http://www.sajiandapurbonda.blogspot.com

17 November 2012

MASAK LEMAK KETAM NANAS

Assalamualaikum..

Selamat beristirehat bersama keluarga di hujung minggu.  Musim cuti sekolah sebegini masing-masing sudah tentu mempunyai program dan aktiviti bersama keluarga.  Ada yang membawa anak-anak bercuti di resort terutamanya yang mempunyai theme park demi  menyahut seruan kerajaan untuk `Cuti-cuti Malaysia'.   Dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan cuti sekolah ini membawa anak-anak ke tempat yang boleh memberi pengetahuan seperti KidZania (world of kids)  yang terletak Mutiara Damansara  dan Legoland Malaysia yang terletak di Bandar Nusajaya, Johor.  Dua tempat yang paling popular ketika ini.


kidzania malaysia 5
KidZania yang terletak di Mutiara, Damansara
Legoland Malaysia yang terletak di Bandar Nusajaya, Johor

Bagi Kak Noor belum berkesempatan membawa anak-anak untuk bercuti.  Insya Allah awal bulan Disember ini ada family vacation bersama adik-beradik semua.  Tetapi khusus untuk anak-anak belum difikirkan lagi.  Anak bongsu Kak Noor teringin sangat nak ke Legoland atau KidZania.

Ok itu cerita program/aktiviti untuk anak-anak kita semasa cuti sekolah.  Tetapi bagaimana pula dengan aktiviti memasak siibu hari ini?  Dapur berasap ke? Atau makan di kedai aje?  Atau tak masak di rumah dan makan nasi di tempat kenduri kahwin aje....  Kebiasaannya di hujung minggu dan musim cuti sekolah begini, banyak sungguh undangan perkahwinan yang diterima.  Kadang-kadang sampai dua tiga kenduri yang perlu dihadiri. Memang sahlah tak payah masak untuk makan tengah hari.  Untuk makan malam, boleh difikirkan kemudian.  Nanti bila perut dan `berkeroncong', pandailah dicari...





Dapur Kak Noor berasap hari ini.  Maklumlah anak-anak ada di rumah.  Hari ini Kak Noor masak lemak ketam dengan nanas.  Memang telah lama tak masak menu ini.  Dalam blog Kak Noor pub masih belum ada lagi menu ini.  Sebenarnya tak pelan nak masak lemak ketam ini, tetapi setelah ke NSK Selayang dan melihat ketam murah, apalagi angkut ajelah.  Sememangnya rezeki Kak Noor pagi tadi kerana dapat membeli ketam merah dengan harga yang murah.  Syukur Alhamdulillah, rezeki daripadaNYA yang kita sendiri tidak ketahui.  Sebenarnya ketam merah itu special price only for Kak Noor.  Nak tahu ceghitenye!?
Roll di bawah lagi.






Sebenarnya di NSK Selayang pagi tadi orang tak ramai.  Entah kenapa, kalau tidak sampai nak jalan pun bertembung bahu.  Bila orang tak ramai, senanglah kita bergerak ke sana sini mencari barangan dan pada masa yang sama menghabiskan masa lebih lama sedikit daripada biasa. Bercakap pasal harga ketam tadi, cuba teka berapa RM untuk 1kg.  Memang tak caye....  Kak Noor dapat beli ketam merah tu dengan harga RM9.90 sekilo.  Betul ke ni?  Tertanya-tanya juga Kak Noor.  Sebenarnya harga ketam itu tidak ditandakan lagi.  Patutlah tak ada orang  yang memilih ketam itu walaupun keadaanya masih segar. Bila telah teruja nak membeli ketam itu, Kak Noor pun bertanyakan kepada Mat Bangla yang bekerja di situ.  Katanya RM9.90 sahaja.  Dua tiga kali Kak Noor tanya dan jawapannya masih sama.   Apalagi, angkutlah sampai 10 ekor saiz sederhana. Bukan selalu dapat harga macam ni.  Dan pada masa yang sama, baru pekerja yang bertugas menyangkut tanda harga RM9.90 untuk 1 kg. ketam.  Semasa meletakkan tanda harga itu, penyelia berbangsa Cina mempersoalkan harga berkenaan.  Katanya mana boleh RM9.90, banyak rugi ohhh!  Harga sebenar ialah RM15.90 1 kg dan dia minta diturunkan harga RM9.90 dan digantikan dengan harga RM15.90.  Untuk Kak Noor harganya masih RM9.90 kerana pelanggan telah nampak harga yang digantung itu.  Itulah hak kita sebagai pelanggan!  Itulah ceghitenye.....  first time dapat rezeki cara macam ni.





Bahan-bahannya: 
1.5 kg. ketam merah saiz sederhana (lebih kurang 10 ekor)
1 biji nanas madu - dihiris nipis (guna nanas biasa pun boleh, tapi pilih yang masak)
5 batang serai – dititik
½ biji cili epal hijau (cili benggala) – dipotong memanjang
2 helai daun kunyit – disiat dan disimpul
1 kg. pati santan (ambil 1 cawan pati santan dan campur 1 cawan air untuk dijadikan santan cair)
1 keping asam gelugor
Garam, gula, dan serbuk perasa

Bahan-bahan dikisar halus (menggunakan blender): 
40 gram kunyit hidup
1 biji bawang besar India
1 biji bawang besar Holland
3 ulas bawang putih
20 gram halia
5 biji cili padi merah
Air secukupnya

Cara Membuatnya: 
1. Ketam disiang dan dibasuh bersih. Masukkan ke dalam periuk bersama-sama bahan yang telah dikisar, serai, dan asam gelugor. Masukkan air sehingga paras ketam tenggelam. Masak sehingga mendidih dan ketam bertukar warna.
2. Tuangkan santan cair, kacau dan biar mendidih sekali lagi.
3. Masukkan nanas. Selepas nanas lembut, tuangkan pati santan dan masukkan daun kunyit. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa jika suka. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih dengan api yang sederhana. Akhir sekali masukkan cili epal hijau dan tutup api.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...