Langkau ke kandungan utama

AYAM SAMBAL SERAI

Assalamualaikum dan Selamat Berhujung Minggu Bersama Keluarga Tercinta.

Hari ini menu utama yang ingin Kak Noor ketengahkan untuk hidangan tengah hari  ialah Ayam Sambal Serai.  Mesti ramai yang telah pernah menghidangkan menu ini untuk santapan keluarga.  Cuma kadang-kadang ada tokok tambah dari segi penggunaan bahan-bahannya dan cara-cara penyediaannya.  Citarasa seseorang tidak sama antara satu sama lain. Ada yang ikut aje resepi yang diketengahkan dan ada juga yang suka menokok tambah; macam Kak Noor lah. Tapi kalau ia sedap dan kena pada anak tekak, apa salahnya kita mencuba dan menghasilkan rasa yang baharu.




Memandangkan hari ini banyak program di luar rumah di sebelah tengah hari, pagi-pagi lagi Kak Noor telah bangun untuk membereskan kerja rumah dan memasak untuk keluarga.  Sementara masih rajin dan bertenaga di sebelah pagi ini, lebih baik kita selesaikannya.  Waktu petang adalah masa untuk kita beristirehat dan santai bersama keluarga.





Ayam sambal serai ini sedap dimakan bersama nasi putih, nasi tumis, nasi minyak, dan juga nasi tomato.  Kalau rajin bolehlah disediakan jelatah sos kacang sebagai hidangan sampingan.  Kalau rajin lagi, bolehlah digoreng papadom.  Kak Noor dan keluarga memang suka papadom ini.  Kalau tak dimakan bersama nasi, anak-anak Kak Noor makan begitu sahaja seperti keropok.  Bagi mendapatkan resepi jelatah SDB sila klik link di bawah.







AYAM SAMBAL SERAI

Bahan-bahannya: 
1 ekor ayam – dipotong 12 atau 16
1 biji buah tomato ranum saiz besar - dipotong kiub
2 sudu besar kicap pekat ABC
1 kiub ayam
1 batang serai – dititik
1 tangkai daun kari
2 sudu besar gula perang
Gula putih dan garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar: 
1 labu bawang besar saiz besar
5 biji bawang kecil (bawang merah)
4 ulas bawang putih
3 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
2 batang serai – dihiris
Air secukupnya

Cara-cara Memasaknya: 
1. Ayam digaramkunyitkan dan digoreng ¾ masak. Angkat ayam, toskan minyaknya dan ketepikan.
2. Panaskan minyak di dalam periuk. Gunakan minyak gorengan ayam tadi. Tumis serai dan daun kari sehingga naik bau. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan kacau rata. Tudung periuk dan masak sehingga naik bau dan garing.
3. Tambahkan air (bergantung kepada banyaknya kuah yang dikehendaki) dan masukkan buah tomato.  Kacau rata. Selepas dua minit, masukkan kicap, gula merah, gula putih, garam, dan kiub ayam. Masak sehingga kuah mendidih. Rasa kuahnya dan boleh tambahkan gula putih atau garam sehingga menepati citarasa anda.
4. Selepas itu baru dimasukkan ayam gorengan tadi. Kaup balikkan dengan kuah sambal sehingga serata. Perlahankan api dan biarkan ia mereneh di atas dapur lebih kurang 10 minit. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa...