Langkau ke kandungan utama

Sambal Belacan (Guna Blender)






Hari ini Kak Noor nak muatkan resepi sambal belacan cara Kak Noor.  Kalau dahulu kalau nak buat sambal belacan ini memerlukan lesung batu untuk menumbuknya tetapi sekarang ada kaedah baharu yang boleh digunakan iaitu dengan menggunakan blender basah.   Masuk semua bahan di dalam blender dalam satu masa kemudian dikisar.  Dah siap sambal belacan! Cepat dan mudahkan...  Pun begitu ramai yang  berpendapat hasilnya tidaklah sesedap jika ia ditumbuk menggunakan lesung batu.  Apapun, Kak Noor akur dengan pendapat ini.  Kenapa sambal belacan lebih sedap jika kita menggunakan lesung batu?  Adakah disebabkan aura yang ada pada batu lesung itu?


Sambal belacan yang dibuat menggunakan blender


Sekarang ini Kak Noor jarang sekali menumbuk sambal belacan menggunakan lesung.  Suatu ketika dulu Kak Noor memang menggunakan lesung batu menumbuk sambal belacan.    Tetapi sejak penumbuknya hilang dan tinggal lesung sahaja, maka sejak hari itu Kak Noor menggunakan blender sahaja.  Okay lah juga... apapun hasilnya adalah sambal belacan.


Jom tengok macam mana Kak Noor buat sambal belacan menggunakan blender.  Memang mudah sesangat.  Apapun penyediaan bahan-bahan untuk membuat sambal belacan mesti complete.

Bahan-bahannya:
7 biji cili hidup segar - dibelah dua dan dibuang biji
5 - 6  biji cili padi merah - (boleh dikurangkan dan ditambahkan, bergantung kepada kepedasan yang dikehendaki)
1 sudu besar pati asam jawa Xtra ABADI
2 sudu besar jus limau kasturi
Belacan secukupnya - dipanggang/dibakar terlebih dahulu
1 sudu besar sos ikan atau sos sotong
Garam, gula, serbuk perasa

Masukkan semua bahan di atas di dalam blender basah bersama sedikit air (gunakan air mineral, air masak, atau air yang telah ditapis).  Air yang digunakan tidak boleh banyak, nanti sambal cair.  Agak-agaklah, sekadar untuk bahan-bahan di dalam blender tadi boleh dikisar.  Kisar jangan sampai lumat.  Kalau kita buat dalam kuantiti yang banyak, boleh dimasukkan di dalam tupperware dan disimpan di dalam peti ais.  Selain dimakan bersama ulam, sambal belacan juga boleh digunakan untuk menggoreng sayur kangkung dan memasak nasi goreng, dan dicampur dengan kicap dan gula sebagai bahan pencicah mangga. Hai.... terliur bila sebut mangga cicah sambal belacan kicap ni.

Catatan popular daripada blog ini

Rendang Tok Versi Ayam, inspirasi Sajian Dapur Bonda

Assalammualaikum dan Salam Ceria di Hujung Minggu. Menu yang ingin dikongsikan pada N3 kali ini ialah Rendang Tok. Bila sebut aje Rendang Tok, biasanya daging yang digunakan ialah daging lembu. Tak pernah lagi Kak Noor jumpa resepi Rendang Tok guna daging kambing ke.. daging itik ke... daging rusa ke... Tapi daging ayam pernah kot.. tapi mungkin jarang-jarang.  Orang lebih suka masak rendang tok guna daging lembu. Mungkin disebabkan ketahanannya, tekstur daging tak cepat hancur walaupun dah seminggu dibandingkan dengan daging ayam. Boleh dipanaskan sehingga kering,  dan bila dah tekstur daging dah hancur jadi serunding daging pula.  Okay.. kalau dah biasa sangat masak Rendang Tok Versi Daging, kali ini Kak Noor ingin berinspirasi pula dengan Rendang Tok Versi Ayam pula. Tapi Rendang Tok Ayam ini tak boleh tahan lama, teksturnya dagingnya cepat hancur. Paling lama dua hari sahaja. Lagipun ia masih berkuah, tidak seperti Rendang Tok Dagi...

UDANG MASAK MASALA

Assalamualaikum. Hari ini terpaksa ambil EL.  Sejak seminggu yang lalu dah rasa macam nak demam, tapi x juga demam-demam.  Hari ini mungkin dah sampai ke kemuncaknya.  Lemah longlai sangat badan ni, dah terdaya untuk melangkah ke tempat kerja.  Rasa nak rehat aje kat rumah.  Biasalah walaupun bercuti kerja pejabat, tetapi ibu tak boleh cuti di rumah.  Masih meneruskan tugas dan tanggungjawab seorang ibu.  Dapur mesti berasap. Bila dah rasa ok, bangun untuk masak ala kadar untuk keluarga.   Sebenarnya N3 resepi kali ini telah lama Kak Noor hendak  kongsikan.  Tetapi kalau tak cuba masak  macam mana nak kongsi kan!  So hari ini kugagahi diri ini untuk mencuba resepi yang telah lama kuidamkan iaitu UDANG MASALA.  Nampak sedap bila ayahanda Mamak Haji Roslan poskan dalam FB.  Teruja sangat nak mencubanya.  Lagipun udang dah siap disiang dan ada dalam peti sejuk.  Sebagai gandingannya Kak...

SAWI RAJA GORENG SOS TIRAM

Tak ramai orang kenal sayur ni kan?  Kebiasaannya kalau kita masak sayur, hanya terlintas di fikiran kita sayur-sayuran seperti kangkung, bayam, kobis, dan kailan yang telah kita kenali sejak dahulu lagi. Tetapi sayur ini? Menjadi teka teki akan namanya.  Kak Noor sendiri pun tak tahu nama sayur ini, pakai beli sahaja disebabkan teruja dengan kesegaran dan kehijauannya.  Beli sayur ni kat NSK Selayang dan ramai orang Cina yang membelinya. So.. hari tu sempat Kak Noor tanya seorang perempuan Cina, sedap x sayur ni dan macam mana masak? Katanya sedap dan dengan murah hatinya dia berkongsi cara-cara untuk memasak sayur ini. Tapi... Kak Noor tak tanya pulak nama sayur ini kepadanya. Memandangkan ketidaktahuan nama sayuran ini, maka ter`pending'lah N3 untuk resepinya.  Kak Noor akses internet untuk mencari nama bagi sayur ini.  Puas jugalah mencari... sehingga terpaksa Kak Noor letakkan dalam FB gambar sayur ini bertanyakan kepada rak...