Langkau ke kandungan utama

PAPRIK DAGING


Assalamualaikum dan Selamat Bersantai di hari Ahad.  Bagi yang bekerja, esok bermula rutin seperti biasa; masuk pejabat semula.  Kadang-kadang  bila dah bercuti hujung minggu, memang timbul perasaan malas untuk masuk bekerja pada hari Isnin.  Ada yang tiba-tiba pening kepala, demam, dan terpaksa ambil cuti kecemasan atau cuti sakit.  Bagi yang telah menjangkau usia 50an, hanya mengira hari, bulan, dan tahun sahaja untuk bersara wajib.  Jika hendak bersara pilihan, kenalah tengok komitmen dulu. Kalau komitmen masih banyak, perlu fikir 1,000 kali nak bersara awal.  Tapi kalau yang berkemampuan tu, kira bonuslah bagi mereka untuk bersara awal dan beralih kepada rezeki lain pula seperti bekerja sendiri dan sebagainya.

Bercakap mengenai cuti, apa ertinya cuti bagi kaum wanita yang bergelar isteri dan ibu?  Cuti adalah segala-galanya bagi kaum wanita.  Masa cuti inilah boleh rehatkan diri setelah penat bekerja di pejabat, dan masa cutilah juga boleh ambil `sweet time' untuk melaksanakan tugasan rumah tangga.  Tetapi ada tak cuti untuk masak?  Kadang-kadang terfikir juga untuk cuti masak dan rehatkan diri aje.  Bila nak makan, pergi ke kedai sahaja atau beli lauk di kedai dan masak nasi di rumah aje.  Bagi Kak Noor, tengok keadaan.  Kalau tak larat sangat dan badanpun kurang sihat, minta Encik Suami beli lauk kat kedai sahaja.  Nasib baik Encik Suami pun tak kisah.  Dia pun pernah kata, kalau tak larat masak, rehat aje.... nanti beli lauk kat kedai.  Alhamdulillah dapat suami yang memahami.





Dalam dua tiga hari ini, Alhamdulillah diberi kesihatan yang baik dan mood pun kira ok jugalah.    Semalam dah masak lauk ketam lemak nanas.   Sampai ke tengah malam, anak-anak dan suami masih berselera  makan nasi untuk menghabiskan lauk yang masih tinggal sedikit lagi.  Pagi ini bila Kak Noor bangun bagi untuk menyediakan sarapan, lauk ketam dah clear.  Tinggal periuk aje.  Alhamdulillah..... berkat rezeki semalam.






Memandangkan semalam baru Kak Noor pergi NSK Selayang membeli barangan mentah untuk seminggu, maka  masih banyaklah ketersediaan stok.  Semalam ziarah blog rakan-rakan untuk mencari resepi paprik yang sedap dan terhenti di dapur Che Mat Gebu, nama yang tidak asing lagi dalam dunia blogger masakan, dan yang memang cukup terkenal dengan masakannya yang sedap-sedap dan garenti terleleh air liur apabila melihat gambar-gambar hidangan yang dimuatkan.  Rata-rata resepi yang dimuatkan  dalam blognya menepati citarasa Kak Noor.  Pandai sungguh Che Mat kita memasak ye!  Thumbs up!





Teruja dengan resepi paprik ayam Che Mat Gebu, hari ini Kak Noor cuba masak ikut resepi yang dimuatkan tetapi seperti biasa Kak Noor hanya gunakan bahan-bahan yang tersedia ada.  Kalau Che Mat masak paprik ayam, Kak Noor pula masak paprik daging, sebab ayam tidak dibeli semalam. Memandangkan daging yang digunakan agak banyak iaitu 800 gram, maka kuantiti bahan-bahan pun turut ditambah.  Ada juga tambahan sayur seperti kacang panjang  untuk memeriahkan hidangan.  Ternyata, memang SODAP sangat resepi ini.   Terima kasih kepada Che Mat Gebu  yang sudi berkongsi resepi.  






Bahan-bahannya:
800 gram daging lembu
1/2 biji cili epal (merah, hijau, kuning) -  didadu
300 gram bunga kobis - dipotong sekuntum-sekuntum
150 gram kacang panjang - dipotong anggaran 1 inci - Kak Noor tambah
12 biji cili padi merah - dititik
4 batang serai - diketuk
6 - 7 helai daun limau purut
2 biji bawang besar - belah 6 setiap biji dan leraikan
3 ulas bawang putih - cincang halus
2 biji tomato saiz sederhana - setiap biji belah 6
Daun ketumbar - kerat kasar
Sos ikan secukupnya

Bahan Sos:
6 camca besar sos tomato
4 camca besar sos cili thai
4 sudu besar kicap manis
2 camca besar sos tiram

Cara Membuatnya:
1.  Daging direbus sehingga empuk dan kemudian ditoskan dan disejukkan.  Jangan dibuang air rebusan kerana ia akan digunakan dalam masakan ini.  Setelah sejuk, potong daging nipis (anggaran biasa) secara melintang ara.  Gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit, gaul rata dan goreng jangan sampai garing.  Angkat dan toskan.
2.  Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali.  Tumis bawang besar, bawang putih, dan serai hingga harum.  Masukkan cili padi, daun limau purut dan daging tadi.  Kacau dan masak sekejap.  Tambahkan air rebusan daging tadi.
3.  Tambah bahan-bahan sos, bunga kobis, kacang panjang, cili epal, gaul rata.  Tambah sos ikan secukupnya.  Masukkan tomato dan masak sehingga sayur lembut.  Akhir sekali masukkan daun ketumbar, kacau dan rasa, jika telah cukup rasa, bolehlah ditutup api.  Hidangkan dengan nasi panas.

Ulasan

Amie berkata…
Sedapnya! Terasa-rasa pedas, manis, harum... semua ada!

Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlulah

Kari Ikan Pari

Bahan-bahannya:  500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping 10 batang bendi 1 biji terung panjang – dipotong serong 1 biji tomato – dibelah empat 2 biji cili hijau 4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil 1 sudu besar pati asam jawa 1 cawan pati santan + 2 cawan air Garam secukup rasa Minyak secukupnya untuk menumis Bahan mesin (A): 4 sudu besar rempah kari 1 sudu kecil jintan manis 1 sudu kecil jintan putih 1 sudu kecil serbuk cili 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih Air secukupnya (Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus) Bahan tumis (B): 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih 1 sudu besar halba campur 2 tangkai daun kari Cara-cara memasak: · Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan. · Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak.