Langkau ke kandungan utama

Kari Ayam Dengan Rebung Madu

Assalamualaikum dan Selamat Malam.

Ini adalah N3 pertama untuk bulan November.  Sejak kebelakangan ini agak sibuk; ke hulu dan ke hilir menguruskan hal anak-anak.  Letih dan tak sempat menatap komputer.  Minda pun turut letih, tak ada idea nak mulakan bicara. Sekerat jalan, terkandas. Kalau nak letakkan resepi sahaja tanpa berceloteh, Insya Allah boleh saja... Tapi rasa tak sempurna pula kalau Kak Noor tak berceloteh sebelum memberi resepi, walaupun hanya sepatah dua kata.

Hari ini Kak Noor ambil 1/2 day leave. Kerja setengah hari aje.. Walaupun dah berusaha untuk bertahan, tetapi akhirnya terpaksa `surrender' juga  kerana  terlampau letih sangat minda dan kesihatan pun turut terganggu sejak kebelakangan ini. Badly needs rest. Sejak awal bulan Oktober lalu banyak travel; ke Kuantan menghadiri konvokesyen anak perempuan, kemudian ke Dungun Terengganu mengambil anak lelaki yang bercuti semester, dan kemudian menghantar anak lelaki (anak keempat berusia 15 tahun) mengikuti pengajian di Pondok Al Jaafar, Gopeng.   Dah semakin berusia, semakin manja pula badan ini. Ada limitnya.  Tak macam orang dulu-dulu walaupun dah berusia 60 tahun masih lagi lasak.






Ini adalah pertama kali Kak Noor masak kari ayam campur rebung.  Selalunya campur kentang. Ternyata sedap dan diterima keluarga.  Lagipun rebung madu ini lembut dan tidak berbau macam rebung jeruk.  Anak-anak Kak Noor pun boleh terima rebung madu ini.  Mula-mula dia orang tanya jugalah, apa ni ibu? So Kak Noor suruh dia orang rasa dulu dan tanya sedap ke tidak.  Dia orang kata okay.  Ertinya bolehlah dia orang terima rebung madu ini as part of family menu.  Pernah juga Kak Noor beli masak lemak kuning rebung kat kedai, tetapi bila dipanaskan anak-anak Kak Noor tak berapa gemar dengan baunya.  Biasalah budak-budak kan..  Kak Noor sendiri pun belajar makan rebung dalam dua tiga tahun ini aje...(dah berusia macam ni baru nak tahu makan rebung).  Kalau dulu tidak pernah letak kat mulut langsung dan tidak pernah masak kat rumah. Selalunya tengok orang makan aje... Kadang-kadang terliur juga tengok orang makan, macam sedap aje.... sedap betul ke? Nak makan masa tu tak berani.  Tapi bila dah cuba sekali,  ketagih pula jadinya. Lagipun bonda Kak Noor memang tak pernah masak rebung.   




Ok, dah malam ni. Esok nak kerja dan bangun awal. Nanti tak sempat pula nak muatkan resepi bila mata dah mengantuk.  Resepi yang ingin Kak Noor kongsikan bersama ialah Kari Ayam Dengan Rebung Madu. Juadah ini Kak Noor sediakan semasa kunjungan bonda dan adinda-adinda ke rumah Kak Noor minggu lalu sempena cuti Deepavali dan Awal Muharram.




Rebung madu yang terdapat di pasar raya



Bahan-bahannya:
1 ekor ayam daging, potong ikut suka, cuci bersih dan toskan
1 paket rebung madu (300 gm – dibeli siap di pasar raya), dipotong kecil
1 biji tomato saiz besar – dipotong 4
2 biji cili hijau – dibelah dua tetapi tidak putus
70 gram rempah kari daging pedas BABAS
1 camca besar serbuk cili
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
2 keping asam gelugor
1 paket santan sawit KHALIS (320ml) + 1 liter air, menjadikannya 1320ml santan
Garam dan gula secukup rasa
1 kiub pati ayam
Minyak secukupnya untuk menumis
Air secukupnya

Bahan-bahan dikisar halus:
2 biji bawang besar
30 gram halia + 6 ulas bawang putih

Bahan-bahan tumis:
1 biji bawang besar, dihiris
2 batang serai, dititik
3 tangkai daun kari, dilurut
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih

Cara-cara memasak:
1. Satukan rempah kari, serbuk cili, jintan manis dan jintan putih. Bancuh dengan air menjadikannya pes. Ketepikan.
2. Rebus rebung madu di atas dapur sehingga empuk. Tos dan ketepikan.
3. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan tumis, diikuti dengan dengan halia + bawang putih yang dikisar halus. Tumis sehingga naik bau dan bawang layu/kekuningan.
4. Kemudian masukkan pes rempah dan kacau rata. Tutup periuk dan masak sehingga terbit minyak.
5. Selepas rempah terbit minyak, bolehlah dimasukkan kisaran bawang besar dan 1 cawan air, dikacau rata. Biarkan ia mendidih.
6. Masukkan ayam dan gaul rata. Tutup periuk dan biarkan ayam mereneh di atas dapur lebih kurang 5 – 7 minit. Gunakan api sederhana.
7. Kemudian masukkan santan, kiub ayam, asam gelugor, garam, dan gula. Kacau rata dan masak sehingga ayam empuk.
8. Selepas ayam empuk, masukkan rebung madu dan kacau rata. Biar kuah mendidih sekali lagi. Tutup api. Masukkan tomato dan cili hijau. Tutup periuk.

Ulasan

Bali Tour berkata…
Kelihatannya sedap
Terima kasih atas resepnya :D

Catatan popular daripada blog ini

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlulah

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa

Kari Ikan Pari

Bahan-bahannya:  500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping 10 batang bendi 1 biji terung panjang – dipotong serong 1 biji tomato – dibelah empat 2 biji cili hijau 4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil 1 sudu besar pati asam jawa 1 cawan pati santan + 2 cawan air Garam secukup rasa Minyak secukupnya untuk menumis Bahan mesin (A): 4 sudu besar rempah kari 1 sudu kecil jintan manis 1 sudu kecil jintan putih 1 sudu kecil serbuk cili 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih Air secukupnya (Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus) Bahan tumis (B): 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih 1 sudu besar halba campur 2 tangkai daun kari Cara-cara memasak: · Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan. · Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak.