Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

12 November 2012

KARI AYAM SERAI WANGI





Dah jemu masak kari ayam stail mamak?  Hari ini apa kata join Kak Noor di dapur untuk masak  kari ayam serai wangi pula.  First time masak resepi ini dan Alhamdulillah diterima oleh keluarga.  Bila tengok kepada bahan-bahan yang digunakan, tidak banyak bezanya dengan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak kari ayam stail mamak.  Cuma mungkin dengan penggunaan bahan-bahan tumis seperti  serai, daun pandan, dan daun kari  telah mewangikan lagi masakan ini.  Patutlah semasa menumis, aromanya terus membangkitkan selera, wangi tidak terkata.    Kuahnya pun agak pekat dan lemak, disebabkan oleh penggunaan buah keras di dalam masakan ini.


Boleh juga dimakan bersama roti jala dan pulut kuning.  Sedap tu....
Tapi tak sempat nak buat.....


Bahan-bahannya:
1 ekor ayam, dipotong 12 atau 16, cuci dan toskan.
4 biji kentang dikupas kulit, belah 2 atau 4 setiap satu bergantung kepada saiz
1 keping asam gelugor
1 cawan santan pekat kelapa sawit KHALIS - dicampur dengan 4 cawan air (boleh juga guna santan kelapa)
2 sudu besar kerisik
2 biji cili merah atau 2 biji cili hijau - lebih wangi kalau guna cili hijau
1 biji buah tomato saiz besar, dibelah 4
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan Kisar (dikisar menggunakan blender):
1 biji bawang besar India (warna merah)
1 biji bawang besar Holland (warna kuning)
4 ulas bawang putih
3 biji buah keras
10 gram kunyit hidup
10 gram serbuk rempah kurma
50 gram serbuk rempah daging
2 sudu besar cili serbuk
1 inci halia
Air secukupnya

Bahan-bahan Tumis (dibilas dan ditoskan):
1 biji bawang besar India saiz kecil - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
3 batang serai - dititik
1 inci halia - dihiris
1 helai daun pandan - dikoyak dan disimpul
2 tangkai daun kari, ambil daunnya sahaja
1 batang kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga

Cara-cara Memasaknya:
1.  Bersihkan ayam yang telah dipotong dan ketepikan.
2.  Panaskan minyak secukupnya di dalam periuk dan tumis bahan-bahan tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan gaul sebati.  Tutup periuk dan masak sehingga terbit minyak/rempah garing.
3.  Setelah rempah garing, masukkan ayam dan gaul rata bersama rempah.  Perlahankan api dan tutup periuk.Biarkan ayam mereneh di atas dapur selama 10 - 15 minit.
4.  Masukkan santan dan kacau rata.  Kemudian barulah dimasukkan kentang dan masak sehingga  kentang empuk.
5. Masukkan asam gelugor, garam, gula, dan kerisik.  Kacau sebati dan biarkan kuah mendidih.
6. Setelah ayam dan kentang empuk dan cukup rasa, bolehlah ditutup api. Akhir sekali masukkan buah tomato dan cili merah atau cili hijau.  Taburkan bawang goreng dan tutup periuk.  Biarkan ia berada dalam keadaan tertutup selama 10 - 15  minit, kemudian baru dihidangkan.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang