ASSALAMUALAIKUM SEMUA. Agak tidak terlambat untuk Kak Noor mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk semua pengunjung blog Sajian Dapur Bonda. Di kesempatan ini juga Kak Noor ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan yang diberikan selama ini sehingga pengunjung SDB telah mencapai lebih daripada satu juta orang. Syukur Alhamdulillah, kerana blog ini sedikit sebanyak telah memberi manfaat kepada semua yang pernah singgah.
N3 kali ini ialah masakan Ayam Rendang Cili Padi. Ini adalah antara menu yang disajikan pada Hari Raya Aidil Adha. Memandangkan terdapat banyak lagi menu pilihan seperti lontong, nasi empet dan laksa Penang, maka Kak Noor hanya menggunakan seekor ayam sahaja untuk menu rendang ini. Sebenarnya telah lama Kak Noor berhasrat untuk mencuba resepi ini sebab dah jemu dengan versi rendang yang pernah Kak Noor sajikan.
Ayam Rendang Cili Padi ini merupakan menu Negeri Sembilan. Orang Negeri Sembilan memang terkenal dengan masakan pedasnya dan suka makan pedas. Cili padi telah sinonim dengan masakan mereka. Macam masakan orang Utara le… apapun mesti nak guna rempah. Bahan-bahan yang digunakan untuk Ayam Rendang Cili Padi ini hampir sama dengan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak Ayam Rendang Pedas; cuma yang bezanya untuk Ayam Rendang Cili Padi kita hanya menggunakan cili padi sahaja dan tidak menggunakan cili kering.
Memandangkan ini merupakan kali pertama Kak Noor masak Ayam Rendang Cili Padi, banyaklah juga blog yang telah Kak Noor lawati untuk melihat bahan-bahan yang cara penyediaannya; dan ia tidak banyak bezanya dengan Ayam Rendang Pedas yang pernah Kak Noor masak. Almost the same. Cuma diolah dari segi penggunaan bahannya iaitu cili padi dan cara memasaknya iaitu menumis. Dari segi penggunaan santan pula, Kak Noor lebih gemar menggunakan santan sawit KHALIS, kerana ia lebih ekonomik, tidak perlu menggunakan santan yang banyak tetapi rendangnya tetap sedap dan membangkitkan selera.
Bahan-bahannya:
1 ekor ayam – potong ikut suka dan dibersihkan
1 paket (320ml) santan sawit KHALIS
4 cawan air
4 helai daun kunyit – dihiris kasar
3 – 4 helai daun limau purut - disiat
2 – 3 keping asam gelugor
2 batang serai - dititik
3 senduk nasi kerisik
2 sudu besar gula perang
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis
Bahan-bahan dikisar halus:
15 biji cili padi hijau
15 biji cili padi merah
3 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup
6 batang serai – dihiris
5 biji buah keras
Air secukupnya untuk memudahkan bahan-bahan dikisar halus.
Cara-cara membuatnya:
1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga wangi dan terbit minyak. Gunakan api sederhana dan kacau selalu.
2. Masukkan ayam dan gaul rata dengan tumisan bahan kisar tadi. Biarkan di atas dapur selama lebih kurang 10 minit atau sehingga ayam kecut
3. Kemudian masukkan santan, air, daun kunyit, daun limau purut, serai yang dititik, asam gelugor, gula perang, dan garam. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.
4. Tambah kerisik dan kacau lagi. Masak dengan api yang kecil hingga rendang agak pekat dan ayam masak (teknik mereneh).
5. Akhir sekali masukkan kerisik dan gaul rata. Masukkan juga beberapa biji cili padi yang dititik (opysen). Teruskan masak sehingga rendang kering ataupun sedikit berkuah. Matikan api. Bolehlah dihidangkan.