Langkau ke kandungan utama

Gulai Lemak Ikan Talang Masin Dengan Nanas

Assalamualaikum dan Selamat Tengah Hari daripada Kak Noor dan sekeluarga.

Hm... memang agak lama Kak Noor tidak bersiaran.  Kalau tak salah Kak Noor telah lebih daripada sebulan Kak Noor meninggalkan blog ini tanpa entri baharu.  Terasa rindu sangat  jari jemari ini untuk menaip semula dan menyajikan menu-menu yang terperap agak lama dalam sajian dapur bonda. 

Kemaafan dipinta sekiranya ada rakan-rakan yang singgah di blog ini tidak dapat menatapi resepi terbaharu daripada SDB.  Faktor kesihatan dan kesibukan kerja tidak mengizinkan Kak Noor untuk berceloteh lebih kerap dan lama di laman blog ini.




Syukur Alhamdulillah dengan keizinanNYA Kak Noor dapat kembali duduk di depan komputer dan memuatkan resepi untuk menu tengah hari ini.  Agak ringkas resepi hari ini iaitu gulai lemak ikan talang masin dengan nanas dan juga Sambal  Tumis Telur. Rasanya semua orang telah expert memasak resepi ini kan!  


Bahan-bahannya:
350  gram ikan talang masin, dipotong kepingan kecil - (Kak Noor guna ikan talang masin saiz kecil)
1/2 biji nanas masak (empulurnya dibuang),  dipotong kecil atau dadu
1 cawan santan sawit KHALIS (ditambah 2 cawan air lagi untuk dijadikan santan cair)
1 cawan santan sawit KHALIS (santan pekat)
2 batang serai - dititik
2 - 3 helai daun limau purut
Garam / gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar (menggunakan blender):
10 biji cili padi (5 biji cili padi hijau + 5 biji cili padi merah)
3 inci kunyit hidup
2 labu bawang besar
Air secukupnya

Cara-cara membuatnya:
1.  Rendam ikan masin di dalam air lebih kurang 1/2 jam untuk menghilangkan rasa masinnya.  Basuh dan toskan.
1. Masukkan santan cair, serai,  serta semua bahan kisar di dalam periuk.
2. Masukkan ikan kering talang dan kepingan nanas.  Masak sehingga mendidih dan nanas layu.
3. Tuangkan santan pekat.  Perasakan dengan  garam dan gula.  Masukkan daun limau purut.
4. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Kuah hendahlah sentiasa dikacau supaya tidak pecah santan.
5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum ...aduhai sedapnya ..mmg peberet saya gulai ikan masin talang dgn nenas ni
Tanpa Nama berkata…
Memg sdap la.maveles..

Catatan popular daripada blog ini

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

SAWI RAJA GORENG SOS TIRAM

Tak ramai orang kenal sayur ni kan?  Kebiasaannya kalau kita masak sayur, hanya terlintas di fikiran kita sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, kobis, dan kailan yang telah kita kenali sejak dahulu lagi. Tetapi sayur ini? Menjadi teka teki akan namanya.  Kak Noor sendiri pun tak tahu nama sayur ini, pakai beli sahaja disebabkan teruja dengan kesegaran dan kehijauannya.  Beli sayur ni kat NSK Selayang dan ramai orang Cina yang membelinya. So.. hari tu sempat Kak Noor tanya seorang perempuan Cina, sedap x sayur ni dan macam mana masak? Katanya sedap dan dengan murah hatinya dia berkongsi cara-cara untuk memasak sayur ini. Tapi... Kak Noor tak tanya pulak nama sayur ini kepadanya. Memandangkan ketidaktahuan nama sayuran ini, maka ter`pending'lah N3 untuk resepinya.  Kak Noor akses internet untuk mencari nama bagi sayur ini.  Puas jugalah mencari... sehingga terpaksa Kak Noor letakkan dalam FB gambar sayur ini bertanyakan kepada rak...