Langkau ke kandungan utama

AYAM SAMBAL (SWEET & SPICY)



Menu SDB hari ini ialah ayam sambal rasa manis dan pedas yang Kak Noor rasa sesuai untuk dihidangkan kepada kanak-kanak  yang tidak menggemari  lauk yang terlalu pedas. Anak-anak Kak Noor cukup suka dengan lauk ini.  Kalau ditanya kepada mereka ayam ni nak masak apa, mesti jawapannya ayam sambal yang selalu ibu buat tu...  Lauk ayam ini boleh dimakan dengan nasi putih, nasi ayam, nasi tomato dan nasi-nasi lain yang berperisa.  Ratah pun sedap. Sebab itulah Kak Noor gunakan peha ayam untuk menu ini. Kanak-kanak memang suka sangat dengan peha ayam. Selalunya peha ayam sedap digoreng, tetapi  apa kata sesekali kita cuba resepi ini pula untuk membuka selera anak-anak kita 



Walaupun nampak pedas, tapi bila telah dimasak, ia tidaklah sepedas seperti mana yang dilihat dalam gambar ini. Kombinasi sos tomato, sos cili, dan gula merah serta gula putih telah menenggelamkan rasa pedas pada sambal ayam.  Jenis cili kering yang digunakan juga harus diambil kira dalam penyediaan ayam sambal ini.  Gunakan cili kering yang kerinting.  Jangan beli cili kering yang berkilat, spesis ini memang pedas.  Bagi mengurangkan kepedasan pada cili kering, gunakan kaedah ini sebelum cili kering dikisar.  Selepas cili kering digunting atau dipotong kecil, ia hendaklah direbus sehingga mendidih.  Selepas sejuk, basuh cili kering dengan cara meramas-ramas cili kering itu sehingga keluar bijinya.  Ulangi cara ini sehingga 90% bijinya keluar.  Kemudian ditoskan.

Inilah rupanya cili kering kerinting.  
Bahan-bahannya
10 ketul peha ayam
1 batang serai dititik
1 ulas bawang putih diketuk
2 sudu besar gula merah
1 sudu besar gula putih
1 sudu besar jus lemon
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
Minyak secukupnya (menggoreng dan menumis)

Bahan-bahan dikisar halus (guna blender basah):
3 senduk nasi cili kering kisar (gunakan cili kering kerinting – tidak pedas)
3 ulas bawang putih
1 inci halia tua
2 biji bawang besar saiz sederhana
1 biji tomato saiz sederhana
Air secukupnya

Cara-cara membuatnya: 
1. Ketulan peha ayam dibersihkan dan diperamkan dengan ½ sudu kecil gaam dan ½ sudu kecil serbuk kunyit selama 30 minit – 1 jam.
2. Panaskan minyak dan goreng peha ayam sehinggga kekuningan dan masak. Gunakan api yang sederhana untuk menggoreng peha ayam kerana dikhuatiri sekiranya menggunakan api yang kuat,isi di dalam tidak masak dan hanya garing di luar.
3. Panaskan periuk. Gunakan minyak gorengan ayam secukupnya untuk menumis.
4. Tumis bawang putih yang diketuk tadi sehingga kekuningan. Kemudian baru dimasukkan bahan-bahan yang dikisar tadi dan masak sehingga garing dan terbit minyak.
5. Setelah sambal garing, masukkan sos cili dan sos tiram. Kacau rata. Kemudian perasakan dengan gula merah, gula putih, garam, dan serbuk perasa. Tambah sedikit air sekiranya adunan pekat. Kacau dan biarkan kuah mendidih sebentar.
6. Setelah cukup rasa, masukkan peha ayam goreng tadi, diikuti dengan jus lemon. Kacau sehingga kuah sambal berpalut pada peha ayam. Perlahankan api dan biarkan ia mereneh seketika (anggaran 10 minit). Kemudian bolehlah ditutup api.

Ulasan

Marsita Yahya berkata…
Salam, blogwalking & joined this blog.
http://my-mintroom.blogspot.com/
adda syuhada berkata…
nampak color sambal tuh pun berapax dh telan airliur...sedap..
Salam Marsita. Thrillon of thanks for following this blog.
Kalau syuhada cuba masak sendiri, baru tau betul-betul sedap ke tidak.

Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlulah

Kari Ikan Pari

Bahan-bahannya:  500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping 10 batang bendi 1 biji terung panjang – dipotong serong 1 biji tomato – dibelah empat 2 biji cili hijau 4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil 1 sudu besar pati asam jawa 1 cawan pati santan + 2 cawan air Garam secukup rasa Minyak secukupnya untuk menumis Bahan mesin (A): 4 sudu besar rempah kari 1 sudu kecil jintan manis 1 sudu kecil jintan putih 1 sudu kecil serbuk cili 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih Air secukupnya (Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus) Bahan tumis (B): 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih 1 sudu besar halba campur 2 tangkai daun kari Cara-cara memasak: · Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan. · Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak.