Langkau ke kandungan utama

THE MAKING OF `BUBUR ASYURA STAIL UTARA', RESEPI TURUN TEMURUN DARIPADA BONDA TERSAYANG.

Syukur Alhamdulillah, akhirnya projek mengacau Bubur Asyura yang tergendala sejak dua minggu yang lalu berjaya dilaksanakan pada hari ini dengan bantuan suami dan anak-anak.


Sebenarnya bahan-bahan untuk Bubur Asyura ini telah dibeli dua minggu yang lalu dan rancang untuk membuatnya pada hujung minggu.  Tetapi sejak dua minggu yang lalu apabila banyak komitmen lain yang perlu didahulukan, maka projek ini tertunda. Bonda Kak Noor pesan kalau kita nak kacau Bubur Asyura mestilah dengan penuh minat dan relaks,  dan tak boleh tergesa-gesa.  Lagi satu mesti bertenaga, kalau letih dan tak larat tu, sebaik-baiknya tundalah pada hari yang lain.


Proses penyejukan sebelum dimasukkan di dalam peti ais.

Hari ini, Alhamdulillah diberi kudrat olehNYA untuk menyediakan Bubur Asyura ini. Dan lagi satu bonda Kak Noor pesan, kalau kita buat Bubur Asyura atau Bubur Lambuk, tak boleh makan sorang-sorang, mesti diberi kepada jiran-jiran sebagai suatu sedeqah.

Ready for distribution kepada jiran-jiran dan rakan-rakan di pejabat

Memang banyak persediaan yang perlu dilakukan sebelum dapat dinaikkan di atas dapur.  Dari proses memotong, merendam sehinggalah proses merebus, semuanya perlu dilakukan dengan sabar.  Kalau buat bersama jiran, taklah penat sangat.  Boleh diagih-agihkan tugas.  Tetapi Kak Noor buat sorang-sorang kat rumah kerana resepi Bubur Asyura Utara ini tidak sama dengan resepi Bubur Asyura negeri-negeri lain.

Pisang emas, antara bahan wajib yang menyedapkan lagi Bubur Asyura.
Pisang emas yang dipotong kiub

Kacang hijau yang telah direbus empuk

Sebenarnya memasak Bubur Asyura ini boleh dikatakan mudah juga,  cuma ambil masa untuk proses penyediaan bahan-bahannya. Walaupun mudah, tapi bila tiba bab mengacau Bubur Asyura ini memang diakui penat. Bermula dari kita naikkannya di atas dapur sehinggalah ke akhir, kita perlu mengacaunya tanpa berhenti dan menggunakan api yang sederhana.  Kalau kita berhenti mengacau dan menggunakan api yang besar, adunan akan rentung/hangit di bahagian bawah.  Lenguh tangan juga le... tapi nasib baik ada assistants; suami dan anak perempuan yang bergilir-gilir mengacaunya.


Tadi ada jiran Kak Noor sms, dia kata tak pernah lagi makan Bubur Asyura yang ada kekacang.  Dia tanya ini bubur asyura stail Penang ke...   Itulah lain negeri, lain stail Bubur Asyuranya. Yang Kak Noor tahu inilah Bubur Asyura yang dimasak oleh bonda Kak Noor sejak dahulu lagi.

Hari ini Kak Noor nak kongsi resepi turun-temurun ini dengan rakan-rakan semua.  Jom kita tengok resepinya.   

Antara bahan-bahan yang digunakan.  

Bahan-bahan A:
2 kampit 500 gram tepung beras = 1 kg.
200 gm tepung jagung
Pisang emas – anggaran 2 kg.
1 liter pati santan sawit KHALIS
1 tin susu cair
1 tin jagung manis

1 tin kacang merah ABC
1 1/2 kg. gula pasir - boleh dikurangkan jika tidak suka manis
½ kg. gula merah
200 gm sagu putih
Kismis ikut citarasa
Beberapa helai daun pandan
Garam secukup rasa

Bahan-bahan B:
800 gm kacang hijau
300 gm kacang kuda
300 gm kacang ketupat (kacang duduk)

300 gm kacang soya
300 gm kacang merah ABC

300 gram jagung
1 kg. ubi keledek kuning

Penyediaan Awal:
1. Pisang emas dibuang kulit dan dipotong dadu (lebih ½ inci lebar).
2. Ubi keledek dibuang kulit dan dipotong dadu.
3. Semua bahan B direbus secara berasingan sehingga empuk. Kecuali keledek direbus ¾ empuk, jangan sampai hancur. Kemudian toskan. Air rebusan ubi keledek disimpan dan digunakan untuk membancuh tepung.
4. Satukan gula merah dan gula putih di dalam periuk. Masukkan air secukupnya dan dididihkan di atas dapur sehingga gula larut, kemudian tapiskan.
5. Sagu direndam sehingga kembang, kemudian dibersihkan dan ditoskan.



Cara-cara Memasaknya:
1. Satukan tepung beras, tepung jagung, pati santan, susu cair, air rebusan keledek, larutan gula merah dan gula putih, dan garam di dalam bekas. Gaul semua bahan sehingga sebati, kemudian ditapis. Selain kaedah tapis, boleh gunakan kaedah yang lain iaitu cairan tadi dimasukkan di dalam blender dan kisar sehingga adunan halus. Kemudian masukkannya di dalam periuk/kuali besar dan kacau di atas api sehingga 1/2 pekat.
2. Masukkan kacang kuda, kacang ketupat, kacang merah, ubi keledek, jagung, sagu, kismis, dan daun pandan. Kecilkan api dan kacau adunan sehingga ¾ pekat. Akhir sekali masukkan pisang, jagung tin, dan kacang ABC tin. Kacau lagi sehingga adunan masak.
3. Untuk memastikan adunan ini masak dengan elok, ambil sedikit daripada adunan tadi dan letakkan di atas piring. Biarkan ia sejuk sebenar. Selepas sejuk, cuba golekkan adunan tadi di atas piring. Sekiranya ia tidak melekat, ini bermakna adunan tadi telah masak. Tetapi sekiranya ia masih melekat, ini bermakna adunan tadi belum betul-betul masak. Hendaklah dikacau lagi.
4. Adunan ini mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk masak.
5. Setelah masak, tuangkan adunan tadi di dalam bekas. Biar sejuk sebentar di luar, kemudian masukkan di dalam peti ais untuk disejukkan. Untuk lebih wangi, lapik daun pisang terlebih dahulu di dalam bekas sebelum adunan dituang. 


Selamat Mencuba...

Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa...

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlu...

Kari Ikan Pari

Bahan-bahannya:  500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping 10 batang bendi 1 biji terung panjang – dipotong serong 1 biji tomato – dibelah empat 2 biji cili hijau 4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil 1 sudu besar pati asam jawa 1 cawan pati santan + 2 cawan air Garam secukup rasa Minyak secukupnya untuk menumis Bahan mesin (A): 4 sudu besar rempah kari 1 sudu kecil jintan manis 1 sudu kecil jintan putih 1 sudu kecil serbuk cili 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih Air secukupnya (Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus) Bahan tumis (B): 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih 1 sudu besar halba campur 2 tangkai daun kari Cara-cara memasak: · Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan. · Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minya...