Langkau ke kandungan utama

Makaroni Bakar Cheese

Salam kunjung ke blog Sajian Dapur Bonda. Selamat Malam. Esok cuti am kerana sambutan KRISMAS. Hai…. lega rasanya bila cuti. Tapi Kak Noor cuti esok aje, hari Jumaat perlu kembali bertugas. Seronok kalau dapat bercuti bersama keluarga sehingga hujung tahun. Tapi apakan daya Kak Noor, cuti awal-awal telah habis. Cuti disebabkan Kak Noor sendiri tak sihat, anak tak sihat, dan urusan-urusan lain yang memerlukan komitmen Kak Noor.



Memandangkan esok cuti, malam ini dapatlah Kak Noor bersantai lebih lama di depan komputer untuk memuatkan entry lama yang tidak sempat diposkan. Bagi mereka yang menggemari pasta dan cheese, pasti menu yang hendak dikongsikan bersama ini membangkitkan selera dan secara tidak langsung teruja untuk mencuba membuatnya.




Makaroni Bakar, menu pot luck yang dibawa ke pejabat minggu lalu sempena jamuan kesyukuran dan meraikan pelajar yang telah menamatkan latihan amali di jabatan Kak Noor bertugas. Alhamdulillah, walaupun first time buat, menjadi juga. Rakan-rakan pejabat kata sedap. Sos mayonisnya pun enak. Pada mulanya mereka ingat lasagna kerana kejadiannya seakan-akan lasagna.



Resepi ini Kak Noor jumpa semasa blogwalking mencari resepi makaroni bakar. Maka tersinggahlah di Postal Rasmi Tentera Laut DiRaja Malaysia. Makaroni Bakar ini menjadi menu pilihan aktiviti masakan BAKAT (L) yang diilhamkan oleh Y. Bhg. Datin Norol’ain Mior Ibrahim (Datin Noi). 

Kalau nak cuba membuat makaroni bakar ini bolehlah ikut resepi seperti bawah. Resepi ini telah diolah oleh Kak Noor mengikut citarasa dan bahan-bahan yang sedia ada di dapur. Walau bagaimanapun resepi asal Datin Noi masih boleh dirujuk di SINI



Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Makaroni Bakar Cheese.


Bahan A:
1 pek makaroni 500 gram
500 gm sosej daging – digril/digoreng dan dipotong kecil
100 gm sosej ayam – digril/digoreng dan dipotong kecil
2 labu bawang besar – dicincang
1 biji lada benggala hijau saiz sederhana – dipotong kiub
250 gram sayur campur (mixed vegetables)
1 tin cendawan butang – dipotong kiub
2 biji tomato saiz sederhana – dipotong kiub
1 botol sos spaghetti (traditional) KIMBALL
3 sudu besar tomato puri KIMBALL
1 camca besar serbuk lada hitam
1 camca teh `mixed herbs’
Mentega untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa

Bahan B:
1 botol susu segar 450ml
6 biji telur Gred A

Bahan C:
1 pek keju parut `pizza topping’
1 pek cheese sandwich slices

Sos Mayonis:
8 biji cili merah
3 ulas bawang putih
3 camca besar jus lemon
3 camca besar mayonis
Garam dan gula secukup rasa.

Cara Memasak (A):

1. Masukkan makaroni di dalam periuk bersama air secukupnya dan sedikit minyak zaitun/jagung. Kemudian rebus makaroni sehingga lembut. Toskan dan sejukkan sebentar.


2. Masak sosej terlebih dahulu sama ada menggunakan teknik menggoreng atau mengril. Bila telah sejuk, potong kecil-kecil.



3. Panaskan mentega di dalam kuali. Apabila mentega sudah cair, masukkan bawang putih, diikuti dengan bawang besar yang telah dicincang. Tumis sehingga naik bau. 

4. Masukkan sosej dan seterusnya sayur campur (mixed vegetables), cendawan butang, dan lada benggala yang telah dipotong kiub. 


5. Seterusnya masukkan sos spaghetti KIMBALL, tomato puri, dan buah tomato yang telah dipotong kiub, dan masak sehingga pekat. Masukkan lada hitam, `mixed herbs’, dan perasakan dengan garam dan gula.


6. Padamkan api, satukan sos daging bersama makaroni yang telah direbus tadi.


Cara Memasak (B):
1. Satukan telur dan susu segar di dalam blender. Kisar sehingga sebati. Ketepikan.
2. Masukkan makaroni yang telah sedia ke dalam loyang, dan tekan sedikit sehingga adunan agak mampat.
3. Curah adunan susu dan telur ke atas makaroni sehingga sama paras.
4. Letak beberapa keping cheese sandwich slices sehingga menutupi makaroni. Kemudian tabur keju parut `pizza topping’ dan dibakar dengan suhu 175C selama 30 minit atau sehingga masak. Ikut oven yang digunakan.

Cara Membuat Sos Mayonis:
1. Masukkan cili merah, bawang putih, dan air secukupnya ke dalam mesin pengisar. Mesin sehingga lumat.
2. Kemudian masukkan di dalam periuk dan masak sehingga mendidih. Sejukkan sebentar.
3. Satukan bahan cili yang telah dimasak, mayonis, jus lemon, garam dan gula di dalam blender. Kemudian dikisar sehingga semua bercampur sebati.
4. Tuang ke dalam bekas. Boleh disimpan di dalam peti sejuk. .

Cara Menghidang:
Hidangkan makaroni yang telah siap dibakar bersama-sama sos mayonis.

Catatan popular daripada blog ini

LAKSA PENANG

Antara menu hidangan yang disajikan untuk para tetamu sempena majlis ulang tahun hari lahir anak bongsu Kak Noor yang ke-8 tahun ialah Laksa Penang. Laksa Penang memang menjadi kegemaran keluarga Kak Noor. Puas hati masak sendiri daripada beli kat kedai kerana ia menepati citarasa sebenar Laksa Penang. Di sini Kak Noor nak kongsi menu Laksa Penang untuk lebih kurang 30 - 40 orang makan. Bahan-bahannya: 3 kg ikan mata besar (boleh guna ikan kembong dan ikan sardin) 1 ekor ikan tongkol sederhana besar (Direbus bersama beberapa keping asam gelugor) 4 bungkus laksa kering 7 - 10 keping asam gelugur 2 kuntum bunga kantan dibelah dua, batang diketuk 4 sudu besar pes udang 2 cekak daun kesum / cenohom 4 cm keratan lengkuas (diketuk) 6 batang serai (diketuk) Garam, gula pasir dan serbuk perisa mengikut rasa. Bahan-bahan untuk dibuat pes (dikisar halus): Anggaran RM3.00 cili kering dibuang biji (boleh tambah ikut kepedasan). Perlu direbus. 3 ulas bawang putih. 4 biji bawa...

AYAM MASAK ASAM KAMPUNG (STAIL NENDA)

Assalammualaikum. Kak Noor bersiaran lagi pagi ini. Hari ini Kak Noor cuti; cuti ganti Tahun Baharu Cina hari itu. Valid hanya sebulan sahaja, so dah hampir nak expire, ambil ajelah sambil santai-santai di rumah.  Resepi ini terlebih dahulu telah Kak Noor poskan dalam FB Kak Noor. Dah agak lama juga tak masak resepi ini. Dalam blog pun tak pernah dikongsikan resepi ini. Resepi ini agak mudah dan ringkas sahaja, dan cepat penyediaannya. Kadang-kadang bila tak ada selera, perlulah fikirkan sesuatu menu yang boleh membuka selera walaupun lauk itu kita nampak macam biasa sangat. Masakan itu perlulah ada rasa sedikit masam dan manis. Masa itulah terfikir untuk menyediakan ayam masak asam stail kampung ini. Biasanya Kak Noor menggunakan ikan, tapi ada juga masanya Kak Noor tukarkan kepada ayam. Memang sedap bila dimakan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam-ulaman. Lagipun dalam situasi Kak Noor yang tidak berapa sihat disebabkan slip disk, perlu...

Kari Ikan Pari

Bahan-bahannya:  500 gm ikan pari – dipotong kepada beberapa keping 10 batang bendi 1 biji terung panjang – dipotong serong 1 biji tomato – dibelah empat 2 biji cili hijau 4 – 5 tangkai cili kering – dibasuh dan dipotong kecil 1 sudu besar pati asam jawa 1 cawan pati santan + 2 cawan air Garam secukup rasa Minyak secukupnya untuk menumis Bahan mesin (A): 4 sudu besar rempah kari 1 sudu kecil jintan manis 1 sudu kecil jintan putih 1 sudu kecil serbuk cili 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih Air secukupnya (Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender dan dimesin dengan air hingga halus) Bahan tumis (B): 1 biji bawang besar 3 ulas bawang putih 1 sudu besar halba campur 2 tangkai daun kari Cara-cara memasak: · Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan (B) sehingga terbit bau dan bawang kekuningan. · Kemudian masukkan bahan mesin (A) dan kacau. Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minya...