Suasana kampung yang damai senantiasa menggamit nostalgia. Di sinilah Kak Noor dibesarkan oleh nenek tersayang sejak Kak Noor dilahirkan. Teringat pabila tiba waktu petang, nenek akan sediakan juadah petang. Menu yang kerap dihidangkan ialah cekodok. Itulah menu yang paling ringkas dan cepat dimasak dan sedap dimakan. Orang dulu-dulu tak panggil cekodok, dia orang panggil jemput-jemput . Kalau orang Utara panggil CUCUQ (bila pronounce tu... kenalah sekali dengan idghamnya). Pelbagai menu cucuq yang disediakan, antaranya yang paling Kak Noor suka ialah Cekodok Kelapa atau dalam bahasa ibunda Kak Noor cucuq nyok.
Cucuq Nyok ni kalau dapat dicicah dengan sambal tumis atau kari semalam, memang meletop! Hidangkan pula dengan air teh o wangi atau kopi o. Hai... x tahu nak cakap le... Cucuq nyok ni nenek Kak Noor hidangkan untuk dimakan bersama-sama kawan sepermainan. Seperti biasa, sekitar jam 4.30 petang, kawan-kawan akan datang ke rumah untuk ajak Kak Noor bermain.
Main Tuju Tin |
Main sorok-sorok |
Main teng-teng |
Permainan kanak-kanak zaman dahulu tak seperti permainan sekarang. Ia semakin pupus akibat perubahan zaman yang semakin tinggi teknologi dan semakin moden. Permainan dahulu seperti `zero point', main tuju tin, main tuju selipar, police sentri, teng-teng, ular naga, chaplom, sorok-sorok, main guli, main gasing dan lain-lain lagi di mana semua permainan ini mempunyai nostalgianya sendiri yang sememangnya tidak mungkin dapat dirasai oleh anak-anak zaman sekarang. Tak kira lelaki atau perempuan boleh bermainnya. Cuba tanya anak-anak kita, tahukah mereka akan permainan-permainan ini?
Ok.. itu serba sedikit cerita Kak Noor mengenai permainan zaman kanak-kanak dahulu yang ingin dikongsi bersama di sini. Kita berbalik kepada ceghita nak buat cucuq nyok tadi. Rasanya dah tersasar dari tujuan asal ni! Anyway sekali-sekala mengimbau nostalgia semasa zaman kanak-kanak bersama-sama, apa salahnya kan.
Resepi asal cekodok kelapa ini menggunakan parutan kelapa muda. Tetapi disebabkan emergency dan tak ada kelapa parut muda, Kak Noor gantikan dengan kelapa kering dalam tin. Resepi ini diolah oleh Kak Noor dengan menambahkan bahan-bahan yang bersesuaian bagi menambahkan kesedapannya. Hasilnya? Insya Allah sedap pada tekak Kak Noor dan keluarga.
Bahan-bahannya:
2 cawan kelapa parut kering - boleh dibeli di pasar raya sama ada dalam bungkusan plastik atau tin.
4 cawan tepung gandum ) diayak
1 sudu teh soda bikarbonat ) bersama
1 biji telur
3 sudu besar susu cair
1/2 cawan gula putih
1 sudu teh garam
Air suam secukupnya untuk membancuh adunan
Minyak untuk menggoreng.
Cara-cara membuatnya:
1. Dalam satu bekas, masukkan kesemua bahan. Gaul rata dan tuang air sambil diadun sehingga bancuhan boleh dijemput. Biarkan seketika lebih kurang 10 - 15 minit sehingga adunan kembang sedikit.
2. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Gunakan api yang sederhana (Jangan guna api kuat, dikhuatiri nampak masak diluar tetapi di dalam belum masak lagi). Jemput adunan tadi menggunakan jari. Kemudian goreng sehingga kekuningan pada keseluruhan bahagian.
3. Angkat dan toskan. Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama sambal tumis atau kari semalam. Sedap dimakan ketika masih panas.
Ulasan