Langkau ke kandungan utama

KARI IKAN KERING TALANG DENGAN NANAS (TUMIS DARAT)

Letih sangat hari ini.  Sejak dari bangun sahur pagi tadi sehinggalah ke saat jari jemari ini menari-nari di atas papan keyboard.  Sebenarnya Kak Noor dan hubby baru pulang dari menghantar anakanda berdua pulang ke teratak masing-masing; seorang di Serdang dan seorang lagi di Ulu Langat.  Tengah hari tadi mereka pulang untuk bersama-sama  berbuka puasa bersama ayahanda dan bonda mereka.  Sebab itulah hari ini pagi-pagi lagi selepas Subuh Kak Noor dan hubby ke NSK Selayang untuk membeli lauk-pauk untuk dimasak pada hari ini.  Hari ini ada masakan special sedikit iaitu Kari Ikan Kering Talang; request daripada anakanda yang sulung sejak minggu lalu lagi.


Justeru itu sebelum mata ini terpejam lena, Kak Noor ingin berkongsi resepi Kari Ikan Kering Talang yang Kak Noor masak sebagai menu utama hidangan berpuasa tadi.  Dihidang pula dengan beberapa menu sampingan yang lain iaitu sambal ikan bilis petai, sayur goreng kangkung, dan sambal belacan beserta ulam.  Memang berselera sungguh seisi keluarga menikmati hidangan ini.  Ada juga Kak Noor bekalkan buat anakanda berdua untuk sahur nanti.



Kari Ikan Kering Talang ini memang popular di kalangan orang-orang Utara.  Bila masak kari, aduhai..... aromanya memang membangkitkan selera.  Ditambah pula  dengan nanas manis. Kalau tak tambah nasi tu... tak tahu le....  Kebiasaannya resepi ini dimasak secara tumis darat.  Nak tahu tumis darat itu apa?  Tumis darat itu dalam erti kata lain ialah tumis atas.  Selepas lauk masak, barulah dituang bahan-bahan yang ditumis secara berasingan tadi di atas lauk.  Kemudian cepat-cepat ditutup dengan tudung periuk supaya aromanya tidak keluar. Kalau di Kuala Lumpur dan Selangor orang lebih suka memilih ikan kurau untuk dimasak kari atau gulai. Tetapi bagi Kak Noor yang berasal dari Utara, ikan talang is the best!  Kalau tak percaya, cuba masak ikut resepi yang Kak Noor kongsikan di bawah ini.



Bahan-bahannya:
Beberapa keping ikan kering talang besar - dipotong kecil (anggaran 15 keping)
4 biji ubi kentang saiz sederhana - dibelah dua
Nanas manis - dihiris
3 biji cili hijau - dibelah dua memanjang (Jangan sampai putus)
1 sudu besar pati asam jawa Extra ADABI - dibancuh dengan 1/2 cawan air
1 cawan pati santan - dibancuh dengan 3 cawan air
1 sudu kecil perasa (jika suka)
Garam sekiranya perlu

Bahan-bahan dikisar:
1 biji bawang besar saiz sederhana
3 ulas bawang putih
4 sudu besar (sudu makan) rempah ikan
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
3 biji bawang kecil (bawang merah) - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
Halba campur
2 tangkai daun kari

Penyediaannya:
1. Rendam ikan kering talang di dalam air yang dicampur dengan garam kira-kira 30 minit. Proses ini adalah untuk mengurangkan rasa masin pada ikan kering talang. Kemudian basuh dan toskan.
2. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar di dalam periuk bersama ikan kering talang. Tambah air secukupnya supaya ikan kering terendam di dalam bahan kisar tadi. Masak sehingga mendidih dan naik bau.
3. Kemudian masukkan air asam jawa dan garam. Kacau rata.
4. Masukkan santan, diikuti dengan ubi kentang. Masak sehingga ubi kentang empuk.
5. Selepas ubi kentang empuk, bolehlah dimasukkan ikan kering dan hirisan nanas. Masak sehingga mendidih. Tutup api dan masukkan cili hijau. Ketepikan.
6. Tumis Darat: Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis bawang kecil , bawang putih, halba campur dan daun kari sehingga naik bau dan kekuningan. Kemudian tuangkan ke dalam periuk kari tadi. Tutup dengan tudung periuk supaya aromanya tidak keluar.
7. Sebelum menghidang, kacau rata kuah kari supaya bahan-bahan yang ditumis tadi bergaul mesra.

SELAMAT MENCUBA....

Ulasan

Unknown berkata…
salam..nampak menarik je..

P/s : kenapa sue tak dapat nak follow akak ye?..takpe, nanti sue cuba lagi..
Cubalah. Sesekali masak lauk macam ni memang menyelerakan. Kenapa Sue tak boleh follow Kak Noor ye?
Unknown berkata…
ok kak..dah follow..
Tanpa Nama berkata…
Slm..nk tny,bhn tumis darat 2 nk masukkan skli dgn myk y ditumis 2 ke?
Kak Noor berkata…
Ye, tuangkan bahan-bahan yang ditumis dengan minyaknya sekali sejurus diangkat dari dapur (minyak masih panas ketika itu) ke dalam kuah. Baru naik aromanya. Jangan lupa tutup dengan tudung periuk. Bila nak hidang, baru dikacau. Cubalah, bertambah-tambah nasi nanti...
Tanpa Nama berkata…
As salam. Nk tnya, ms msuk bhn2 kisar. Prlu tmis mcm biasa dlu ke? Tk byk sgt mnyk ke sbb nnt nk msuk bhn2 tmis darat?
Waalaikumussalam. Tak perlu tumis bahan-bahan kisar itu. Hanya masukkan bersama-sama ikan kering di dalam periuk. Dalam erti kata lain, kaedah merebus. Bila kita gunakan kaedah tumis darat, tidak perlu lagi menumis seperti biasa. Terima kasih.
Unknown berkata…
Item no 2 dan 5 kata masukkan ikan. Sebenarnya bila nak masuk ikan tu step 2 or 5
Kak Noor berkata…
Saudara Sham Ismail, guna item no. 2. Terima kasih.
Tanpa Nama berkata…
Sori nak tanye rempah kari tu x tumis dulu ñti x maung ke @ bau rempah x masak. Nor
Kak Noor berkata…
Nor,

Sejak kecil lagi bonda Kak Noor masak kari tumis darat ini dan tak rasa pun maungnya. Selalunya orang Utara yang memasak cara begini. Tetapi bukan semua kari di masak dengan cara begini. Yang boleh dimasak cara tumis darat antaranya ialah kari ikan kering, kari ketam, dan kari nangka, Walaupun kita tidak menumis rempah kari seperti biasa, tetapi kita tetap menumisnya di atas. Sebab itulah dinamakan tumis darat.

Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlulah

Kari Ikan Pari

Bahan-bahannya:  500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping 10 batang bendi 1 biji terung panjang – dipotong serong 1 biji tomato – dibelah empat 2 biji cili hijau 4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil 1 sudu besar pati asam jawa 1 cawan pati santan + 2 cawan air Garam secukup rasa Minyak secukupnya untuk menumis Bahan mesin (A): 4 sudu besar rempah kari 1 sudu kecil jintan manis 1 sudu kecil jintan putih 1 sudu kecil serbuk cili 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih Air secukupnya (Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus) Bahan tumis (B): 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih 1 sudu besar halba campur 2 tangkai daun kari Cara-cara memasak: · Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan. · Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak.