Selamat malam semua. Malam-malam begini terasa lapar pula. Nasi masih banyak lagi di dalam periuk. Tetapi rasa tak selera sangat nak makan nasi. Kena cari alternatif menu lain yang boleh membuka selera. Hmm... apa kata kalau pekena koay teow goreng? Goreng basah-basah dan makan semasa masih panas; fresh from the oven. Tapi bukan dibeli di kedai, bikin sendiri le...
Lagipun telah agak lama tak makan koay teow goreng sendiri. Koay teow goreng ni favourite anak perempuan bongsu Kak Noor. Selalu juga dia pesan supaya beli koay teow sewaktu Kak Noor pulang kerja. Pesannya kalau Kak Noor goreng koay teow mesti warna coklat gelap, tak nak yang warna merah. Faham-faham ajelah, tak nak pedaslah tu...! Kalau tak pedas, boleh bertambah makan. Tapi bagi Kak Noor sendiri, Kak Noor lebih gemar koay teow goreng yang berwarna merah; pedas, baru ada ummp! Tapi tak apalah demi anak tersayang, kita turutlah kemahuan dia. Apa yang penting dia makan. Risau juga kalau budak-budak tak berselera nak makan. Dahlah seharian kat sekolah, dan makan pun ala kadar sahaja. Tiada siapa nak melayan makan minum mereka sebab ibubapa bekerja. Lainlah kalau ada `maid' kat rumah. Terjagalah makan minum mereka.
Ok, Kak Noor tak nak merepek panjang-panjang lagi. Jarum jam dah bergerak laju. Masih banyak lagi kerja yang belum dibereskan. Inilah resepi koay teow goreng udang yang menjadi menu makan malam ini.
Bahan-bahannya:
2 bungkus koay teow cap Laksamana - (dibasuh dan ditoskan)
10 ekor udang saiz XL - dibuang kepala dan ekor
50 sen taugeh
1 sudu besar bawang besar kisar
1/2 sudu besar bawang putih kisar
2 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
Kicap manis secukupnya
1/2 biji buah tomato - dihiris
Garam, gula, dan serbuk perasa
1 biji cili hijau -dihiris (untuk hiasan)
Bawang goreng
Minyak secukupnya
Cara-cara memasak:
1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Goreng udang sehingga kekuningan, angkat dan ketepikan.
2. Gunakan minyak yang sama untuk menumis bawang besar dan bawang putih. Tumis sehingga naik bau, kemudian masukkan cili kering kisar. Masak sehingga cili terbit minyak.
3. Masukkan 1 cawan air, diikuti dengan sos tiram, kicap manis, garam, gula, dan serbuk perasa. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih. Masukkan udang yang digoreng tadi dan buah tomato.
4. Kemudian masukkan koay teow dan kaup balikkan sehingga mesra. Setelah koay teow hampir masak, masukkan taugeh. Gaul rata dan jangan sampai taugeh layu. Tutup api.
5. Semasa menghidang, sekiranya suka bolehlah ditaburkan cili hijau dan bawang goreng.