Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

30 Januari 2014

Sambal Tumis Telur, nostalgia zaman kanak-kanak. Walaupun ringkas tetapi menu ini masih tetap di hati.


Inilah menu semasa zaman kanak-kanak; sambal tumis telur.  Memang sedap jika dimakan dengan nasi panas bersama kicap.  Tak perlu lauk lain.  Apa lagi kalau makan beramai-ramai bersama kawan.  Boleh bertambah nasi.  Kalau pergi berkelah, bawa sambal tumis telur ni pun sedap.

Bila telah bergelar ibu kepada lima orang cahaya mata, menu ini merupakan penyelamat di waktu `kecemasan' sekiranya stok lauk-pauk telah clear dalam peti sejuk.  Lagipun anak-anak Kak Noor memang suka makan telur.  Stok telur memang sedia ada di rumah.  Percaya tak kalau Kak Noor beritahu bahawa dalam masa seminggu 30 biji telur (1 papan) boleh clear.  Anak-anak Kak Noor ni walaupun kita dah masak lauk lain, tetapi nak juga goreng telur sebagai lauk sampingan.  Selalunya dia orang goreng sendiri telur mata kerbau/lembu.  Ada juga yang buat telur 1/2 masak dan telur hancur.  Setakat 1 biji seorang memang tak cukup; minimum mesti 2 biji seorang. 

Bagi menambahkan selera, boleh goreng ikan tenggiri jeruk yang dalam botol tu dengan bawang.  Sesekali dihidangkan dengan menu sambal tumis telur bersama ikan masin dan juga ulam-ulaman memang berselera sekali.




So ayuh tunggu apa lagi.  Jom kita masak.

Bahan-bahannya:
10 biji telur ayam - dibasuh dan direbus (semasa merebus masukkan 1 sudu kecil garam)
2 keping asam gelugor (asam keping)
2 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil kicap manis
3 sudu besar susu cair (boleh guna santan sekiranya tiada susu cair)
2 biji bawang besar - dipotong gegelang
1 helai daun pandan - disimpul
Garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis


Bahan-bahan dikisar (menggunakan blender):
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis kopek - direndam 5 minit, kemudian dibasuh.
3 sudu senduk nasi cili kering yang telah dikisar (Stok cili kering kisar memang telah sedia ada dalam peti ais)
1/4 inci belacan - opsyen
Air secukupnya untuk mengisar

Cara-caranya:
1.  Rebus telur sehingga masak.  Bila telah sejuk, bolehlah dibuang kulitnya.  Telur rebus juga boleh digoreng dahulu jika suka.
2.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan daun pandan dan kacau.  Tuangkan bahan-bahan yang dikisar tadi ke dalam periuk.  Kacau rata dan tudung periuk.  Biarkan cili masak sehingga terbit minyak.
3.  Selepas terbit minyak, masukkan 1 cawan air dan kacau rata.  Masukkan sos tiram, gula perang, gula putih,  garam, dan asam gelugor,  dan masak sehingga semuanya bercampur sebati.
4.  Masukkan telur rebus tadi, diikuti dengan susu cair.  Kacau dan masak sehingga kuah mendidih.  Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong gegelang.  Kacau dan tutup api.
5.  Sedia untuk dihidangkan.


Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang