Assalamualaikum dan Selamat Bercuti dan Bersantai di Hujung Minggu.
Pagi ini sebelum Kak Noor masuk ke dapur untuk menyediakan juadah untuk makan tengah hari, nak kongsikan dulu resepi Bubur Asyura stail Utaqa menggunakan periuk Noxxa. Seperti tahun-tahun lalu, Kak Noor memasak bubur asyura ini secara sendirian berhad di rumah.
Sebagai umat Islam, kita semua sedia maklum bahawa Hari Asyura adalah hari yang ke-10 dalam kalendar Islam iaitu 10 Muharram. Asyura berasal daripada perkataan Arab `Asyara' yang bermaksud sepuluh. Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Nabi Muhamad s.a.w.
Pada tahun lalu masak dalam kuantiti yang banyak sebab berniat nak berikan kepada semua kawan pejabat dan jiran tetangga. Masa tu Kak Noor guna dua bungkus @ 500 gram tepung beras. Kacau pula di dalam kuali. Ambil masa yang lama juga untuk kacau, lebih kurang 2 jam.
Pada mulanya teragak-agak juga nak buat sebab tak berapa sihat. Tapi semua bahan telah dibeli, kalau tidak dibuat, alamatnya tak buat terus le... sampai tahun hadapan. Resepi ini adalah dalam kuantiti yang sedikit; makan untuk keluarga dan bolehlah dirasai bersama oleh jiran-jiran terdekat.
Kebiasaannya Kak Noor masak bubur asyura stail Utara. Lagipun Kak Noor orang Utara, sejak dari kecil lagi, bonda selalu masak bubur asyura stail ini. Banyak campuran kekacang digunakan seperti kacang hijau, kacang ketupat (kacang duduk), kacang merah ABC, dan kacang merah kecil. Rasanya manis.
Bagi rakan-rakan yang memiliki periuk NOXXA, bolehlah ikut resepi ini. Lebih mudah dan cepat dimasak. Penerangan dan langkah-langkah ada pada setiap gambar.
RESEPI BUBUR ASYURA NOXXA
(VERSI UTAQA)
Bahan-bahan A:
2 cawan tepung beras
3 cawan santan sawit KHALIS
Sedikit garam
1 cawan gula pasir } masak guna
2 ketul gula kabung } 1 cawan air
Bahan-bahan B:
1 biji keledek oren (anggaran 500 gm)
1 cawan kacang hijau
1 cawan kacang merah ABC
1 cawan kacang merah kecil
1 cawan kacang ketupat (kacang duduk)
1 tin jagung berkrim
1 tongkol jagung
10 biji pisang emas
3 sudu besar sagu biji
2 helai daun pandan
Persediaan awal bahan-bahan:
1. Masak dua ketul gula kabung dengan 1 cawan air dengan api perlahan. Setelah larut, masukkan gula pasir dan masak sehingga larut. Ketepikan.
2. Ubi Keledek dikupas kulit dan dipotong dadu kecil.
3. Setongkol jagung – diambil isinya
4. Pisang emas dipotong dadu.
5. Sagu biji direndam selama 5 minit,
kemudian dibersihkan dan ditoskan.
6. Kacang hijau, kacang merah ABC, kacang ketupat,
dan kacang merah kecil dibasuh dan diketepikan.
7. Bahan A disatukan dan digaul rata.
Kemudian masukkan ke dalam blender dan dikisar sehingga semuanya sebati (kaedah ini lebih mudah digunakan untuk mendapatkan adunan yang halus dan tidak berketul)
Kemudian masukkan ke dalam blender dan dikisar sehingga semuanya sebati (kaedah ini lebih mudah digunakan untuk mendapatkan adunan yang halus dan tidak berketul)
Cara-cara Memasak Menggunakan Periuk NOXXA:
1. Masukkan kacang hijau, kacang merah ABC, kacang merah kecil dan kacang ketupat di dalam inner pot. Tuang 1 cawan air. Tutup periuk dan halakan tombol kepada `PRESSURE’. Set butang `HIGH PRESSURE’ selama 15 minit dan tekan `ON’. Selepas 15 minit periuk akan berbunyi `BEEP’. Bebaskan tekanan dengan memusing tombol ke arah `STEAM’. Biarkan wap habis dikeluarkan supaya tudung periuk boleh dibuka. Tekan `OFF’.
2. Masukkan ubi keledek dan tutup periuk. Halakan tombol kepada `PRESSURE’. Set butang `HIGHT PRESSURE’ selama 3 minit dan tekan `ON’. Selepas masak, bebaskan tekanan. Tekan `OFF’.
3. Selepas itu masukkan bahan-bahan A yang telah dibancuh dan diblend halus bersama-sama jagung krim, isi jagung, sagu, pisang, dan daun pandan. Kacau rata menggunakan senduk kayu. Tekan butang `STIR FRY’ dan tekan `ON’. Semasa proses stir fry, periuk tidak perlu ditutup. Kacau sehingga adunan menjadi pekat dan tidak melekat pada periuk. Selepas masak, tekan butang `OFF’. Tuang adunan ke dalam loyang atau acuan yang disukai.
SELAMAT MENCUBA
SELAMAT MENCUBA
Ulasan