Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 Jun 2012

DAGING KAMBING MASAK HITAM KASHMIR

Minggu lalu, bertempat di Aras 2, Stesen Sentral Kuala Lumpur telah diadakan pameran Peluang Perniagaan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara  (NCER).  Seingat Kak Noor inilah adalah kali kedua pameran Koridor Utara diadakan di sini.  Kebiasaaannya banyak syarikat perniagaan Bumiputra mengambil bahagian mempamerkan produk-produk tempatan mereka, tetapi kali ini tidak banyak syarikat yang mengambil bahagian.   

Sambutan yang paling menggalakkan ialah di gerai menjual oblong SEMPOI dan di gerai yang menjual produk jenama Iman.  Gerai menjual oblong burger SEMPOI dibuka dari jam 11.00 pagi sehingga 5.00 petang. Gerai ini menawarkan oblong daging ayam, daging lembu, dan daging kambing, dan ia dijual dengan harga RM4.00 satu.  Memang tak menang tangan membuatnya, sehingga orang ramai yang hendak membelinya perlu beratur. Apapun burger oblong SEMPOI memang sedap.  Thumb up!

Kak Noor sempat juga ke gerai menjual produk jenama Iman. Ada mee segera, beehun segera, dan perencah-perencah masakan.  Teruja dengan barangan yang dipamerkan dan promosi yang ditawarkan beli 7 barangan dapat 1 percuma, Kak Noor pun beli beberapa bungkus mee bandung dan beberapa perencah untuk masakan harian.  Salah satu daripada perencah masakan yang Kak Noor beli ialah  masak hitam Kashmir.


Hari ini perencah masak hitam Kashmir itu Kak Noor gunakan untuk memasak daging kambing. Sebenarnya Kak Noor tidak pernah membeli daging kambing kerana Kak Noor sendiri tidak makan daging  kambing sejak kecil.  Cuma suami dan anak-anak  yang memakannya; itupun makan di kedai.  Ada lebihan daging kambing panggang yang dibawa balik oleh anak lelaki Kak Noor dari rumah kenduri kahwin petang tadi.  Terlupa pula dia membawa balik kuah pencicahnya.  So....dari terbiar daging kambing panggang itu begitu sahaja, timbul idea untuk memasak daging kambing ini menggunakan perencah masak hitam Kashmir.  Kak Noor telah mengolahnya mengikut citarasa Kak Noor dengan menambahkan beberapa bahan lain selain menggunakan perencah masak hitam Kashmir ini.  Perencah ini mempunyai tiga pes di dalamnya iaitu pes bawang, pes rempah, dan pes kicap.  Sekiranya tidak mahu mengikut resepi Kak Noor, boleh masak ikut resepi yang terdapat di belakang bungkusan. 


Bahan-bahannya:
30gm minyak masak
200 gm daging kambing panggang - hiris nipis
1 paket (100gm) perencah Masak Hitam Kashmir jenama Iman
2 sudu besar sos lada hitam - Kak Noor guna sos lada hitam Sarawak
1 cawan air
Gula, serbuk perasa, dan garam secukup rasa
1 biji bawang besar - dihiris bulat
1 biji cili merah - dihiris
1 biji cili hijau - dihiris

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1 tangkai daun kari

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak. Masukkan bahan-bahan tumis dan masak sehingga naik bau.
2.  Masukkan perencah Masak Hitam Kashmir jenama Iman  (perencah ini terdiri daripada pes bawang, pes kicap, dan rempah.  Satukan kesemuanya dan dibancuh dengan 1 cawan air).  Masak sehingga naik bau.
3.  Masukkan hirisan daging kambing.  Tambah 1 cawan air dan kaup balikkan sehingga sebati .
4.  Kecilkan api dan masak sehingga masakan menjadi kering.
5.  Kemudian masukkan hirisan bawang besar, cili merah, dan cili hijau.  Kacau dan tutup api.
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang