Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

16 November 2012

AYAM MASAK TAUCU MANIS


AYAM MASAK TAUCU MANIS - UNTUK SELERA SIKECIL

Pernah tak anak-anak kita komplen mengenai masakan siibu pedas dan membezakannya dengan masakan sipengasuh mereka?  Sibongsu perempuan yang masih dihantar kepada pengasuh (jiran tetangga) kerap kali juga menyuarakan tentang keenakan masakan sipengasuh walaupun ibunya `chef' yang terbaik di rumah.  Bila ditanya apa yang `mak' (panggilan bagi pengasuh)  selalu masak? Jawabnya masak kicap, ikan sambal, ikan goreng cili, masak lemak kuning, kari,  dan masakan-masakan lain di mana menu ini Kak Noor sendiripun pernah hidangkan.  Tetapi entah kenapa masakan sipengasuh yang lebih digemari sehingga menjilat jari dimakannya, dan bertambah-tambah nasi. Sebagai ibu, sudah tentu kita tertanya-tanya dan tercari-cari sebabnya kenapa makanan yang kita masak tidak dapat menambat citarasa anak kita. Bila Kak Noor cakap `ibu pun masak macam tu, balasnya ibu selalu masak pedas, tak macam mak masak.  Mak selalu masak manis dan tak pedas.  Asilah suka mak masak, sedap sesangat'.





Itulah perbezaan selera kita dengan anak-anak kecil.  Walaupun kita rasa masakan yang kita hidang itu `tip top', tetapi lain pula citarasa sikecil.  Mereka ada citarasa sendiri untuk menilai masakan yang mereka gemari dan tidak gemari.  So sebagai ibu dalamilah citarasa anak-anak anda dan masaklah makanan yang mereka gemari, walaupun berkali-kali diulang menu yang sama.  Kadang-kadang masakan yang ringkas lebih memberi sentuhan kepada selera anak-anak kita.   Kita sebagai ibu akan merasa puas dan gembira bila melihat masakan kita dipuji dan digemari oleh anak-anak.

Bagi menambat selera sibongsu, Kak Noor cuba masak ayam taucu manis.  Ternyata menu ini berkesan menambat citarasanya.  Alhamdulillah.... bila dia cakap sedap sangat ibu masak!  Sehingga ke malam pun dia masih makan nasi dengan lauk yang sama, bertambah-tambah pula tu!

Ayam masak taucu manis ini memang sesuai untuk anak-anak kecil yang tidak menggemari masakan pedas.



Bahan-bahannya: 
600 gram isi ayam – dipotong kecil
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil serbuk lada sulah
2 sudu besar taucu manis
3 biji ubi kentang saiz sederhana – 1 biji dibelah 2 atau 4
½ sudu kecil serbuk perasa
Kicap manis secukupnya  - Kak Noor guna kicap manis Jalen
1 sudu besar tepung jagung - dibancuh dengan sedikit air
1 biji buah tomato – dibelah 4
2 biji cili merah – dibelah dua, tetapi tidak putus
Daun sup/daun bawang - opsyen
Sedikit minyak untuk menumis (lebih kurang 3 sudu makan)

Bahan-bahan Tumis: 
½ biji bawang besar Holland – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris
1 tangkai daun kari

Cara-cara Memasak: 
1. Bersihkan isi ayam dan perap dengan lada sulah dan gula perang lebih kurang 10 – 15 minit.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih, halia, dan daun kari sehingga bawang kekuningan dan naik bau. Kemudian masukkan taucu manis dan tumis seketika lebih kurang 2 minit.
3. Selepas itu masukkan ayam yang telah diperap tadi. Gaul rata dengan bahan-bahan tumisan tadi. Biarkan ayam mereneh di atas dapur dengan api yang sederhana lebih kurang 10 minit.
5. Kemudian masukkan air secukupnya (bergantung kepada banyaknya kuah). Kacau dan masukkan kicap manis, serbuk perasa dan ubi kentang. Masak sehingga ayam empuk dan ubi kentang empuk.
6.  Selepas itu masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah.  Biarkan kuah mendidih sekali lagi.
6. Akhir sekali masukkan buah tomato dan cili merah. Tutup api.
7. Semasa menghidang, kalau suka bolehlah ditaburkan daun sup/daun bawang
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang