Langkau ke kandungan utama

AISKRIM - nostalgia zaman kanak-kanak, tetapi masih menjadi kegemaranku...

Lemak, manis, dingin, hmmmm.... sedapnya Aiskrim. Bukan saja kanak-kanak, orang yang dah berusia macam Kak Noor ni pun masih minat nak makan aiskrim.

Bila cerita pasal aiskrim, terimbau kembali zaman kanak-kanak dulu. Kebiasaanya bila apek aiskrim lalu, menggoyang loceng `ting,ting,ting', terus Kak Noor meluru turun tangga menjerit `aiskrim, aiskrim... tunggu!' Bila apek aiskrim berhenti, ramailah kanak-kanak seangkatan dengan Kak Noor turut berkerumun di sekeliling basikal roda tiga apek aiskrim. Tidak menang tangan apek melayan tetamu-tetamu kecil ini. Jenama aiskrim yang famous pada masa itu ialah Walls dan Magnolia.



Gambar hiasan:  Lebih kurang beginilah basikal roda tiga yang
digunakan oleh apek aiskrim  (tidak termasuk orangnye ok!)


Kebiasaannya Kak Noor beli aiskrim kon atau aiskrim potong aje... (seperti gambar di bawah).  Itulah saja yang termampu dibeli, baki dari duit saku sekolah yang tidak dibelanjakan.  Ada perisa durian, jagung, vanilla, coklat,  dan strawberry.  Seingat Kak Noor harganya mungkin sekitar 5 sen - 10 sen. Dah ingat-ingat lupa. Mana taknye... nostalgia 40 tahun lalu, slow sikit flash back nye..





Inilah aiskrim potong yang dijual suatu ketika dahulu. Di tengah-tengahnya aiskrim, dan dikapit oleh wafer atas dan bawah. Sekarang ini dah jarang jumpa style macam ni. Kalau yang adapun dikapit oleh roti.






Gambar di atas pula ialah aiskrim kon. Sejak dari dahulu sehingga sekarang, `wajah'nya masih tak berubah; tetap maintain.. gitu! Tetapi sekarang ini kita boleh pilih sama ada nak wafer cone seperti gambar di atas ataupun wafer cone yang mahal sedikit seperti yang digunakan untuk aiskrim Cornetto.




Gambar diambil dari  http://myworldbylina.blogspot.com


Selain aiskrim potong dan aiskrim kon, Kak Noor suka beli aiskrim ini juga. Aiskrim ni namanya aiskrim potong jugak. Perisa yang paling Kak Noor suka dari dulu dan selama-selamanya ialah perisa read bean dan pulut hitam. Kalau nak beli satu atau dua batang aje... memanglah tak berbaloi sebab seisi keluarga suka sangat aiskrim potong ini.






Ada yang telah dipaket siap dalam kotak; satu kotak ada 6 batang aiskrim. Berbagai-bagai jenama yang ada sekarang seperti king's dan sinwah.  Ada juga yang tidak berjenama dan dijual secara loose.  So kita boleh ambil berapa batang yang kita hendak; satu dozen, dua dozen.... `tepuk dada, tanyalah selera'.  Letak dalam freezer, bila lepas makan nasi atau teringin nak makan benda-benda manis, bolehlah ambil aiskrim potong tu sebagai dessert.

Aha! di bawah ini pula aiskrim jenama sendiri.  Hanya diproses di rumah dan tak perlu beli kat kedai.  Tapi bukanlah Kak Noor yang membuatnya, tapi anak dara Kak Noor yang empunya idea. Pulang dari kerja hari itu, tengok ada aiskrim dalam freezer.  Ada perasa strawberry, coklat dan vanilla. Sedap dan enak juga... oklah... tetapi tidaklah setanding dengan aiskrim Baskin Robbins yang mahal tu! Sempat juga tanyakan siapa yang buat aiskrim ni! Katanya, kakaklah.  Tanya pula Kak Noor, kat mana ambil resepi. Dia kata ibulah yang beri kat dia hari tu.  Kak Noor sendiri pun dah lupa siapa yang empunya resepi aiskrim ini. Apapun kalau sesiapa yang membaca N3 aiskrim ini dan resepinya bersamaan dengan N3 ini, Kak Noor mohon maaf kerana tak dapat nak beri link yang empunya resepi, dan mohon dihalalkan ye!   




Inilah aiskrim yang dibuat sendiri.  Mula-mula buat basenya iaitu rasa vanilla, kemudian bahagikan adunan dan letak perasa apa yang kita suka.







Inilah bahan-bahan yang digunakan.  Semua rumah mesti ada bahan-bahan inikan!  So... apalagi, jom kita buat aiskrim sendiri. Mudah aje.  Lagipun bahan-bahannya pun mudah didapati.  Bila dah cuba buat sekali, nak buat berkali-kali.






Bahan-bahannya:
1/2 tin susu cair
*1/2 tin santan - guna sukatan tin yang sama (Kak Noor guna santan sawit KHALIS)
1/2 tin susu pekat
1 biji telur
1 sudu besar ovalette yang halal
1 sudu kecil esen vanilla
*(Kalau tak mahu guna santan, gunakan 1 tin susu cair)

Untuk Perasa:
Koko
Milo
Strawberry

Hiasan:
Chocolate rice
Chocolate cips
Chocolate bar
Kismis

Cara Membuatnya:

1. Menggunakan pengadun elektrik, adun kesemua bahan pada kelajuan sederhana selama 20 - 30 minit sehingga tekstur pekat dan likat (ala cream).



2. Masukkan adunan dalam freezer sekejap (lebih kurang 10 minit). Kemudian keluarkan adunan dari feezer dan pukul/whisk adunan ini dengan pengadun elektrik dengan kelajuan tinggi sehingga adunan ini terbentuk pekat dan gebu seperti ais krim.

3. Kemudian asing-asingkanlah kalau nak buat pelbagai perisa. Base asal adalah vanilla. Boleh letak coklat + milo, perasa strawberry, perasa jagung, dan perasa-perasa lain yang digemari.

4. Hiaskan mengikut kreativiti sendiri. Boleh letak coklat rice, chocolate cip, kismis ataupun coklat bar.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum...masa kecik dlu suka mkn eskerim yg kepit biskutkiri kanan tu...klu org jual eskerim lalu dpan rmh bila x dpt beli marajuk sampai ke malam...nostalgia sungguh....
Unknown berkata…
anak sat suka tp x pernah menjadi bila buat..mohon izin kongsi rsepi ye.tq.
Tanpa Nama berkata…
Tanks for the resepi yee kak..tak sbr nk cuba

Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa...

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

Rendang Pedas Ayam, 8 minit dengan Periuk Noxxa

Assalamualaikum. Hari ini Kak Noor ingin kongsi satu lagi resepi yang dimasak menggunakan Periuk Tekanan Elektrik Berbilang Fungsi Noxxa atau mudah disebut Pressure Cooker Noxxa. Sejak ada periuk ajaib ini, teruja pula nak bereksperimen memasaknya dengannya. Memang mudah dan menjimatkan masa. Apa yang penting kita mesti tahu fungsi butang pada panel kawalan periuk tersebut dan cara settingnya.  Kalau dulu kita memasak rendang di dalam kuali dan mengambil masa agak lama untuk ayam empuk, tetapi sekarang dengan menggunakan periuk ajaib ini hanya mengambil masa 8 minit untuk ayam empuk.  Tidak sampai 1 jam telah boleh dihidangkan. Resepi yang ingin Kak Noor ketengahkan ialah Rendang Pedas Ayam.  Resepinya sama sahaja seperti resepi yang pernah Kak Noor kongsikan sebelum ini. Tetapi kali ini ada sesetengah bahan itu diberikan dalam sukatan gram bagi memudahkan rakan-rakan mengikut resepi ini dengan tepat.  Bahan-bahannya: 1.5 kg. daging ayam 1/2 k...