Salam Sejahtera.
Sejak terjebak membuat brownies ni dah jadi ketagih pula nak buat brownies pada setiap hujung minggu. Jika dibandingkan dengan kek, penyediaan brownies adalah lebih mudah. Insya-Allah setakat ini semua brownies yang dibuat menjadi dengan sempurna. Alhamdulillah ada kawan yang tempah setelah melihat posting dalam FB.
Untuk brownies, Kak Noor lebih prefer guna tepung naik sendiri dalam kotak kerana teksturnya lebih halus. Tapi hari tu entah macam mana tersalah guna tepung high protein iaitu tepung membuat roti. Biasanya selepas pertama kali guna bungkusan plastik tepung akan dikeluarkan daripada kotak dan disimpan di dalam peti ais bersama-sama bungkusan plastik tepung yang lain. Kak Noor hanya melabelkannya sahaja. Tetapi hari itu, pakai ambil sahaja dengan penuh confident tanpa melihat label. Selepas brownies masak, baru berdetik hati nak lihat label kat bungkusan plastik tepung tu. Ha...ha.... tepung protein rupanya. Alhamdulillah walaupun tersalah guna tepung, kejadian brownies tetap cantik dan sedap.
Dari segi penggunaan coklat, Kak Noor menggunakan milk chocolate compound jenama Beryl's, dan untuk serbuk kokonya pula menggunakan jenama Van Hounten atau Delfi. Penggunaan coklat yang berkualiti akan menghasilkan brownies yang lebih sedap dan tekstur yang lebih lembut.
Bab yang paling Kak Noor suka bila menyediakan brownies ini ialah bab dekorasi. Masa nilah nak letak macam-macam; chocolate coin, chocolate chip, chocolate rice, chocolate bar, almond flakes, dan taburan keju. Ha..ha.. ha.. sampai saratlah permukaan brownies tu.
Masa pertama kali buat brownies, Kak Noor buat brownies plain sahaja dan tiada dekorasi. Masa tu tengah viral brownies kedut. Adunannya pun rasa coklat semata.
Tetapi sekarang ini terdapat pelbagai variasi adunan brownies dengan pelbagai dekorasi mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing. Dekorasi brownies yang Kak Noor paling suka ialah mengatur buah strawberry selepas disalut dengan coklat ganache.Untuk resepi chocolate brownies ini, Kak Noor masukkan almond flakes dan chocolate chip di dalam adunan. So rasanya lebih mewah dan rangup dalam setiap gigitan.
Gambar-gambar brownies yang Kak Noor kongsikan di sini adalah brownies yang pernah Kak Noor buat menggunakan resepi yang sama tetapi dihiaskan dengan dekorasi yang berlainan.
Resepi Chocolate Brownies dengan Almond Flakes
dan Chocolate Chip
Dicuba oleh: Kak Noor @ sajiandapurbonda
Bahan A:
200g buttercup
250g milk chocolate compound
- Cairkan guna kaedah double boil
Bahan B:
4 biji telur gred A
1/2 cawan gula perang lembut
1/2 cawan gula kastor
Bahan C:
1 sudu kecil esen vanilla
1 sudu besar coklat emulco
Bahan D:
160g tepung naik sendiri } disatukan dan diayak bersama
20g serbuk koko }
5 sudu besar susu coklat - Kak Noor guna Gooday
1/2 sachet serbuk nescafe hazelnut
Bahan E:
¼ cawan almond flakes yang telah dipanggang
¼ cawan butterscotch chocolate chip/chocolate chip
Cara-caranya:
1. Satukan bahan B dalam satu bekas. Kacaukan sahaja, tak perlu menggunakan mixer, agak-agak gula tak nampak.
2. Masukkan coklat dan butter yang telah cair tadi (bahan A) ke dalam bahan B. Kacau sebati sahaja menggunakan whisk.
3. Kemudian tambah bahan C. Kacau rata.
4. Masukkan adunan tepung (bahan D) yang telah diayak sedikit-sedikit di dalam adunan tadi dan serbuk nescafe hazelnut. Kacau rata, diikuti dengan 5 sudu besar susu coklat Gooday. Kacau lagi.
5. Akhir sekali masukkan almond flakes dan butterscotch chocolate chip. Kacau rata.
6. Guna loyang 9”x9”. Lapik loyang dengan baking paper. Sapu sedikit mentega di atas baking paper dan sekeliling dinding loyang. Tuang adunan di dalam loyang.
7. Terlebih dahulu panaskan oven 10 minit dengan suhu 160C. Bakar di dalam oven menggunakan suhu 150 selama 40 minit atau bergantung kepada oven.
8. Apabila telah masak, buka pintu oven sekejap dan biarkan 10 minit baru dikeluarkan.
10.Bila telah sejuk baru dipotong. Kalau suka, boleh diletakkan topping dan hiasan mengikut kreativiti masing-masing.
Ulasan