Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

3 Mei 2016

Ayam Masak Taucu Manis Berkuah

Assalamualaikum kepada pembaca-pembaca budiman yang selalu singgah dan sekodeng resepi di blog Sajian Dapur Bonda ini.  Hmm... dah lama Kak Noor tidak muatkan resepi baharu dalam blog ini.  Kebiasaannya telah menjadi rutin Kak Noor meluangkan masa mengemaskinikan blog ini pada setiap hujung minggu.  

Memandangkan sejak kebelakangan ini Kak Noor banyak menerima tempahan untuk biskut dan roti, yang perlu disiapkan pada hujung minggu, maka tiadalah berkesempatan Kak Noor untuk mengemaskinikan blog ini. 




Syukur Alhamdulillah semalam sempat Kak Noor masak menu simple ini untuk keluarga iaitu Ayam Masak Taucu Manis Berkuah.  So pagi  ini tidak perlulah kelam kabut bergelut di dapur sebelum ke pejabat. Masak yang simple dan ala kadar aje. Walaupun hanya satu jenis lauk, tetapi yang paling penting air tangan bonda.

Masakan ini memang berkuah sebab anak-anak Kak Noor suka letak kuah banyak kalau makan nasi. Tetapi itu bergantung kepada citarasa masing-masing, kalau nak kuahnya pekat, kurangnya air. 

Tak nak berceloteh panjang, kita terus ke resepinya ye.

Resepi Ayam Masak Taucu Manis Berkuah

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 inci halia - dihiris mancis
2 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar - dipotong gegelang
1 biji cili merah - dihiris serong
5 - 6 biji cili padi hijau - dipatahkan saja
4 sudu besar taucu manis
1 sudu besar pati asam jawa
Kicap lemak manis secukupnya - (Saya guna kicap lemak manis Enaq)
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa 
2 sudu besar gula pasir - bergantung kepada banyaknya kuah
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam dan menumis

Cara-caranya:
1. Ayam dipotong kecil dan digaramkunyitkan.
2. Panaskan minyak dan goreng ketulan ayam 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
3. Guna 3 sudu besar minyak gorengan ayam tadi untuk menumis. Tumis hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga bawang sedikit layu.
4. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak.
5. Selepas itu masukkan taucu manis. Kacau dan kemudian masukkan 1 cawan air. Biarkan kuah mendidih.
6. Masukkan ayam goreng tadi. Kaupbalikkan ayam sehingga bergaul mesra. Kemudian baru tambahkan air untuk kuahnya (Kuantiti air bergantung kepada banyaknya kuah yang kita mahu). Masukkan kicap lemak manis Enaq secukupnya, pati asam jawa, perencah Maggi Cukup Rasa dan gula. Masak sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ayam masak sepenuhnya.
7. Sebelum tutup api, masukkan cili padi, bawang besar dan hirisan cili merah. Taburkan juga daun sup dan daun bawang sekiranya ada.

Selamat Mencuba
Ikhlas Daripada
Kak Noor Sajian Dapur Bonda/040516

22 Februari 2016

Specially for Samperit's Lovers, Samperit Bonda menggamit nostalgia

Assalamualaikum...

Wow! Specially for Samperit's Lovers. Siapa suka biskut ini? 


Biskut klasik dan nostalgia dan tak pernah dilupakan. Kebiasaannya semasa Hari Raya sahaja dapat makan biskut ini.  Tetapi kini, Kak Noor membuatnya sepanjang tahun sebab ada juga customer yang mengidam dan teringin nak makan biskut ini.
  
Samperit klasik bewarna merah

So N3 kali ini nak kongsi `secret receipe' yang Kak Noor gunakan untuk jualan biskut ini. Pemurahlah pula kan... Tak pe Kak Noor kira sedekah aje. Sesiapa yang nak buat untuk makan atau jualan Kak Noor halalkan dunia dan akhirat.

Samperik klasik dengan hiasan coklat cip pink

Samperit dah sebati dengan jiwa. Sejak remaja lagi Kak Noor telah membantu bonda untuk membuat samperit ini untuk jualan pada setiap hari raya.  Acuan yang digunakan ialah acuan sawa.  Memang kalau tak pandai menekan dohnya, bunga yang dihasilkan akan penyet dan kembang.  Perlu ada skil untuk menggunakannya.

Samperit Coklat dengan hiasan cip coklat putih dan pink
Sebelum ini, samperit yang Kak Noor buat bunganya tak cantik dan kembang selepas dibakar walaupun menggunakan resepi bonda. Resepi bonda Kak Noor tiada sukatan tetap. Orang dulu-dulu main agak-agak aje sukatannya, tetapi tetap elok dan sempurna kejadiannya.

Latest..... samperit pandan yang mempunyai perasa pandan.
Tetapi Kak Noor tetap tidak berputus asa dan terus bereksperimen dengan pelbagai resepi samperit yang ada di FB dan blog. Tips-tips yang diberi dijadikan rujukan dan garis panduan. 

Tempahan untuk hantaran


Untuk Samperit Bonda ini tiada penggunaan telur ye. Kak Noor menggantikannya dengan whipping cream. Dah inilah samperit hasil eksperimen Kak Noor. Samperit ini memang sedap, dan melting bila masuk mulut.



Insya-Allah kalau ikut resepi dan tips yang diberi, bunganya tidak jatuh dan tetap maintain walaupun selepas keluar daripada oven.

Samperit klasik dengan hiasan ceri merah dan ceri hijau

Samperit Bonda
Oleh: Kak Noor, Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
250 gram mentega 
1/4 cawan gula ising (jenama Gula Prai, CSR atau King's brand)
1/2 cawan susu pekat manis 
*350 gram tepung jagung
*100 gram tepung red rose
*1/4 cawan tepung kastard 
1 sudu besar susu tepung Everyday
1 sudu teh esen vanilla
Untuk hiasan boleh guna ceri atau cip coklat

(Bahan-bahan bertanda * diayak bersama)

Cara-caranya:
1. Masukkan buttercup dan gula ising ke dalam mangkuk. Gaul sebati sahaja menggunakan spatula atau senduk kayu.
2. Masukkan susu pekat dan butter vanilla. Kacau sebati.
3. Masukkan ketiga-tiga jenis tepung yang telah diayak dan susu tepung. Uli sehingga terbentuk doh. Sekiranya doh lembut sangat, tambahkan sedikit tepung gandum.
4. Untuk samperit perasa pandan atau coklat, anda boleh masukkan emulco pandan atau emulco coklat selepas diuli menjadi doh. Contohnya selepas diuli menjadi doh yang cantik, anda boleh bahagikan doh kepada beberapa bahagian dan tuangkan sedikit perasa yang anda suka dan uli lagi sehingga warnanya serata.
6. Selepas doh terbentuk elok, tekan menggunakan acuan samperit bunga pecah 15 di atas dulang pembakar. Doh ini lembut ye dan mudah untuk ditekan.
7. Boleh dihias dengan ceri merah, ceri hijau, cip coklat (bergantung kepada citarasa dan kreativiti masing-masing).
8. Bakar dalam oven menggunakan suhu 140C selama 15 - 20 minit, api atas bawah (bergantung kepada oven masing-masing).
9. Sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas kedap udara.

Tips:
1. Gunakan butter yang dikeluarkan daripada peti sejuk. Ketepikan supaya ia sekadar lembut dan boleh dikacau. Jangan biarkan butter sehingga melting, baru hendak digunakan. Sekiranya telah melting, masukkan semula di dalam peti sejuk sekejap.

2. Jangan sesekali mengacau adunan sehingga kembang. Tidak perlu guna pengadun. Hanya gunakan senduk kayu atau spatula dan kacau adunan sekadar sebati. Sekiranya kembang, bunga juga akan turut kembang selepas dibakar.

3. Jangan biarkan doh terdedah kepada udara, nanti cepat keras, Selepas doh dihasilkan, boleh teruskan tugas menyemperit, tak yah nak buat kerja lain dah...

4 Selepas menyemperit penuh satu dulang, terus letakkan ceri sebab ketika ini doh masih lembut dan mudah lekat. Sekiranya letak lambat, ceri tidak akan lekat pada doh. Selepas bakar, ceri mudah tertanggal.

5 Selepas letak ceri atau cip coklat, ketepikan 15 - 20 minit di bawah kipas. Jangan terus masukkan ke dalam oven. Ini adalah supaya bunga maintain cantik walaupun selepas dibakar.

6. Kalau nak bunga cantik macam dalam gambar, masa menyemperit bunga tu mesti ada skil ayunannya. Bagi yang baru belajar menyemperit, mungkin hasilnya pembentukan bunganya tak berapa perfect. So praktis selalu, lama-lama akan dapat skilnya. Jangan pula nanti kata `saya dah ikut resepi ini, tapi bunga tak macam dalam gambar pun'. Resepi dan pembentukan bunga lain ye. Insya- Allah resepi kita boleh ikut, tetapi skil tu terpulang kepada diri masing-masing. Macam saya kata tadi, `Practise make Perfect'.

So Selamat Mencuba ye....

Untuk menempah sila SMS/WS Kak Noor @ 0162890412. Tempahan sepanjang tahun.

21 Februari 2016

Ayam Taucu Manis

Assalamualaikum


Semenjak cuaca panas yang tidak menentu kebelakangan ini, rasa macam nak demam aje...; sakit sendi, sakit tekak, dan cepat rasa letih. Selera makan pun berkurangan, senantiasa rasa dahaga. Kalau dapat minum jus tembikai atau lemon ice tea, memang rasa lega sangat tekak ni. Makan nasi pun dah kurang, walaupun dihidangkan dengan lauk pauk kegemaran. 


Anak-anak pun jarang menjamah nasi. Beralih kepada makanan ringan seperti burger, nugget goreng, kuih-muih, mee, bihun dan laksa. Ibu pun dah malas masak kalau semua orang tak nak makan.


Ingat lagi kata-kata bonda dan nenda, kalau tak ada selera makan, kita masak lauk yang simple aje yang boleh membuka selera. So tercari-carilah bahan-bahan yang ada di dalam peti ais. Nak masak tangkap muat aje ni tau.  Ternampaklah sebotol taucu manis yang dibeli bulan lalu yang masih tidak terusik. Masa inilah timbul idea nak masak taucu aje. Kalau ikan memang anak-anak tidak gemar. Nasib baik ada sedikit ayam di dalam peti ais lagi.


Bila masak ayam taucu manis ini, teringat zaman kanak-kanak dulu, arwah nenda selalu masak ikan taucu manis. Bertambah-tambah makan nasi walaupun lauknya ringkas. Memang sedap, air tangan nenda. Tetapi sekarang anak-anak lebih prefer ayam daripada ikan.



Resepi ayam masak taucu ini Kak Noor cedok daripada You Tube - Try Masak. Kak Noor olahkannya kepada catatan. Bila ada kelapangan Kak Noor gemar melihat video Try Masak ini. Banyak resepi masakan harian yang mudah diikuti. 


Resepi beserta tutorial lengkap Ayam Taucu Manis telah Kak Noor poskan dalam page FB Jom Masak Bersama Sajian Dapur Bonda.



Ayam Taucu Manis

Resepi Asal: You Tube - Try Masak
Dicuba dan diolah oleh: Sajian Dapur Bonda



Bahan-bahannya:
½ ekor ayam organik 
3 sudu besar taucu manis
1 sudu besar air asam jawa
1 biji tomato – dipotong wedges
2 biji bawang besar – dipotong bulat
1 biji timun Jepun – dipotong memanjang.
1 biji cili merah – dihiris
5 – 6 biji cili padi
1 batang saderi - dihiris
1 sudu besar pati asam jawa X-tra Adabi – dibancuh dengan air
1 sudu kecil gula
Sedikit serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
1 sudu kecil perasa kuah TUMIX
4 sudu besar minyak masak

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar – dihiris
4 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris mancis

Cara-caranya:
1. Mula-mula panaskan minyak. Tumis bawang besar, halia dan bawang putih.
2. Setelah naik bau dan bawang layu, masukkan ayam.
3. Gaul sehingga ayam sebati dengan bawang tadi.
4. Seterusnya masukkan hirisan batang saderi. Gaul rata bahan tadi supaya ia sebati.
5. Perasakan dengan garam, gula, lada hitam, dan perasa kuah TUMIX. Gaul lagi sehingga naik bau, dan rasanya meresap sebati bersama ayam.
6. Masukkan taucu manis. Tuangkan air asam jawa dan kemudian tutup periuk. Biarkan ia mereneh beberapa ketika sehingga ayam tadi benar-benar masak dan rasanya sebati. Renehkannya di atas api yang kecil.
7. Akhir sekali, setelah kuah kering sedikit, masukkan timun, bawang besar yang dipotong bulat, cili merah, cili padi, dan hirisan batang saderi. Kacau rata sehingga semuanya bercampur sebati. Angkat dan hidangkan di atas pinggan.
8. Ayam masak taucu telah sedia untuk dihidangkan.

31 Januari 2016

Daging Masak Merah Ala Thai

Assalamualaikum.



Semalam masak sup daging tulang lembu. Hari ini masih lagi menu daging. Hari Sabtu lalu semasa Encik Hasben beli tulang daging lembu di pasar tani Setiawangsa, dibelinya isi daging juga.  So bermenu daginglah di hujung minggu ini.




Untuk menu daging hari ini Kak Noor skodeng di blog Mamak Haji Roslan. Pada mulanya plan nak cari resepi daging ala nasi kandar, tetapi ternampak pos resepi Daging Masak Merah Ala Thai di blog Mamak Haji. 




Setulusnya Mamak Haji ini bukan saja terrer dalam masakan lauk-pauk nasi kandar, tetapi juga dalam masakan Ala Thai. Beliau merupakan antara chef idola Kak Noor yang tidak pernah kedekut ilmu dalam bidang masakan. Bukan sahaja bijak dalam bidang masakan, malah senantiasa mengikuti perkembangan masa dan banyak informasi terkini yang diposkan dalam FB yang mendatangkan manfaat kepada semua pembaca. 



Inilah main dish yang berjaya dimasak oleh Kak Noor untuk tengah hari ini iaitu Daging Masak Merah Ala Thai. Menu ini adalah antara faveret anak perempuan bongsu Kak Noor. Kalau ada lauk ini, mahu bertambah nasi.  Lagipun sejak berada di sekolah menengah ini, jarang sangat dia makan nasi. Tak berselera katanya. Mungkin disebabkan keletihan seharian di sekolah dan banyak tumpuan kepada homework yang diberikan oleh cikgu.  So menu hari ini telah membuatnya tidak sabar untuk makan nasi. Tambahan pula ada kicap Enaq, hmm... cukup menyelerakan. 




Terdapat sedikit olahan dari segi penggunaan bahan-bahannya.  Untuk tutorial bergambar mengenai cara-cara memasak menu ini boleh rujuk pos Kak Noor dalam laman FB Jom Masak Bersama Sajian Dapur Bonda.  Selamat Mencuba. 


Daging Masak Merah Ala Thai
Dicuba oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan diperlukan: 
½ kg. daging tempatan 
(Daging direbus menggunakan periuk tekanan) 

Bahan-bahan dikisar dan ditumis: 
2 biji bawang besar merah – saiz sederhana 
3 ulas bawang putih 
1 inci halia 
2 sudu besar cili kering kisar 
2 batang serai – dititik/diketuk

Bahan-bahan untuk sos: 
4 sudu besar sos tomato 
3 sudu besar sos cili 
1 sudu besar sos cili Thai 
2 sudu besar sos tiram 
1 sudu kecil sos ikan 
1 sudu besar sos kicap lemak manis ENAQ 
1 sudu besar jus lemon 
3 helai daun limau purut – dibuang tulang tengah 
Gula dan garam secukup rasa 
1 sudu besar serbuk perencah Maggi Cukup Rasa
1 sudu kecil tepung jagung – dibancuh dengan 1 sudu besar air. 

Untuk hiasan: 
2 biji bawang besar dipotong bulat 
½ biji lada benggala hijau - dipotong kiub 
½ biji lada benggala merah – dipotong kiub 
4 – 5 biji cili padi - diketuk 

Cara-caranya: 
1.   Mula-mula sekali rebus daging dengan sedikit warna merah. Kalau rebus biasa makan masa selama 1 jam lebih. Boleh direbus tanpa dihiris ataupun dihiris daging terlebih dahulu. Sekiranya menggunakan periuk tekanan hanya ambil masa lebih kurang 30 minit sahaja untuk daging empuk. Dalam resepi ini Kak Noor menggunakan periuk tekanan Noxxa untuk merebus daging. Set High Pressure 30 minit. Air rebusan jangan dibuang, dibuat stok untuk memasak. 
2.  Hiris daging yang telah empuk mengikut citarasa masing-masing sama ada dalam saiz kecil atau besar. 
3.  Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisaran sehingga garing sedikit, kemudian masukkan cili kering kisar.  Tumis sehingga pecah minyak seperti kita menumis sambal tumis. 
4.  Selepas terbit minyak masukkan sos cili, sos cili Thai, sos tomato, sos tiram, kicap manis, dan sos ikan. Perasakan dengan gula, garam, dan serbuk perencah Maggi Cukup Rasa. Sekiranya mahu kuah banyak, masukkan stok daging. Masukkan daging yang telah direbus tadi dan kacau rata. Bila kuah telah mendidih masukkan air bancuhan tepung jagung. 
5.  Masukkan daun limau purut, hirisan bawang, cili padi, cili benggala, dan jus limau.  Kacau rata dan biar kuah mendidih sekali lagi.
6.  Tutup api, dan bolehlah dihidangkan bersama nasi panas dan kicap Enaq. 

30 Januari 2016

Sup Tulang Daging Lembu Enak, berganda keenakannya dengan Kicap Pedas Enaq

Assalamualaikum.


Pagi lagi Encik Hasben telah ke Pasar Tani Setiawangsa membeli tulang daging lembu. Katanya teringin nak makan sup tulang. Biasalah kalau di pasar tani ni lauk-lauk memang segar, dan harganya pun turut juga `segar' ye. 



He..he.. Mungkin dah lama tak beli tulang daging lembu ni, tukujut teman bila Encik Hasben beritahu tulang daging lembu harganya RM74. Setelah ditimbang, beratnya 1.8 kg. Tu try congak berapa harga sekilo? Malaslah pula nak congak. Dah beli masak ajelah untuk makan. Bukan selalu pun...nak makan sedap mulut macam ni.




Kalau harga dah macam tu, masakannya pula mestilah berbaloi dengan harganya. So tercari-carilah resepi sup tulang yang boleh bikin `meletoop' selera. Bila search dalam FB sup tulang daging lembu, maka muncullah resepi-resepi yang berkaitan. 



Tetapi Kak Noor amat tertarik dengan resepi oleh Azie's Kitchen kerana bahan-bahan yang digunakan untuk menumis sup tulang daging lembu ini ada kelainannya. Percubaan pertama memasak sup tulang daging lembu menggunakan resepi ini memang marvellous dan paling terbaik. Dimakan pula bersama kicap pedas Enaq. Memang sedap dan berganda keenakannya. Berbaloi mencuba resepi ini.



Memandangkan terdapat beberapa bahan yang tidak tersedia di dapur, maka Kak Noor olah resepi ini mengikut kesesuaian bahan-bahan yang sedia ada. Walau bagaimanapun, resepi asal masih boleh dirujuk di blog Azie's Kitchen.



Untuk resepinya ada Kak Noor muatkan langkah-langkah penyediaannya (Sila rujuk setiap langkah pada setiap gambar di laman page FB Jom Masak Bersama Sajian Dapur Bonda). Bagi sesiapa yang mempunyai periuk tekanan Noxxa, ada juga dimuatkan langkah-langkah penyediaan sup ini.


Resepi Sup Tulang Lembu Enak
Rujukan:  Azie's Kitchen
Diolah oleh:  Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
1 kg. tulang lembu tempatan
2 sudu besar minyak masak
1 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar rempah soto
1 batang lobak merah – dipotong dadu
3 biji kentang – dipotong dadu
1 biji tomato – dipotong dadu
4 – 5 biji cili pagi - diketuk
1 sudu besar perencah Maggi Cukup Rasa
1 sudu besar serbuk lada hitam
Garam secukup rasa

Bahan-bahan Tumis:
1 batang kulit kayu manis (lebih kurang 2 inci)
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 biji bawang besar – dihiris

Bahan Kisar A:

2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia

Bahan Kisar B:
1 batang lobak merah
3 tangkai daun sup – ambil daun dan batangnya juga

Bahan-bahan untuk ditabur atas sup:
Daun sup dan daun bawang – dihiris
Bawang goreng
Kicap Enaq Pedas

Cara-caranya (memasak di dalam kuali):
1. Panaskan kuali. Masukkan minyak sapi dan minyak masak. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, dan buah pelaga diikuti dengan hirisan bawang besar. Tumis sehingga naik bau dan bawang besar bertukar warna kekuningan.
2. Kemudian masukkan bahan kisar A. Tumis sehingga bahan-bahan sedikit garing, kemudian masukkan pula bahan kisar B. Masak sehingga sedikit garing juga. 
3. Seterusnya masukkan rempah soto dan kacau rata. Masukkan sedikit air dan masak sehingga terbit minyak.
4. Masukkan tulang daging dan kaupbalikkan sehingga bahan-bahan tumisan tadi bergaul mesra dengan daging. Biar daging masak dalam kaedah mereneh di atas dapur selama 10 minit. Gunakan api sederhana.

Bagi yang menggunakan periuk tekanan Noxxa, selepasa langkah 4, terus ke cara-cara penggunaan periuk tekanan noxxa.

5. Kemudian masukkan air secukupnya dan masak sehingga daging empuk sepenuhnya.
6. Selepas daging empuk, masukkan perencah Maggi Secukup Rasa, serbuk lada hitam, dan garam. Kacau rata.
7. Kemudian masukkan ubi kentang, lobak merah, cili padi, dan buah tomato. Masak sehingga ubi kentang empuk. Tutup api. 
8. Semasa menghidangkan bolehlah ditabur hirisan daun sup/daun bawang, dan bawang goreng. Untuk rasa yang lebih enak, bolehlah tuang sedikit Kicap Pedas Enaq di dalam sup. Memang enaknya tidak terkata.

Penggunaan Periuk Tekanan Noxxa :
1. Bagi rakan-rakan yang mempunyai periuk tekanan Noxxa adalah lebih mudah memasak sup tulang di dalam periuk ini supaya daging cepat empuk. 
2. Selepas langkah No. 4, masukkan air secukupnya dan masak sehingga sup mendidih.
3. Kemudian alihkan sup daripada kuali ke dalam periuk tekanan Noxxa. Set High Pressure selama 60 minit. Halakan juga tombol ke arah Pressure.
4. Selepas 1 jam akan berbunyi beep. Halakan tombol ke arah steam. Lepaskan wap sepenuhnya, dan buka tudung. Ketika ini tulang daging telah empuk sepenuhnya. Off fungsi HP. 
5. On fungsi Stir Fry. Masukkan perencah Maggi Cukup Rasa, serbuk lada hitam, dan garam secukupnya. Masukkan ubi kentang, lobak merah, cili padi, dan buah tomato. Masak sehingga kuah mendidih sekali lagi. Off Stir Fry. 
6. Semasa menghidangkan bolehlah ditabur hirisan daun sup/daun bawang, dan bawang goreng. Untuk rasa yang lebih enak, bolehlah tuang sedikit Kicap Pedas Enaq di dalam sup. Memang enaknya tidak terkata.

27 Januari 2016

Menu Ala-ala Thai; Siakap Tiga Rasa

Assalamualaikum. 

 Dah lama tak masak sendiri menu ala-ala Thai ini. Selalunya beli saja di kedai Tom Yam sepulangnya dari kerja. Semalam ke Giant Taman Permata tengok ada ikan siakap. Berebut-rebut orang membeli sebab harga promosi.



So inilah menu Siakap Tiga Rasa yang selalu dimasak setelah berkali-kali diolah sehingga menepati citarasa keluarga. Sedap dimakan dengan nasi putih yang masih berasap tu. 



Sesiapa yang `hantu' kicap sudah semestinya wajib ada kicap sebagai tambatan selera. Untuk keluarga Kak Noor, kicap Enaq menjadi pilihan keluarga. Memang sesuai dan enak untuk semua jenis masakan.



Untuk memudahkan rujukan, ada disediakan langkah-langkah penyediaan menu ini di setiap gambar. Just klik di SINI


Resepi Siakap Tiga Rasa
oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
1 ekor ikan siakap
2 batang serai - dititik
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa
4 - 5 helai daun limau purut
2 biji bawang besar - dipotong gegelang (bulat)
Gula putih dan garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng ikan

Bahan-bahan Sayur (B):
¼ biji cili benggala merah - dipotong dadu
¼ biji cili benggala hijau - dipotong dadu
Lobak besar @ baby carrot - dihiris serong

Bahan-bahan Tumis (C):
5 biji cili merah – dibuang biji dan dipotong dadu
5 biji cili padi – dihiris halus
1 biji bawang besar – dipotong dadu
4 ulas bawang putih – dipotong dadu @ dicincang
1 inci halia – dihiris halus
Sedikit minyak daripada gorengan ikan.

Bahan-bahan Sos dan Kicap (D):
2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar sos cili Thai
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap lemak manis Enaq
1/2 cawan air (bergantung kepada kuantiti kuah yang dikehendaki)

Penyediaan Ikan:
1. Ikan dibersihan dan ditoskan. Kemudian lumur ikan siakap dengan kunyit, sedikit garam halus, Maggi Cukup Rasa, dan tepung jagung. 
2. Panaskan minyak dan goreng ikan siakap sehingga garing. Kemudian angkat dan ketepikan.

Penyediaan Kuah Tiga Rasa:
1. Gunakan sedikit daripada minyak gorengan ikan tadi untuk menumis. Masukkan bahan-bahan C bersama serai. Tumis sehingga naik bau dan bawang sedikit garing. 
2. Kemudian masukkan semua jenis sos, kicap lemak manis Enaq. Tambah air (bergantung kepada kuantiti kuah yang dikehendaki). Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih. 
3. Bila kuah telah mendidih masukkan daun limau purut dan sayur-sayuran. Perasakan dengan garam, gula perang, gula putih, dan perencah maggi cukup rasa. Biarkan seketika sehingga mendidih sekali lagi.
4. Akhir sekali sebelum ditutup api, masukkan bawang besar yang dipotong gegelang @ bulat tadi. Kacau rata dan bolehlah ditutup api.
5. Tuang kuah di atas ikan. Sedia untuk dihidangkan.

26 Januari 2016

SOTONG SAMBAL BEREMPAH, menerbitkan aroma rempah dalam sambal.


Assalamualaikum Semua.



Hari ini ambil cuti kecemasan sebab tak berapa sihat. Walaupun cuti, tetapi tetap bangun seperti biasa, dan sejak pagi lagi telah masuk dapur menyediakan sarapan untuk keluarga. Mentang-mentanglah cutikan... biasanya hasben belikan breakfast sebelum pergi kerja. 



Since dah ada kat umah dan stok lauk pun masih tidak terusik di  dalam peti sejuk, so banyaklah pilihan menu untuk dimasak. Tetapi biasalah Kak Noor ni tak masak banyak menu pun. Maksimum tiga menu, tu pun pilih yang simple aje. 



Pilihan menu utama ialah lauk sotong. Kalau di rumah, menu sotong yang memenuhi citarasa keluarga ialah masak sambal.  Kalau tak sambal pun, sotong tu mesti masak bercili. Kalau kari atau masak lemak, garenti tak jalan. 



Dalam masa yang sama terterbit pula idea untuk mengolah resepi sotong masak sambal dengan menggabungkan sedikit rempah ratus dalam masakan ini. Dan hasilnya... memang marvelous. Terasa aroma rempahnya; ala-ala masakan sambal mamak pula.  


Dan dengan gandingan sayur tumis soun dan fucuk, dan ikan tenggiri jeruk memang kena sangat dengan selera. Dan.. tidak lupa kicap Enaq ye.. kicap pilihan Kak Noor sekeluarga..


Resepi Sambal Sotong Berempah
Oleh: KakNoor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
1kg sotong basah - dikerat 3 @ 4
2 senduk nasi cili kering kisar
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh garam masala
1 sudu teh serbuk teh ketumbar
1/2 biji tomato -dipotong kiub
1 biji bawang besar -dihiris
3 ulas bawang putih -dicincang kasar
1 biji bawang besar - dipotong bulat @gegelang
1 biji cili hijau -dihiris serong
2 sudu besar kicap lemak manis Enaq
1 sudu besar sos tiram
Gula dan garam secukup rasa.

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak. Tumis hirisan bawang besar dan bawang putih yang dicincang kasar tadi. Tumis sehingga naik bau dan bawang layu dan bertukar warna.
2. Masukkan cili kering kisar dan kacau rata. Masak menggunakan api sederhana sehingga cili garing/terbit minyak.
3. Kemudian masukkan serbuk jintan manis dan putih, serbuk ketumbar, dan garam masala. Kacau dan biar ia mereneh di atas dapur selama 1 minit. Kemudian masukkan sedikit air dan kacau.
4.  Masukkan sos tiram, Kicap Lemak Manis Enaq, perencah Maggi Cukup Rasa, garam, dan gula secukup rasa. Masak sehingga kuah mendidih.
5.  Kemudian masukkan pula tomato.
6. Setelah cukup rasa bolehlah dimasukkan sotong. Kacau dan kaupbalikkan sehingga sotong bergaul mesra dengan kuah.
7.  Setelah sotong masak, bolehlah dimasukkan bawang besar yang dipotong bulat dan hirisan cili hijau. Kacau rata dan bolehlah dihidangkan

25 Januari 2016

Bihun Goreng Kicap Pedas

Salam ceria sahabat-sahabat semua.


Hari ini tiada menu lauk-pauk untuk makan tengah hari. Hanya sekadar bihun goreng. Lagipun perlu menyiapkan tempahan biskut daripada customer hari ini. Tengoklah untuk dinner nanti, kalau ada request nak makan nasi, baru masak lauk. Kalau tidak, ke pasar malam ajelah, tengok apa-apa yang tersangkut dengan selera nanti.






Bihun Goreng Pedas Kicap, rata-rata telah familiar dengan menu ini. Tapi hari ini Kak Noor nak kongsi resepi bihun goreng kicap pedas yang menjadi faveret family. Anak-anak Kak Noor ni tidak gemar bihun yang bercili @ warna cili. Lebih gemar yang berkicap dan manis-manis pedas. Tapi Kak Noor tak suka pula bihun 100% rasa kicap. Mesti ada kombinasi rasa cili dan kicap.  

Resepi ini terdahulu telah Kak Noor poskan dalam page FB Jom Masak Bersama Sajian Dapur Bonda.  Resepi bergambar juga disertakan.  Sila klik JMBSDB.



Untuk rasa kicap, semestinya Kak Noor menggunakan jenama kicap Enaq; kicap keluaran Muslim Halal Toyibban. Memang sedap dan sesuai sekali untuk menu masakan yang menggunakan kicap. Sesiapa yang belum cuba kicap ini, bolehlah mula bertukar ke kicap ini.


Resepi Bihun Goreng Kicap Pedas
Oleh: Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
1 bungkus bihun – direndam sehingga lembut dan ditoskan
Beberapa ekor udang hidup
2 biji tauhu – dipotong kiub
50 sen taugeh
1 senduk (sukatan senduk nasi) cili kering kisar
2 sudu besar sos cili Thai @ sos cili
2 sudu besar sos tiram
Kicap lemak manis Enaq
Kicap lemak masin Enaq
Gula secukup rasa
Air secukupnya.
Daun sup & daun bawang – dihiris
Cili merah – dihiris
Bawang goreng

Bahan-bahan tumis:
1 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih- dihiris

Cara-cara membuatnya:
1. Panaskan minyak. Goreng tauhu sehingga sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
2. Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau dan bawang bertukar warna kekuningan.
3. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga cili garing @ terbit minyak.
4. Selepas itu, masukkan sos cili, sos tiram, kicap manis, dan kicap masin, dan air secukupnya (Air hendaklah dimasukkan secukupnya sebab setelah bihun dimasukkan, tidak digalakkan menambah air lagi). Perasakan dengan gula. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih. Rasa kuahnya, kalau tidak cukup masin, bolehlah tambah garam. Kak Noor tak guna garam sebab memadai dengan menggunakan kicap lemak masih Enaq.
5. Masukkan udang dan masak sehingga udang masak.
6. Kemudian masukkan bihun. Gaul rata dan kaupbalikkan sehingga bihun bergaul mesra.
7. Selepas bihun telah lembut, akhir sekali masukkan taugeh. Kaupbalikkan ehingga bergaul mesra dan tutup api.
8. Semasa menghidang, bolehlah ditaburkan hirisan daun sup/daun bawang, hirisan cili hidup, dan bawang goreng.

21 Januari 2016

KEK MARBLE PANDAN COKLAT, lebih lembut dan lembap bila guna K-Fine Cream Super

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Rasa-rasanya agak lama juga tak ada entry untuk kek. Terliur juga tengok kawan-kawan di FB pos pelbagai jenis kek; semuanya mengancam selera. Teringin sangat nak rasa. Ada aje resepi yang berkenaan di hati, terus save dalam handphone, tapi buatnya tak tahu bila. 


Sebenarnya Kak Noor tidaklah pandai buat kek yang banyak step by step tu.  Ada krim, ada topping, ada cheese, ada karamel. ada kek lapis-lapis dan pelbagai kek yang terkini. Setakat kek simple bolehlah, lepas tu topping dengan krim coklat.  Lagipun keluarga Kak Noor pun tak berapa gemar kek yang berkrim.   Beli kek krim di kedai pun tak habis. Berhari-hari lamanya simpan di dalam peti ais sampai keras.



Hari ini Kak Noor buat Kek Marble Pandan Coklat saja untuk kudapan keluarga.. Tak ada cheese, x ada cream topping dan tak ada decoration pun. Janji pula ngap sudah. Half portion untuk rumah dan half portion lagi Kak Noor `sumbang' kat pejabat.



Kejadian kek ini lebih lembut dan lembap sebab Kak Noor masukkan K-fine Cream Super semasa mengadun kek ini.  K-Fine Cream Super ini Kak Noor beli online daripada Maestro Ateh Wan.

19 Januari 2016

Kari Telur Ala-ala Nasi Kandaq

Assalamualaikum Semua.


Dah dinner ke belum? Siang tadi tak masak untuk lunch. Just goreng nasi untuk breakfasti dan makan sehingga ke petang. Malam terasa keroncong pula perut. Lepas maghrib terus ke dapur tengok apa yang ada. Selalunya bila masak lauk telur ini ia adalah alternatif terakhir sebab stok lauk-pauk semua telah clear. 


So inilah menu untuk makan malam ini. Fresh from kuali. Set makan malam yang ringkas tetapi mengancam selera; kari telur, ikan tenggiri jeruk goreng bersama kicap enaq. Dimakan bersama nasi panas. Sedap bak hang... Encik suami bertambah nasi. Sempat juga cheq mencelah, amboi... tambah nasi nampak. Sedap ka? Mestilah sedap kan... kalau tidak taklah bertambah nasi.



Kari telur ini kuahnya pekat ye. Kalau nak kuahnya cair, bolehlah tambah air aje. Kari ini kalau dah semalaman lagi sedap. Boleh cicah ngan roti benggali untuk breakfast esok.


Yang paling sedap bila dapat makan nasi berlauk kari telur dengan kicap lemak manis Enaq.  Fuhhh... sedap.  Teringat zaman semasa kecil.  Kalau makan nasi dengan apa-apa lauk kari, mesti ada kicap.  Dah jadi mak pun masih ada taste macam tu juga.  Ada kari, ada kicap. 

Resepi ini juga boleh diakses di page FB sajian dapur bonda. Siap dengan langkah-langkah penyediaannya di setiap gambar.  Sila klik di sini


Resepi Kari Telur Nasi Kandaq
Oleh: Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
10 biji telur ayam – direbus
Segenggam ikan bilis – dibasuh dan ditoskan.
3 biji kentang - dibelah dua atau tiga
2 biji cili hijau – dibelah dua tetapi tidak putus
2 keping asam gelugor @ asam keping
1 cawan santan pekat – Kak Noor guna santan sawit KHALIS
1 sudu kecil perencah kuah TUMIS
1 sudu besar gula
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan tumisan:
1 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
2 tangkai daun kari – dilurut daunnya

Bahan-bahan dikisar lumat (menggunakan blender):
4 sudu besar rempah kari daging BABAS
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 ½ inci halia
3 biji cili hijau
4 biji buah keras
Air secukupnya untuk mengisar

Cara-cara penyediaannya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumisan sehingga naik bau (jangan sampai hangus).
2.  Kemudian masukkan bahan-bahan kisar dan kacau rata. Gunakan api sederhana. Tutup kuali bagi mengelakkan kauh merecik ke dinding. Masak sehingga rempah sedikit garing/terbit minyak.
3.  Masukkan santan bersama 2 cawan air. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih.
4. Perasakan dengan gula, garam, dan perencah kuah TUMIS. Kacau rata.
5.  Masukkan ubi kentang dan masak sehingga ubi kentang empuk.
6.  Setelah ubi kentang empuk, masukkan telur rebus, ikan bilis, dan asam gelugor. Kacau dan biarkan kuah mendidih sekali lagi dan ikan bilis masak sempurna.
7.   Sebelum tutup api, masukkan cili hijau.
8. Sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih dan ikan tenggiri jeruk goreng.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan