Langkau ke kandungan utama

Ayam Taucu Manis

Assalamualaikum


Semenjak cuaca panas yang tidak menentu kebelakangan ini, rasa macam nak demam aje...; sakit sendi, sakit tekak, dan cepat rasa letih. Selera makan pun berkurangan, senantiasa rasa dahaga. Kalau dapat minum jus tembikai atau lemon ice tea, memang rasa lega sangat tekak ni. Makan nasi pun dah kurang, walaupun dihidangkan dengan lauk pauk kegemaran. 


Anak-anak pun jarang menjamah nasi. Beralih kepada makanan ringan seperti burger, nugget goreng, kuih-muih, mee, bihun dan laksa. Ibu pun dah malas masak kalau semua orang tak nak makan.


Ingat lagi kata-kata bonda dan nenda, kalau tak ada selera makan, kita masak lauk yang simple aje yang boleh membuka selera. So tercari-carilah bahan-bahan yang ada di dalam peti ais. Nak masak tangkap muat aje ni tau.  Ternampaklah sebotol taucu manis yang dibeli bulan lalu yang masih tidak terusik. Masa inilah timbul idea nak masak taucu aje. Kalau ikan memang anak-anak tidak gemar. Nasib baik ada sedikit ayam di dalam peti ais lagi.


Bila masak ayam taucu manis ini, teringat zaman kanak-kanak dulu, arwah nenda selalu masak ikan taucu manis. Bertambah-tambah makan nasi walaupun lauknya ringkas. Memang sedap, air tangan nenda. Tetapi sekarang anak-anak lebih prefer ayam daripada ikan.



Resepi ayam masak taucu ini Kak Noor cedok daripada You Tube - Try Masak. Kak Noor olahkannya kepada catatan. Bila ada kelapangan Kak Noor gemar melihat video Try Masak ini. Banyak resepi masakan harian yang mudah diikuti. 


Resepi beserta tutorial lengkap Ayam Taucu Manis telah Kak Noor poskan dalam page FB Jom Masak Bersama Sajian Dapur Bonda.



Ayam Taucu Manis

Resepi Asal: You Tube - Try Masak
Dicuba dan diolah oleh: Sajian Dapur Bonda



Bahan-bahannya:
½ ekor ayam organik 
3 sudu besar taucu manis
1 sudu besar air asam jawa
1 biji tomato – dipotong wedges
2 biji bawang besar – dipotong bulat
1 biji timun Jepun – dipotong memanjang.
1 biji cili merah – dihiris
5 – 6 biji cili padi
1 batang saderi - dihiris
1 sudu besar pati asam jawa X-tra Adabi – dibancuh dengan air
1 sudu kecil gula
Sedikit serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
1 sudu kecil perasa kuah TUMIX
4 sudu besar minyak masak

Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar – dihiris
4 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris mancis

Cara-caranya:
1. Mula-mula panaskan minyak. Tumis bawang besar, halia dan bawang putih.
2. Setelah naik bau dan bawang layu, masukkan ayam.
3. Gaul sehingga ayam sebati dengan bawang tadi.
4. Seterusnya masukkan hirisan batang saderi. Gaul rata bahan tadi supaya ia sebati.
5. Perasakan dengan garam, gula, lada hitam, dan perasa kuah TUMIX. Gaul lagi sehingga naik bau, dan rasanya meresap sebati bersama ayam.
6. Masukkan taucu manis. Tuangkan air asam jawa dan kemudian tutup periuk. Biarkan ia mereneh beberapa ketika sehingga ayam tadi benar-benar masak dan rasanya sebati. Renehkannya di atas api yang kecil.
7. Akhir sekali, setelah kuah kering sedikit, masukkan timun, bawang besar yang dipotong bulat, cili merah, cili padi, dan hirisan batang saderi. Kacau rata sehingga semuanya bercampur sebati. Angkat dan hidangkan di atas pinggan.
8. Ayam masak taucu telah sedia untuk dihidangkan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlu...