Langkau ke kandungan utama

Kari Ikan Tenggiri Bunga.

Assalamualaikum...

So seperti biasa ibu-ibu di luar sana mesti tengah fikir nak masak apa hari ini.  Kalau masih tak pasti apakah yang hendak dimasak, jom kita layari internet.  Banyak laman blog yang memaparkan pelbagai masakan untuk kita buat pilihan.   Kak Noor pun kerap juga singgah di blog rakan-rakan  lain untuk mencuba resepi-resepi yang diketengahkan dalam blog mereka untuk mencari kelainan citarasa dalam setiap sajian yang dihidangkan.





Menu yang hendak dikongsi bersama ialah Kari Ikan Tenggiri Bunga. Menu ini merupakan juadah berpuasa hari ke-8 tetapi tidak sempat untuk dimuatkan dalam blog kerana masa tidak mengizinkan.  Cuma hari ini baru ada kelapangan.    Isnin lalu on the way balik kerja, sempat singgah di Pasar Malam/Bazar Malam di AU1, Keramat/Setiawangsa.  Tengok ramai orang tengah memilih ikan tenggiri bunga ini.  Harganya satu kilo  RM16.  Fresh juga ikannya.  Ambillah seekor, selepas ditimbang tak sampai 1 kg pun, harganya cuma RM11.

Kuah kari sedap dicicah dengan roti


Pada mulanya plan nak masak taucu dan dalam masa yang sama teringin pula tekak ni nak makan kari.  Selepas ditimbang-timbangkan dan diambil kira selera anak-anak, maka Kak Noor ambil keputusan masak kari aje. Lagipun kuah kari ini sedap juga dicicah bersama roti semasa sahur (bagi yang tidak berselera makan nasi).

Seperti resepi kari-kari ikan yang lain, bahan dan cara memasaknya lebih kurang sama, cuma nak `ulang tayang' aje..

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan tenggiri bunga - dipotong 5 atau 6 (bergantung kepada saiz ikan tenggiri)
10 batang bendi
2 biji cili hijau
1 biji tomato - (kalau kecil dibelah 2, besar dibelah 4)
1 cawan pati santan kelapa + dengan 2 cawan air)
1 sudu besar pati asam jawa Adabi
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar lumat (gunakan blender basah):
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 sudu besar serbuk rempah kari ikan BABAS
1 sudu besar kas-kas
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Air secukupnya
(Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender basah dan dikisar lumat menjadikannya pes)

Bahan-bahan tumis:
4 biji bawang kecil (bawang merah) - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar halba campur - boleh didapati di pasar raya
2 tangkai daun kari - dilurut daunnya
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan bahan-bahan tumis.  Tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar.  Kacau rata dan tutup periuk.  Masak sehingga rempah garing/terbit minyak.
3.  Selepas rempah garing, kacau dan masukkan santan kelapa.  Masukkan asam jawa, garam dan sedikit gula.  Masak sehingga kuah mendidih.
4.  Selepas kuah mendidih bolehlah dimasukkan ikan tenggiri bunga.  Biarkan di atas dapur sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ikan masak.
5.  Akhir sekali masukkan bendi, tomato dan cili hijau.  Bila bendi telah lembut, bolehlah ditutup api dan ditutup periuknya.

Catatan popular daripada blog ini

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlu...