Langkau ke kandungan utama

Kurma Ayam, salah satu hidangan wajib kenduri kahwin orang-orang Utagha

Assalamualaikum dan Salam Ceria + Salam Santai di Hujung Minggu. Semoga kita semua senantiasa dirahmati dan dilimpahi rezeki oleh Allah yang Maha Esa.  Syukur Alhamdulillah.


Masih terfikir-fikir menu apa yang hendak disajikan untuk hidangan tengah hari ini? Apa kata masak kurma ayam. Kak Noor pun dah lama tak masa kurma ayam ini.



Seingat Kak Noor semasa zaman kanak-kanak dulu, lauk kurma ayam merupakan salah satu lauk yang wajib dihidangkan di kenduri kahwin oghang-oghang Utara selain ayam masak merah. Dimasak pula menggunakan kawah secara gotong royong.  Selalunya lauk kenduri rasanya lebih sedap walaupun kita masih menggunakan resepi yang sama untuk masakan harian.  Dimakan pula bersama nasi minyak.  Kenduri kahwin dulu-dulu selalunya dihidangkan dengan nasi minyak dan nasi putih. Sekarang ini dah ada nasi tomato, nasi hujan panas, nasi mandy, dan pelbagai nasi lagi.  Ada tak orang hidangkan nasi kandaq untuk kenduri kahwin? Hm.... sedap juga kalau pekena nasi kandaq kat kenduri kahwin. 




Kalau masak kurma ayam ini, Kak Noor lebih suka memilih rempah BABAS kerana aroma rempahnya yang berbau lauk nasi kandaq, ala-ala masakan mamak. Ada orang  meletak kerisik dalam kurma ayam ini, tetapi resepi Kak Noor tidak menggunakan kerisik. Santan juga Kak Noor gantikan dengan susu sejat. Kebetulan pula santan dah habis.  Kurma ini agak simple dan mudah disediakan.


Bahan-bahannya:
1/2 ekor ayam - dipotong kecil
1 cawan susu sejat
2 cawan air
3 biji ubi kentang - dibelah 4
1 biji tomato saiz besar - dibelah 4
2 biji cili hijau - dibelah dua tetapi tak putus

Bahan-bahan dikisar sehingga lumat:
5 sudu besar serbuk rempah kurma BABAS
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 biji buah keras - opsyen
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 batang serai - dititik
2 inci halia - dihiris mancis
1 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 helai daun pandan - dikoyak dan disimpul
Minyak untuk menumis

Cara-caranya:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan serai dan daun pandan, dan tumis sehingga naik bau.  Selepas itu masukkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang, hirisan halia, bawang besar dan bawang putih. Tumis sehingga bawang kekuningan dan naik bau.

2.  Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan kacau rata.  Tutup periuk dan guna api sederhana.  Masak sehingga rempah garing dan terbit minyak.

3. Selepas itu masukkan ayam dan gaul rata sehingga rempah menyelaputi ayam.  Biarkan mereneh di atas dapur selama 5 minit.

4. Tuangkan susu sejat bersama 2 cawan air dan kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga kuah mendidih. Kemudian masukkan ubi kentang. 

5. Selepas ayam dan ubi kentang empuk, bolehlah dimasukkan buah tomato dan cili hijau.  Tutup api dan taburkan bawang goreng dan daun pudina sekiranya suka.  Tutup periuk supaya aromanya tidak keluar.

6.  Kacau rata terlebih dahulu sebelum dihidangkan.

Selamat Mencuba.

Catatan popular daripada blog ini

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlu...