Langkau ke kandungan utama

MEE KERING @ MAGGI GORENG UDANG versi Sajian Dapur Bonda, kegemaran anak-anakku

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. 

Syukur Alhamdulillah dapat lagi Kak Noor berkongsi cerita dan resepi di blog SDB ini.  Semoga kita semua senantiasa dirahmati Allah serta dipelihara ketaatan dan keimanan kita dengan taufik dan hidayahNYA.



Emm... sedapnye bila makan semasa panas


Topik hari ini adalah mengenai sarapan.  Apakah sarapan yang disediakan oleh ibu-ibu kepada keluarga pagi ini? Pagi ini Kak Noor sediakan heavy breakfast untuk anak-anak, iaitu mee goreng. Tetapi bukan menggunakan mee basah ye… Kak Noor gunakan mee kering.   Stok mee kering ini memang sedia ada di rumah kerana ia boleh disimpan lama berbanding dengan mee basah.  Mee basah kalau digoreng pada hari yang sama kita beli memang sedap.  Tetapi kalau sudah dua tiga hari disimpan dalam peti sejuk, mee tu akan hancur bila kita goreng. 



Nak makan udang ke, nak makan mee dulu ni?

Kebiasaannya sebelum pergi kerja, Kak Noor akan pastikan ada breakfast yang ditinggalkan untuk anak-anak dirumah.  Sekiranya sempat Kak Noor akan menyediakannya sendiri.  Bila cuti sekolah, anak-anak semakin berselera makan kerana duduk di rumah aje. Sambil makan, tengok TV, tengok laptop, tengok handphone. Dah jadi 2 in 1. Rasanya musim cuti sekolah ini adalah musim membina badan untuk anak-anak.  Tu cuba timbang, naik tak berat badan anak-anak kita? Anak perempuan Kak Noor yang bongsu tu dah semakin tembam. Bila kita sediakan breakfast sendiri, anak-anak dapat mengulang dan puas makan. Di samping itu dapat menjimatkan perbelanjaan makan pagi.




Tetapi ada kalanya Kak Noor sendiripun tak sempat menyediakan sarapan pagi. Bila keletihan melanda, kekadang waktu terlewat juga bangun pagi. Masa ini dah tak boleh menjengok dapur, fokus nak pergi kerja aje... So anak-anak akan beli breakfast kat kedai aje.  Nasib baiklah di hadapan rumah ada dijual nasi lemak dan kuih-muih.

Ok berbalik kita kepada breakfast yang Kak Noor sediakan iaitu Mee Kering Goreng Udang @ Maggi Goreng Udang. Anak-anak lebih menggemari mee kering ini daripada mee basah. Rencahnya pula Kak Noor gunakan udang.  Memanglah sedap!  Bila kita guna udang, akan rasalah kemanisan air udang menyerap di dalam mee. Kerap juga Kak Noor beli maggi goreng ini di pasar malam. Sebungkus RM2.50 – RM3.00.  



Bahan-bahannya:
12 keping mee kering - apa-apa jenama pun boleh asalkan halal
15 ekor udang saiz sederhana - dipotong kepala dan ekornya
1 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram ayam
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil sos ikan
1 biji tomato – dipotong kiub
1 cawan mixed vegetables – boleh dibeli dalam paket
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup/daun bawang
Cili merah
Bawang goreng

Bahan-bahan ditumis:
Minyak secukupnya untuk menumis
1 biji bawang besar – dicincang halus
3 ulas bawang putih – dicincang halus
1 senduk cili kering kisar

Cara-caranya:
1. Panaskan air di dalam periuk. Bila air mendidih masukkan kepingan mee kering. Biar di atas dapur sehingga ia lembut dan kembang sedikit. Angkat dan letakkan dalam penapis dan cucurkan dengan air paip supaya hilang panasnya. Tos dan ketepikan.

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau. Kemudian masukkan cili kering kisar. Gunakan api perlahan dan masak sehingga terbit minyak.

3. Kemudian masukkan sedikit air, sos tiram, sos cili, sos ikan, dan kicap manis. Kacau rata dan biarkan ia mendidih.

4. Masukkan udang dan kacau. Bila udang telah masak, masukkan pula mixed vegetables. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau rata.

5. Akhir sekali masukkan mee kering dan kaup balikkan sehingga bergaul mesra.

6. Tutup api. Semasa menghidang bolehlah dihiaskan dengan daun sup/daun bawang, cili merah, dan bawang goreng.

Selamat mencuba. Anak-anak tentu menggemarinya.


Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa...

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...