Assalamulaikum dan Salam Ceria Selalu.
Telah lebih daripada seminggu Kak Noor tak update apa-apa resepi dalam blog ini. Itulah Kak Noor ni.. ibu yang bekerja, penulisan kadang-kadang tidaklah konsisten; tak dapat nak pos resepi baharu pada setiap hari. Letih juga badan ni bila dah pulang ke rumah. Bila badan dah letih, minda pun turut letih, maka mood nak mengarang pun agak kureng. Lagipun sejak kebelakangan ini kesihatan tidak berapa memuaskan, masak pun ala kadar saja. Kalau tak larat sangat, seperti biasa beli aje kat kedai. Suami dan anak-anak pun tak berapa kisah.
Hari ini kembali segar... Alhamdulillah. So hari ini Kak Noor nak kongsi satu lagi resepi masakan ketam iaitu masak kari ketam cara tumis darat. Kak Noor lebih suka cara tumis darat ini kerana karinya kurang berminyak. Resepi ini pernah Kak Noor poskan dalam blog ini, tetapi yang bezanya kali ini Kak Noor menggunakan rempah kari ikan dan udang pedas BABAS. Karinya rasa pedas, dan tidak perlu lagi ditambah dengan serbuk cili.
5 ekor ketam merah (anggaran 11/2 kilo) – seekor dikerat dua
Nanas masak dikupas, dan dipotong nipis 1/4 bahagian daripada sebiji nanas
11/2 cawan santan pekat + 3 cawan air
1 keping asam gelugor
4 – 5 biji tomato kecil (baby tomato) dibelah dua
2 biji cili hijau – dibelah di tengah tetapi tidak putus
1 batang serai - dititik
Garam dan gula perang secukup rasa
Bahan-bahan Pes (disatukan di dalam blender basah dan dikisar halus):
5 sudu besar rempah kari ikan & udang pedas BABAS
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya
Bahan-bahan Tumis Darat:
1 sudu besar jintan manis
4 biji bawang merah (kecil) – dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
2 tangkai daun kari
1 inci halia – dihiris mancis
Minyak secukupnya
Cara-cara Membuatnya:
1. Buang kulit ketam dan kerat hujung kaki-kaki kecil dan ketuk sedikit bahagian penyepit ketam untuk memudahkan isinya dikeluarkan nanti. Gaul dengan beberapa biji limau kasturi dan garam dan perapkan selama 1 minit. Kemudian dibasuh bersih dan toskan.
2. Masukkan ketam, pes rempah, dan serai di dalam periuk. Tambahkan air secukupnya (anggaran) dan masak sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan nanas dan santan. Masukkan garam, gula, dan asam gelugor dan kacau rata. Biarkan kuah mendidih di atas dapur atau hingga ketam masak. Rasa dan jika ok boleh tutup api. Masukkan buah tomato dan cili hijau. Ketepikan.
Cara Tumis Darat:
Panaskan minyak (anggaran 1 senduk nasi) di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis darat sehingga kekuningan dan naik bau. Semasa bahan-bahan tumis masih panas tuangkannya di dalam periuk ketam tadi, dan tutup periuk untuk mengelakkan hilangnya aroma wangi tumisan.