Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

3 Mei 2016

Ayam Masak Taucu Manis Berkuah

Assalamualaikum kepada pembaca-pembaca budiman yang selalu singgah dan sekodeng resepi di blog Sajian Dapur Bonda ini.  Hmm... dah lama Kak Noor tidak muatkan resepi baharu dalam blog ini.  Kebiasaannya telah menjadi rutin Kak Noor meluangkan masa mengemaskinikan blog ini pada setiap hujung minggu.  

Memandangkan sejak kebelakangan ini Kak Noor banyak menerima tempahan untuk biskut dan roti, yang perlu disiapkan pada hujung minggu, maka tiadalah berkesempatan Kak Noor untuk mengemaskinikan blog ini. 




Syukur Alhamdulillah semalam sempat Kak Noor masak menu simple ini untuk keluarga iaitu Ayam Masak Taucu Manis Berkuah.  So pagi  ini tidak perlulah kelam kabut bergelut di dapur sebelum ke pejabat. Masak yang simple dan ala kadar aje. Walaupun hanya satu jenis lauk, tetapi yang paling penting air tangan bonda.

Masakan ini memang berkuah sebab anak-anak Kak Noor suka letak kuah banyak kalau makan nasi. Tetapi itu bergantung kepada citarasa masing-masing, kalau nak kuahnya pekat, kurangnya air. 

Tak nak berceloteh panjang, kita terus ke resepinya ye.

Resepi Ayam Masak Taucu Manis Berkuah

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 inci halia - dihiris mancis
2 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar - dipotong gegelang
1 biji cili merah - dihiris serong
5 - 6 biji cili padi hijau - dipatahkan saja
4 sudu besar taucu manis
1 sudu besar pati asam jawa
Kicap lemak manis secukupnya - (Saya guna kicap lemak manis Enaq)
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa 
2 sudu besar gula pasir - bergantung kepada banyaknya kuah
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam dan menumis

Cara-caranya:
1. Ayam dipotong kecil dan digaramkunyitkan.
2. Panaskan minyak dan goreng ketulan ayam 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
3. Guna 3 sudu besar minyak gorengan ayam tadi untuk menumis. Tumis hirisan bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga bawang sedikit layu.
4. Masukkan cili kering kisar dan masak sehingga terbit minyak.
5. Selepas itu masukkan taucu manis. Kacau dan kemudian masukkan 1 cawan air. Biarkan kuah mendidih.
6. Masukkan ayam goreng tadi. Kaupbalikkan ayam sehingga bergaul mesra. Kemudian baru tambahkan air untuk kuahnya (Kuantiti air bergantung kepada banyaknya kuah yang kita mahu). Masukkan kicap lemak manis Enaq secukupnya, pati asam jawa, perencah Maggi Cukup Rasa dan gula. Masak sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ayam masak sepenuhnya.
7. Sebelum tutup api, masukkan cili padi, bawang besar dan hirisan cili merah. Taburkan juga daun sup dan daun bawang sekiranya ada.

Selamat Mencuba
Ikhlas Daripada
Kak Noor Sajian Dapur Bonda/040516
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang