Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

24 Februari 2013

Sup Campur (Bunga Kobis, Ubi Kentang dan Karot)



Bahan-bahannya:
400 gram bunga kobis
1 biji ubi kentang saiz besar
1 biji karot
1/2 biji tomato - dipotong kiub kecil
Batang sup
Soun - direndam sehingga kembang dan ditoskan
2 ulas bawang putih - dicincang
2 biji bawang kecil - dihiris
1 sudu besar udang kering - direndam dan ditoskan
Serbuk lada hitam
1/2 kiub ayam
Garam secukup rasa
1 sudu besar minyak untuk menumis
Air secukupnya untuk sup
Bawang goreng




Cara-cara Memasaknya:
1.  Bunga kobis dipotong kecil dan direndam dengan garam seketika untuk membuang kotoran sekiranya ada.  Kemudian dibersihkan.
2.  Ubi kentang dan karot diparut separuh, bakinya dipotong bulat.
3.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis bawang putih,  bawang kecil  dan udang kering sehingga naik bau. Kemudian masukkan air secukupnya diikuti dengan kiub ayam, garam, dan serbuk lada hitam.  Masak sehingga sup mendidih.
4.  Kemudian masukkan potongan karot dan ubi kentang.  Bila  telah agak empuk, masukkan pula parutan ubi kentang dan karot, tomato yang telah dipotong kiub, batang sup dan soun.  Kacau rata dan masak sehingga sup mendidih.
5. Tutup api.   Semasa menghidang bolehlah ditaburkan bawang goreng.

22 Februari 2013

AYAM SAMBAL SERAI

Assalamualaikum dan Selamat Berhujung Minggu Bersama Keluarga Tercinta.

Hari ini menu utama yang ingin Kak Noor ketengahkan untuk hidangan tengah hari  ialah Ayam Sambal Serai.  Mesti ramai yang telah pernah menghidangkan menu ini untuk santapan keluarga.  Cuma kadang-kadang ada tokok tambah dari segi penggunaan bahan-bahannya dan cara-cara penyediaannya.  Citarasa seseorang tidak sama antara satu sama lain. Ada yang ikut aje resepi yang diketengahkan dan ada juga yang suka menokok tambah; macam Kak Noor lah. Tapi kalau ia sedap dan kena pada anak tekak, apa salahnya kita mencuba dan menghasilkan rasa yang baharu.




Memandangkan hari ini banyak program di luar rumah di sebelah tengah hari, pagi-pagi lagi Kak Noor telah bangun untuk membereskan kerja rumah dan memasak untuk keluarga.  Sementara masih rajin dan bertenaga di sebelah pagi ini, lebih baik kita selesaikannya.  Waktu petang adalah masa untuk kita beristirehat dan santai bersama keluarga.





Ayam sambal serai ini sedap dimakan bersama nasi putih, nasi tumis, nasi minyak, dan juga nasi tomato.  Kalau rajin bolehlah disediakan jelatah sos kacang sebagai hidangan sampingan.  Kalau rajin lagi, bolehlah digoreng papadom.  Kak Noor dan keluarga memang suka papadom ini.  Kalau tak dimakan bersama nasi, anak-anak Kak Noor makan begitu sahaja seperti keropok.  Bagi mendapatkan resepi jelatah SDB sila klik link di bawah.







AYAM SAMBAL SERAI

Bahan-bahannya: 
1 ekor ayam – dipotong 12 atau 16
1 biji buah tomato ranum saiz besar - dipotong kiub
2 sudu besar kicap pekat ABC
1 kiub ayam
1 batang serai – dititik
1 tangkai daun kari
2 sudu besar gula perang
Gula putih dan garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar: 
1 labu bawang besar saiz besar
5 biji bawang kecil (bawang merah)
4 ulas bawang putih
3 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
2 batang serai – dihiris
Air secukupnya

Cara-cara Memasaknya: 
1. Ayam digaramkunyitkan dan digoreng ¾ masak. Angkat ayam, toskan minyaknya dan ketepikan.
2. Panaskan minyak di dalam periuk. Gunakan minyak gorengan ayam tadi. Tumis serai dan daun kari sehingga naik bau. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi dan kacau rata. Tudung periuk dan masak sehingga naik bau dan garing.
3. Tambahkan air (bergantung kepada banyaknya kuah yang dikehendaki) dan masukkan buah tomato.  Kacau rata. Selepas dua minit, masukkan kicap, gula merah, gula putih, garam, dan kiub ayam. Masak sehingga kuah mendidih. Rasa kuahnya dan boleh tambahkan gula putih atau garam sehingga menepati citarasa anda.
4. Selepas itu baru dimasukkan ayam gorengan tadi. Kaup balikkan dengan kuah sambal sehingga serata. Perlahankan api dan biarkan ia mereneh di atas dapur lebih kurang 10 minit. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.

16 Februari 2013

Kari Ayam Kashmir



Assalamualaikum dan Selamat Tengah Hari. 

Untuk juadah tengah hari ini, Kak Noor masak Kari Ayam Kashmir, stail India di mana tidak menggunakan santan.   Resepi ini Kak Noor temui di Blog Hairul yang merupakan kiriman Puan My1981 dalam program kongsi resepi dapat duit tajaan blog Hairul.com





Kebiasaannya kari ayam yang Kak Noor masak menggunakan santan, tetapi resepi ini tidak menggunakan santan sama sekali; betul-betul ikut stail mamak.  Kuahnya pula Kak Noor lebihkan air kerana hasben tidak berapa gemar kuah kari yang pekat.




Ternyata selepas dimasak, memang sedap dan tidak jemu kita memakannya.  Menu tambahannya pula ialah sambal belacan dengan ulam-ulaman dan papadom.



Walaupun ringkas, tetapi syukur Alhamdulillah berselera makan seisi keluarga.



Resepi Asal: Kiriman Puan My1981
 (Program Kongsi Resepi Dapat Duit Tajaan Blog Hairul.com)

Bahan-bahan A (Untuk ditumis):
4 ulas bawang merah - dihiris
1 labu bawang besar saiz sederhana – dihiris dan ditumbuk
3 ulas bawang putih – ditumbuk
1 ½ inci halia – ditumbuk
1 batang serai – dititik
1½ inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
2 tangkai daun kari
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan B (Untuk pes): 
3 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar rempah briyani
1 sudu besar serbuk cili
(Satukan semua bahan di atas dan digaul dengan air untuk dijadikan pes)

Bahan-bahan C: 
1 biji buah tomato saiz besar yang ranum – dipotong dadu kecil
3 – 4 biji kentang – dipotong dadu besar
2 biji cili hijau
10 – 12 ketul daging ayam (saiz potong 16)
Minyak untuk menggoreng ayam
Garam, gula, dan serbuk perasa sekiranya suka
Air secukupnya untuk kuah mengikut kuantiti ayam.

Cara-cara Memasaknya: 
1. Ayam yang telah dibersihkan digaramkunyitkan dan digoreng separuh masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan A sehingga naik bau. Masukkan pes dan kacau sebati. Tudung periuk dan masak sehingga rempah garing.
3. Selepas itu masukkan ubi kentang dan buah tomato yang dipotong dadu dan kacau seketika.
4. Masukkan ayam dan tambahkan air secukupnya untuk kuah dan kacau rata. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa.
5. Masak sehingga kuah mendidih dan ubi kentang empuk.
6. Setelah kuah agak pekat, bolehlah ditutup api. Masukkan cili hijau dan tudung periuk.



12 Februari 2013

SELERA TENGAH HARI (Ikan Siakap Goreng Tiga Rasa, Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku (Santan Sawit), Sambal Belacan, dan Ulam-ulaman)

MENU TENGAH HARI 
- Siakap Goreng Tiga Rasa
- Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku
- Sambal Belacan dan Ulam-ulaman




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

Ketiga-tiga menu di atas adalah hidangan tengah hari tadi. Sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti yang agak panjang, anak-anak Kak Noor semua ada di rumah kerana bercuti.  Lagipun sejak penghujung bulan Januari yang lalu terdapat pertambahan ahli keluarga dalam rumah iaitu mak mertua dan adik ipar.  Masa inilah semua dapat makan bersama.






Nasi yang dulunya masak tiga pot beras pun tidak dapat dihabiskan, tetapi sepanjang tempoh percutian ini enam pot beras `selesai'.   Itu waktu siang, waktu malam cerita lain pula.   Chef pun dah tak larat ke dapur nak sediakan makan padi, makan petang, dan makan malam.  Kadang-kadang bila orang dah ramai ni, lauk yang kita bajet boleh tahan sehingga ke malam,  kadang-kadang tak cukup dan hanya dapat bertahan pada waktu siang sahaja.  Terpaksalah chef masuk ke dapur menyediakan menu `bidan terjun' pula.



Ikan Goreng Siakap Tiga Rasa, always faveret famili


Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan masakan ikan goreng siakap tiga rasa






Untuk menu tengah hari ini, Kak Noor masak ikan siakap goreng tiga rasa, masak lemak cili padi pucuk paku, dan sambal belacan serta ulam-ulaman.  Menu ikan siakap goreng tiga rasa telah banyak kali Kak Noor masak dan resepi ini memang menjadi faveret famili  Resepinya telah masukkan dalam blog SDB dan boleh diakses di sini.  Walaupun hidangannya agak ringkas, tetapi semuanya `beres', tak sempat bertahan sehingga ke malam.  Bagi masak lemak cili padi pucuk paku pula, Kak Noor gunakan santan kelapa sawit KHALIS.  Memang sedap dan lemak berkrim.


Inilah produk santan sawit Khalis 


Santan kelapa sawit?  Mungkin tak ramai orang yang tahu tentang kewujudan santan kelapa sawit ini di pasaran dan mungkin juga ramai yang tidak berapa arif lagi tentang penggunaan santan kelapa sawit ini di dalam masakan harian. Semua orang akan  tertanya-tanya kelapa sawit ini ada santan ke?  Daripada datangnya santan itu?  Sebenarnya santan sawit ini memang baik untuk kesihatan, lebih-lebih lagi bagi penggemar masakan bersantan.  Kalau inginkan penerangan lanjut mengenai santan kelapa sawit ini bolehlah lawati laman web rasminya iaitu di  Santan Khalis Sawit  (Bukan nak promote ye, cuma nak berkongsi sesuatu yang berbaloi dan baik untuk kesihatan).





Bagi menambahkan selera, Kak Noor sediakan sambal belacan dengan ulam-ulaman seperti ulam raja, daun selum, dan kacang botol.  Sesekali mengadap hidangan seperti ini, ia memang menyelerakan.  Lebih-lebih lagi kalau ahli keluarga berkumpul.  Selerapun bertambah-tambah....





Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku (Santan Sawit)

Bahan-bahannya:
2 ikat sayur pucuk paku
1 sudu besar udang kering - dibersihkan, direndam, dan ditoskan.
2 batang serai, diitik
2 cawan santan kelapa sawit, dicampur dengan 1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
2 labu bawang besar, saiz sederhana
1 inci kunyit hidup
5 biji cili padi @ ikut kepedasan
1 biji cili merah
1 1/2 cawan air

Cara-caranya:
1.  Masukkan semua bahan kisar, serai dan udang kering di dalam periuk dan masak sehingga mendidih.
2.  Selepas mendidih, masukkan santan sawit.   diikuti dengan pucuk paku.  Kacau rata dan masak sehingga pucuk paku lembut dan kuah mendidih.  Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
3.  Akhir sekali bolehlah ditutup api dan dihidangkan.

5 Februari 2013

SIPUT LALA MASAK LEMAK KUNING




Bahan-bahannya: 
1 ½ kilo siput lala besar, dicuci bersih
2 batang serai – dititik
½ kilo pati santan
1 biji tomato – dibelah 4
1 helai daun kunyit – disimpul.
Garam, serbuk perasa, dan gula

Bahan-bahan dikisar: 
2 inci kunyit hidup
2 biji bawang besar
1 inci halia
1 biji cili hijau
3 – 4 biji cili padi merah
Air secukupnya.

Cara-cara menyediakannya: 
1. Masukkan siput lala bersama bahan-bahan yang dikisar, dan serai di dalam periuk. Kacau rata dan tudung periuk. Biarkan di atas dapur selama lebih kurang 5 minit.
2. Buka tudung periuk, masukkan pati santan dan daun kunyit. Gaul rata dan perasakan dengan garam, serbuk perasa, dan gula. Masak sehingga kuah mendidih.
3. Akhir sekali masukkan tomato dan bolehlah ditutup api.




SOTONG GORENG TOMYAM


Bahan-bahannya:

500 gm sotong saiz sederhana (bersihkan, potong 3)
2 sudu kecil pes tomyam
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili thai
1 sudu kecil sos ikan
½ biji lobak merah – dipotong bulat
1 labu bawang besar – dimayang bulat
½ biji cili benggala hijau – dihiris memanjang
1/2 biji tomato – dipotong 4 memanjang
Garam dan gula secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan tumis:
5 biji cili padi – diketuk
1 biji cili merah - dihiris
1 labu bawang besar, saiz sederhana – dimayang
3 ulas bawang putih – dimayang
  
Cara-cara memasak:
1.           Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan-bahan tumis sehingga wangi dan sedikit layu.
2.           Masukkan pes tomyam, sos tiram, sos cili thai dan sos ikan.  Kacau rata dan tambahkan sedikit air.  Biarkan kuah mendidih
3.           Selepas itu masukkan sotong dan gaul rata.  Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa dan kacau lagi sehingga sotong ¾ masak.
4.           Kemudian masukkan lobak merah, diikuti dengan cili benggala dan buah tomato.  Kaup balikkan sehingga semua bahan bergaul mesra.  Bila sotong telah masak, bolehlah ditutup api.
5.           Angkat dan bolehlah dihiaskan dengan daun ketumbar  atau daun sup/daun bawang.



Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang