebih kepada kudapan.
Projek mengacau bubur lambuk sendirian berhad ini bermula selepas Zohor, hari Sabtu lalu. Gara-gara tunggu Encik suami bawa balik tulang daging lembu. Bubur lambuk ini Kak Noor masak menggunakan periuk tekanan Noxxa memandangkan penggunaan tulang daging lembu dalam bubur ini.
Di sini Kak Noor kongsi resepi bubur lambuk menggunakan periuk Noxxa. Memandangkan langkah-langkah bergambar telah Kak Noor kongsi di FB Jom Masak Bersama Sajian Bonda, maka ia boleh diakses dengan mengklik link ini.
Resepi Bubur Lambuk Tulang Lembu
(Versi Periuk Noxxa)
oleh: Sajian Dapur Bonda
Bahan-bahan A:
3 cawan beras- cuci dan tos
Segenggam udang kering - cuci dan tos
1 sudu besar serbuk Maggi Cukup Rasa
1 cawan santan pekat – Kak Noor guna santan sawit KHALIS
Daun sup dan daun bawang - diracik halus
2 batang serai – diketuk
I inci halia - diketuk
Beberapa biji lada hitam
Bahan-bahan B:
800 gram tulang lembu - cuci dan tos
*2 biji bawang besar
*3 ulas bawang putih
*1 ½ inci halia
1 inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 sudu besar pes soto – Kak Noor guna Pes Soto Den
Air secukupnya
(Bahan-bahan ini diblend kasar menggunakan chopper ataupun ditumbuk kasar)
Cara-cara Merebus Daging dan Memasak Nasi:
1. Masukkan kesemua bahan B di dalam inner pot periuk Noxxa. Tutup penutup dan halakan tombol kepada `pressure'. Set butang `high pressure' selama 60 minit dan tekan butang `on'.
2. Selepas 60 minit akan berbunyi `beep'. Bebaskan wap dengan menghalakan tombol kepada `steam'. Pastikan wap dibebaskan sepenuhnya, baru tudung periuk boleh dibuka. Tekan butang `off'.
3. Masukkan beras, Tambahkan air secukupnya. Kacau rata.
4. Masukkan juga serai dan halia yang diketuk, dan satu sudu besar serbuk Maggi Cukup Rasa. Tutup penutup dan halakan tombol kepada `pressure'. Set butang `high pressure' selama 30 minit dan tekan button `on'.
4. Selepas 30 minit akan berbunyi beep. Bebaskan wap (rujuk langkah 2). Beras telah kembang sepenuhnya. Masukkan santan, lada hitam, garam, dan udang kering. Kacau rata dan set butang `stir fry' dan tekan on. Masak sehingga mendidih. Tekan `off'.
TUMIS DARAT
Bahan-bahan untuk tumis darat |
Bahan-bahan Tumis Darat:
2 biji bawang besar – dihiris nipis
3 ulas bawang putih – dihiris nipis
Sedikit halba
1 sudu besar minyak sapi
Sedikit minyak masak
Cara-caranya:
1. Setelah bubur siap dimasak, bolehlah kita buat bahan untuk tumis darat pula.
2. Panaskan kuali yang berisi minyak sapi dan minyak masak.
3. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga bawang layu. Kemudian masukkan sedikit halba. Goreng sehingga bawang bertukar warna keperangan. Tutup api.
4. Kemudian tuang ke dalam periuk bubur yang telah siap dimasak tadi. Tutup periuk sebentar agar aroma wangi menyerap ke dalam bubur.
5. Bila nak makan atau dihidangkan, kacau bubur terlebih dahulu supaya bahan-bahan tumisan tadi bergaul rata. Tabur daun sup, daun bawang, dan bawang goreng bila nak makan.
Ulasan