Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

29 Julai 2012

KARI IKAN KERING TALANG DENGAN NANAS (TUMIS DARAT)

Letih sangat hari ini.  Sejak dari bangun sahur pagi tadi sehinggalah ke saat jari jemari ini menari-nari di atas papan keyboard.  Sebenarnya Kak Noor dan hubby baru pulang dari menghantar anakanda berdua pulang ke teratak masing-masing; seorang di Serdang dan seorang lagi di Ulu Langat.  Tengah hari tadi mereka pulang untuk bersama-sama  berbuka puasa bersama ayahanda dan bonda mereka.  Sebab itulah hari ini pagi-pagi lagi selepas Subuh Kak Noor dan hubby ke NSK Selayang untuk membeli lauk-pauk untuk dimasak pada hari ini.  Hari ini ada masakan special sedikit iaitu Kari Ikan Kering Talang; request daripada anakanda yang sulung sejak minggu lalu lagi.


Justeru itu sebelum mata ini terpejam lena, Kak Noor ingin berkongsi resepi Kari Ikan Kering Talang yang Kak Noor masak sebagai menu utama hidangan berpuasa tadi.  Dihidang pula dengan beberapa menu sampingan yang lain iaitu sambal ikan bilis petai, sayur goreng kangkung, dan sambal belacan beserta ulam.  Memang berselera sungguh seisi keluarga menikmati hidangan ini.  Ada juga Kak Noor bekalkan buat anakanda berdua untuk sahur nanti.



Kari Ikan Kering Talang ini memang popular di kalangan orang-orang Utara.  Bila masak kari, aduhai..... aromanya memang membangkitkan selera.  Ditambah pula  dengan nanas manis. Kalau tak tambah nasi tu... tak tahu le....  Kebiasaannya resepi ini dimasak secara tumis darat.  Nak tahu tumis darat itu apa?  Tumis darat itu dalam erti kata lain ialah tumis atas.  Selepas lauk masak, barulah dituang bahan-bahan yang ditumis secara berasingan tadi di atas lauk.  Kemudian cepat-cepat ditutup dengan tudung periuk supaya aromanya tidak keluar. Kalau di Kuala Lumpur dan Selangor orang lebih suka memilih ikan kurau untuk dimasak kari atau gulai. Tetapi bagi Kak Noor yang berasal dari Utara, ikan talang is the best!  Kalau tak percaya, cuba masak ikut resepi yang Kak Noor kongsikan di bawah ini.



Bahan-bahannya:
Beberapa keping ikan kering talang besar - dipotong kecil (anggaran 15 keping)
4 biji ubi kentang saiz sederhana - dibelah dua
Nanas manis - dihiris
3 biji cili hijau - dibelah dua memanjang (Jangan sampai putus)
1 sudu besar pati asam jawa Extra ADABI - dibancuh dengan 1/2 cawan air
1 cawan pati santan - dibancuh dengan 3 cawan air
1 sudu kecil perasa (jika suka)
Garam sekiranya perlu

Bahan-bahan dikisar:
1 biji bawang besar saiz sederhana
3 ulas bawang putih
4 sudu besar (sudu makan) rempah ikan
Air secukupnya

Bahan-bahan ditumis:
3 biji bawang kecil (bawang merah) - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
Halba campur
2 tangkai daun kari

Penyediaannya:
1. Rendam ikan kering talang di dalam air yang dicampur dengan garam kira-kira 30 minit. Proses ini adalah untuk mengurangkan rasa masin pada ikan kering talang. Kemudian basuh dan toskan.
2. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar di dalam periuk bersama ikan kering talang. Tambah air secukupnya supaya ikan kering terendam di dalam bahan kisar tadi. Masak sehingga mendidih dan naik bau.
3. Kemudian masukkan air asam jawa dan garam. Kacau rata.
4. Masukkan santan, diikuti dengan ubi kentang. Masak sehingga ubi kentang empuk.
5. Selepas ubi kentang empuk, bolehlah dimasukkan ikan kering dan hirisan nanas. Masak sehingga mendidih. Tutup api dan masukkan cili hijau. Ketepikan.
6. Tumis Darat: Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis bawang kecil , bawang putih, halba campur dan daun kari sehingga naik bau dan kekuningan. Kemudian tuangkan ke dalam periuk kari tadi. Tutup dengan tudung periuk supaya aromanya tidak keluar.
7. Sebelum menghidang, kacau rata kuah kari supaya bahan-bahan yang ditumis tadi bergaul mesra.

SELAMAT MENCUBA....
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang