Assalamualaikum
Hari ini Kak Noor nak syer resepi sayur yang wajib ada di restoran nasi kandar. Bagi mereka yang gemar menjamu selera di restoran nasi kandar, sudah tentu menu ini tidak asing lagi. Menu yang dimaksudkan ialah Kobis Goreng Mamak. Resepi ini di`cedok' daripada blog Mamak Haji Roslan. Siapa tak kenal Mamak Haji Roslan. Kalau yang suka memasak dan selalu blogwalking mencari resepi terutamanya masakan ala mamak, sudah tentu mengenali Mamak Haji Roslan yang terkenal di persada masakan mamak/nasi kandar. Beliau juga tidak `lokek' berkongsi tips-tips masakan, dan ada aje berita sensasi dan terkini yang diposkan untuk dikongsi bersama.
Sebelum ke resepinya, Kak Noor ingin berkongsi maklumat mengenai kobis yang Kak Noor dapati daripada blog Mamak Haji Roslan. Bagus juga info ini. Jom kita go thru dulu sebelum ke resepinya.
Secara kajian saintifik, KOBIS yang dikukus boleh menurunkan kadar kolestrol dengan drastik kerana sayur kobis mengandungi kadar tinggi vitamin C, glutimine dan asid amino. Sekarang anda tahu kenapa tak perlu risau jamu hidangan nasi kandar yang dikatakan tinggi kolestrol. Dalam setiap hidangan nasi kandar ada rahsia sebaliknya. Oleh itu jangan lupa mengambil sayur kobis goreng nasi kandar setiap kali anda menjamu hidangan nasi kandar. Yang tak berminat nasi kandar itu, para pengkaji pemakanan syorkan dalam seminggu 2-3 kali anda perlu ambil sayur kobis.
Tip-Tip Masakan Sayur Kobis:
1. Biasanya bahagian dalaman kobis ini bersih. Ala kadar bersihkan di luaran saja sudah mencukupi. Tetapi dalam banyak kes, dalam masakan sayur ini, ditemui `cacing sayuran” di dalam bahagian dalam kobis terutamanya daripada bekalan tempatan. Adalah disarankan “biar lambat, asalkan selamat” untuk dimakan, kalau tidak apabila ada yang termakan cacing ini, akan fobia pada sebarang masakan kobis sepanjang hayat dia.
2. Cara bersihkan kobis yang selamat ialah buka sehelai ke sehelai dan bersihkan dengan cara alirkan air bersih menerusi pili paip di dapur. Selepas itu, masukkan dedaun kobis ke dalam bekas besar yang berisi air garam (garam secekak) atau air cuka untuk membersihkan telur cacing atau pun serangga lain yang sukar dibersihkan. Rendam selama 15 – 20 minit. Basuh kembali dengan air bersih dan masukkan ke dalam penapis supaya kobis dikeringkan. Cara kebersihan ini anda akan yakin 100 peratus bersih.
3. Memotong kobis perlu gunakan pisau diperbuat daripada keluli tahan karat (stainless steel). Sekiranya gunakan pisau besi (carbon steel) biasa, kobis anda bertukar warna kepada kehitaman.
4. Selepas potong kobis, jangan biarkan lebih daripada 20 minit, kerana vitamin C yang terdapat dalam kobis akan rosak. Terus masak kobis selepas saja proses pembersihan. Ingin diingatkan kepada suri rumah yang ingin jimat sedikit perbelanjaan, jangan sekali beli kobis yang telah dipotong bersaiz di pasar. Elakkan membeli kobis yang telah kopek, hinggakan kobis sekilo jadi setengah kilo itu.
5. Sekiranya cuma perlu gunakan separuh, tentukan kobis 1/2 lagi itu disimpan dibungkus kertas di dalam peti sejuk. Jangan biarkan kobis itu terdedah, melecur nanti.
Jenis-jenis Kobis yang Terdapat di Pasaran
Kobis biasanya di pasar tempatan terdapat dua jenis iaitu kobis Indonesia dan kobis Cameron Highland. Kobis Indonesia keras dan padat. Kobis Cameron pula tidak terlalu padat tapi lembut. Cara menentukan jenis kobis ialah dengan menekan sedikit kobis itu. Sekiranya padat dan keras ia adalah kobis Indonesia. Kobis Cameron texturenya lembut dan manis daripada kobis Indonesia. Kobis Indonesia lebih sesuai untuk perniagaan kerana harganya murah sedikit.
Bagus juga maklumat mengenai kobis ini. Sebelum ini Kak Noor sendiri pun tak tahu ada kobis Indonesia. Yang sedia maklum ialah kobis daripada Cameron Highlands aje… Patutlah di pasar raya atau pasar, terdapat kobis yang padat dan keras, dan ada juga kobis yang tidak terlalu padat dan lembut.
Dah tahu sedikit sebanyak mengenai kobis, jom kita tengok resepi kobis goreng mamak pula.
KOBIS GORENG MAMAK
Resepi Asal: Mamak Haji Roslan
Diolah: Sajian Dapur Bonda
Bahan-bahannya: (anggaran makan untuk 10 – 14 tetamu)
1 biji kobis – anggaran 1 kg
1 sudu besar pes halia bawang putih
3 ulas bawang putih – dihiris halus
3 ulas bawang kecil – dihiris halus
3 tangkai daun kari – dilurut daunnya
½ sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil biji sawi
1 sudu kecil serbuk lada putih
3 – 4 cili kering
2 biji cili hijau/merah - dihiris
Lobak merah - dihiris mancis - Kak Noor tak letak
Gula dan garam secukup rasa
Minyak masak secukupnya
Gula dan garam secukup rasa
Minyak masak secukupnya
Penyediaannya:
1. Bersihkan dan potong empat bahagian. Potong dan buang bahagian tengah. Buka sehelai ke sehelai dan bersihkan (rujuk cara membersihkannya pada no. 2 tip-tip masakan sayur kobis). Kemudian dipotong halus (lebar 4 – 5mm). Selepas dipotong, bersihkan sekali lagi dan toskan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Bila minyak panas tumiskan biji sawi. Bila biji sawi dah mula meletup, masukkan segera bawang putih yang telah dihiris halus. Bila bawang putih mula wangi ( 3 – 5 saat), masukkan hirisan bawang kecil dan juga cili kering dan daun kari. Bila bawang bertukar kekuningan, masukkan segera pes bawang putih halia (ini dilakukan dengan cepat, sekiranya minyak terlalu panas, masukkan satu sudu lagi minyak baharu dalam kuali untuk kurang kepanasan minyak dalam kuali).
3. Masukkan serbuk jintan putih, serbuk cili, serbuk lada putih, dan serbuk kunyit. Goreng sehingga pecah minyak. Bila minyak mula timbul, masukkan sayur kobis. Kuatkan api dan goreng cuma dalam tempoh 3 minit. Sederhanakan api dapur dan tutup gorengan dengan tudung. Jangan biarkan terlalu kering dan hingga hangus. Yang selamat masukkan 1 cawan air. Biarkan sayur gorengan itu masak bertutup selama 10-15 minit dengan api yang sederhana.
4. Buka tudung, masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan hirisan cili hijau atau merah dan hirisan lobak merah. Keluarkan dan hidangkan dengan daun rempah (corriander). Anda juga boleh gunakan kacang campur sejuk beku gantikan karot.
Cuba resepi ini bersama ayam masak , lauk nasi kandar seperti daging masak itam atau kari ayam.
Ulasan
http://secuitrasaumiejazz.blogspot.com/