Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

23 Februari 2015

BEREKSPERIMEN DENGAN PERIUK NOXXA; AYAM MASAK KAPITAN (NYONYA CHICKEN CURRY)

Assalamualaikum.




Jom bereksperimen dengan periuk NOXXA lagi. Resepi yang menjadi pilihan untuk eksperimen kali ini ialah Ayam Masak Kapitan atau dalam Bahasa Inggerisnya Nyonya Chicken Curry. Kenapa tidak di translate Kari Ayam Nyonya saja ye? Kak Noor pun sedikit confuse dengan terjemahan ini. Apapun Kak Noor perolehi resepi ini daripada blog Mamak Haji Roslan, chef yang serba boleh; masakan 1 Malaysia. 



Tak nak sembang panjang-panjang. Kita terus ke resepi dan penyediaannya ye. Cara penyediaannya Kak Noor olah kembali mengikut kesesuaian penggunaan periuk NOXXA. Walau bagaimanapun untuk masakan manual, rakan-rakan boleh rujuk kepada resepi asal di blog Mamak Haji Roslan.

Sumber Resepi Asal: Mamak Haji Roslan
Dioleh oleh: Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
1 kg. isi ayam organik
200 ml santan pekat
300 ml air
5-6 sudu besar minyak masak.
2 - 3 helai daun limau purut - dibuang urat tengah.
1 biji limau nipis diperah jus.
Gula dan garam secukup rasa

Penyediaan Pes Tumisan :
3 biji cili merah yang agak panjang – dibelah dua dan dibuang biji
10 – 15 tangkai cili kering – dibuang biji dan direbus (ikut kepedasan)
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
5 biji buah keras
3 batang serai
4 keping lengkuas bersaiz kuku ibu jari
2 keping halia bersaiz kuku ibu jari
2 keping kunyit hidup bersaiz kuku ibu jari
2 sudu besar (tbsp) belacan bakar
1 sudu besar (tbsp) tomato puri
Air secukupnya untuk mengisar

(Kesemua bahan di atas dikisar halus dan dijadikan pes)

Cara-cara Memasak Menggunakan Periuk NOXXA:



1. Masukkan minyak dalam inner pot. Pilih fungsi STIR-FRY dan tekan ON (butang merah). Periuk tidak perlu ditutup apabila menggunakan fungsi STIR-FRY. 

 

2. Bila minyak telah panas, masukkan pes tumisan dan kacau. Masak sehingga tumisan terbit minyak. 



3. Kemudian masukkan ayam dalam tumisan dan kaupbalikkan. Masak antara 5 hingga 6 minit.



4. Masukkan santan, air (banyaknya air bergantung kepada kuah yang anda kehendaki, tapi jangan terlalu cair), dan daun limau purut. Kacau rata.



5. OFF fungsi STIR FRY. Tutup periuk dan kunci. Putar tombol ke arah HIGH PRESSURE (HP). Pilih fungsi HP 8X dan tekan ON.



6. Selepas tamat tempoh, putar tombol ke arah STEAM untuk bebaskan wap (ingat, untuk sekuriti, tudung periuk tidak dapat dibuka selagi wap tidak habis dilepaskan).

7. OFF fungsi HP. Buka tudung periuk. Masukkan jus limau nipis, garam dan gula secukup rasa.

8. ON fungsi STIR-FRY kembali dan biar kuah mendidih lagi selama 2 minit. Apabila telah cukup rasa, bolehlah OFF fungsi STIR-FRY. 


9. Anda mempunyai pilihan sama ada memindahkan masakan ini ke periuk lain atau biarkannya dalam periuk NOXXA dalam status WARM-REHEAT (pilih fungsi WARM-REHEAT dan tekan ON). Masakan akan senantiasa dalam keadaan panas.



10. Semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun pudina dan ditaburkan bawang goreng.

Selamat Mencuba...

22 Februari 2015

SAMBAL TAUHU PEDAS MANIS, AMAT MUDAH MENYEDIAKANNYA.

Assalamualaikum.




Bahan-bahannya:
5 ketul tauhu - dipotong dua (potongan segitiga)
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili thai
2 sudu besar gula perang
Sedikit air (sekiranya perlu)
Minyak secukupnya untuk menumis
Gula putih secukup rasa (tambahan kepada gula perang)
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
2 senduk nasi cili kering kisar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih

Cara-cara memasak:
1.  Tauhu dibasuh dan digoreng sehingga kekuningan.  Ketepikan.
2.  Panaskan minyak di dalam periuk/kuali.  Masukkan bahan-bahan kisar dan kacau rata. Masak sehingga terbit minyak.  Gunakan api kecil.
3.  Masukkan sos tiram dan sos cili thai, gula perang, gula putih dan garam.  Masukkan sedikit air sekiranya kuah agak pekat.  Masak sehingga kuah mendidih.
4.  Setelah cukup rasanya, masukkan tauhu goreng tadi dan kacau rata.  Biar ia mereneh di atas dapur sekejap, kemudian bolehlah ditutup api.

SET MENU TENGAH HARI: ASAM PEDAS TUMIS IKAN SELAR CAMPUR NANAS DAN SAMBAL TUMIS TAUHU

Assalamualaikum dan Selamat Pagi.




Masih berfikir hendak masak apa untuk tengah hari ini?  Apa kata masak asam pedas tumis campur nanas?  Ikan pula boleh guna apa aje ikan ikut citarasa masing-masing. Untuk resepi ini Kak Noor guna ikan selar kuning kerana ikan ini sahaja yang ada di dalam peti ais.  Tapi kalau diberi pilihan, Kak Noor lebih suka guna ikan pari untuk masakan asam pedas ini, sebab tak ada tulang, senang makan.  He...he.. sebenarnya ikan-ikan lain tu Kak Noor tak makan sejak kecil lagi.  Ikan pari ini ok.

Kalau masak asam pedas, tiga bahan ini wajib ada iaitu daun kesum, bunga kantan, dan juga serai. Bahan-bahan inilah yang menaikkan aroma asam pedas ini. 



Kak Noor gandingkan asam pedas ini dengan sambal tumis tauhu.  Sambal tumis tauhu ini faveret anak-anak. Sambalnya dimasak pedas-pedas manis.  

Bahan-bahannya:
6 ekor ikan selar kuning saiz sederhana
½ biji nanas
1/2 camca besar pes asam jawa
1 ikat daun kesum
1 batang bunga kantan – (batang dipotong 2 inci dan diketuk, bunga kantan dibelah dua dan dipotong serong)
1 sudu besar pati asam jawa XTRA Adabi – dibancuh dengan sedikit air
1 kiub ikan bilis
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan ditumis:
1 batang serai - diketuk
1 biji bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - hiris
2 senduk nasi cili kisar

Bahan-bahan dikisar halus:
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
3/4 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
1/2 inci belacan - dibakar
3 biji buah keras – dihiris
Air secukupnya

Cara-cara Membuatnya:

1. Ikan selar kuning disiang dan dicuci bersih. Kupas nanas dan gunakan setengah biji sahaja. Buang empulur nanas dan hiris sederhana tebal. Ketepikan.

2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis serai titik, bawang besar, dan bawang putih hingga harum. Masukkan bahan kisar dan kacau rata. Masak sehingga terbit minyak, guna api sederhana dan kacau selalu.

3. Masukkan asam jawa, tambah nanas, dan gaul rata. Masak sekejap. Tuang air secukupnya. Kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan dan kiub ikan bilis dan kacau sekali sekala.

4. Masukkan daun kesum, batang dan bunga kantan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika telah memenuhi citarasa, bolehlah ditutup api.

5. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk-lauk lain.

21 Februari 2015

DAGING MASAK ITAM NASI KANDAR MENGGUNAKAN PERIUK NOXXA.

Assalamualaikum.




N3 periuk NOXXA kali ini, Kak Noor nak kongsi cara-cara memasak Daging Masak Itam Nasi Kandar dengan menggunakan periuk Noxxa.  Hanya mengambil masa 20 minit sahaja untuk daging empuk.  Cepatkan!



Resepinya pula Kak Noor rujuk blog Mamak Haji Roslan. Apabila teringin nak makan masakan ala nasi kandar, blog inilah yang selalu menjadi rujukan Kak Noor.  Masakan kandarnya asli dan biasanya cubaan pertama memasak tidak menghampakan.





Adalah menjadi perkara biasa,  bahan-bahan untuk masakan ala nasi kandar memang banyak dan memerlukan masa untuk penyediaannya. Tetapi pada penghujungnya kita pasti akan mendapat kesempurnaannya.

Apa yang Kak Noor suka mengenai periuk NOXXA ini ialah daging cepat empuk.  So tak payah tunggu lama.  Sementara menunggu daging empuk, kita boleh melakukan tugas lain.

Resepi ini Kak Noor olah penyediaannya bersesuian dengan cara memasaknya dengan menggunakan periuk NOXXA. Bagi  sesiapa yang tidak mempunyai periuk NOXXA boleh rujuk cara-cara  penyediaannya di blog Mamak Haji Roslan ye.


Bahan-bahannya:
1 kg.  daging (dipotong hiris mengikut urat daging)
2 biji bawang besar -   belah dua bawang memanjang (dihiris memanjang untuk semua masakan nasi kandar) .
100 gm rempah kari daging (dari bungkusan 250gm).
1/2 sudu kecil (tsp) serbuk jintan putih.
1/2 sudu kecil serbuk (tsp) jintan manis
1/2 sudu kecil (tsp) serbuk kas-kas 
1 sudu kecil (tsp) garam masala.
4 sudu besar (tbsp) sos cili.
2 sudu besar (tbsp) sos tomato
7 sudu besar (tbsp) kicap pekat mee
2 cawan air 
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa.

Bahan untuk kisar/tumis:
2 biji bawang labu besar dikisar 
2 sudu besar pes halia bawang putih.
1 batang serai diketuk di pangkal.
2 helai daun pandan di potong 3″ .
2 tangkai daun kari.
2 batang kayu manis + 5 buah pelaga + 4 bunga lawang + 8 cengkih.
2 senduk nasi cili kering kisar 
2 senduk minyak masak.

Cara Penyediaan:



1. Bersihkan daging dan ketepikan.

2. Pilih fungsi STIR FRY dan tekan ON - butang merah (Periuk tidak perlu ditutup semasa proses ini).  Masukkan minyak dan tunggu sehingga minyak panas.



3. Apabila minyak telah panas, masukkan kayu manis, buah pelaga, cengkih, bunga lawang, daun pandan, dan serai. Goreng hingga ramuan ini mula keluarkan bau harum.

4. Masukkan hirisan bawang, kacau sehingga warna hirisan bawang bertukar keemasan.



5. Masukkan pes halia+bawang putih , dikuti dengan bawang kisar. Tumis sehingga bahan-bahan ini mengeluarkan bau harum.



6.  Masukkan bahan cili kering kisar dan kacau rata. Selepas 3-4 minit, masukkan daging dan dua cawan air.  Kacau rata.



7. Masukkan serbuk kari, serbuk jintan putih, serbuk jintan manis, serbuk kas-kas, garam masala, sos cili, sos tomato, dan kicap mee pekat. Kacau rata. OFF fungsi STIR FRY (Tekan butang merah kembali).

8.  Tutup periuk.  Pilih fungsi HIGH PRESSURE.  Set 20 minit (20x) dan tekan ON.  Putar tombol ke arah HIGH PRESSURE.

9. Selepas 20 minit, periuk akan berbunyi BEEP.  Putar tombol ke arah STEAM untuk mengeluarkan/melepaskan wap (Ingat, tudung periuk tidak boleh dibuka sehingga wap habis dikeluarkan).

10. Buka tudung periuk.  Kacau rata. (Ketika ini daging telah empuk). OFF fungsi HIGH PRESSURE dan pilih fungsi STIR FRY kembali dan ON. Perasakan dengan gula dan garam. Kacau rata dan masak sehingga kuah menjadi pekat sekiranya kuah masih cair.

11. Setelah kuah menjadi pekat boleh OFF fungsi STIR FRY.   Sekiranya mahu masakan senantiasa panas di dalam periuk, pilih fungsi WARM/REHEAT dan tekan ON.

11. Cara menghidang, taburkan daun pudina dan bawang goreng di atas dan sedia untuk hidangan.  Selamat mencuba.  
Hidangan untuk : 10 orang
Kos :RM20.00

19 Februari 2015

PENYEDIAAN CILI KISAR UNTUK MASAKAN

Assalamualaikum.

Rasanya tip dan info ini amat berguna untuk dikongsi bersama. Mungkin ramai rakan yang telah sedia tahu mengenai cara-cara penyediaan cili kisar dan telahpun mempraktikkannya. Tetapi bagi rakan-rakan yang belum tahu, Kak Noor kongsikan di sini untuk rujukan.  Tip ini diambil daripada blog Mamak Haji Roslan.  

Penyediaan Cili Kisar Untuk Masakan:

1. Cili kisar yang bermutu boleh disediakan dengan memotong cili saiz kecil dengan gunting mengikut 45 darjah.

2.  Rebuskan sehingga cili lembut.  Kebiasaannya biji-biji cili akan gugur. Bersihkan rebusan dengan penapis. 

3.  Kisar cili mestilah 1 bahagian cili di balang pengisar dan 1 bahagian air. Jangan sendatkan balang pengisar. Gunakan hanya 3/4 bahagian balang pengisar supaya balang mempunyai ruang. 

4. Sekiranya kisaran menjadi kasar atau berat, masukkan satu sudu minyak masak ke dalam balang pengisar. 

5. Kisaran perlu mengikut waktu yang ditetapkan oleh pembuat pengisar; kebiasaannya 1 minit berhenti 30 saat dan kisar kembali. Kisaran berterusan akan membakar motor pengisat. 

6. Elakkan menggunakan bahan panas dikisar. Ini akan menumpulkan pisau pengisar.

7. Tentukan setiap kali habis mengisar, bersihkan balang pengisar dengan betul. 

8. Tentukan cili kisar ditutup rapat.  Cili yang telah dikisar perlu simpan di bahagian bekuan peti sejuk bukan di bahagian penyejuk.

9 Februari 2015

Ayam Masak Ros Mamak Penang, menu keluarga di hujung minggu.

Ayam Masak Ros Mamak Penang
Rujukan:  Perniagaan Katering dan Restoren (Mamak Haji Roslan)





Menu di hujung minggu, santai bersama keluarga. Sesekali masuk ke dapur menyediakan juadah yang special dari hari-hari biasa untuk famili. Walaupun banyak persediaan untuk menyediakan menu ini, tetapi hasilnya memang marvelous. Puas hati sangat bila tengok anak-anak dan Encik Hasben begitu berselera menikmati hidangan ini. Sesekali rajin di dapur...selalunya masak ala kadar saja. Rasa macam masakan lauk nasi kandar di restoran mamak. Patutlah lauk pauk di restoran mamak mahal harganya, bahan-bahan yang digunakan pun boleh tahan juga banyaknya.




Ayam Masak Ros Mamak sedap dimakan bersama nasi tomato. Nasi tomato ini dimasak menggunakan periuk tekanan tinggi NOXXA. Hanya mengambil masa 6 minit, masak menggunakan fungsi high pressure, nasi telah masak dan sedia untuk dihidangkan. Resepi nasi tomato menggunakan periuk Noxxa boleh dirujuk di SINI.




Diganding pula dengan sayur kacang buncis goreng ala stail mamak. Ditumis menggunakan bawang besar, bawang putih, cili merah, biji sawi, daun kari, dan sedikit serbuk kunyit. 

Jom kita tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ayam masak ros mamak Penang ini dan juga cara-cara penyediaannya. Terdapat sedikit olahan ayat mengikut kefahaman Kak Noor. Namun begitu resepinya masih tetap sama. Walau bagaimanapun anda boleh merujuk resepi asal di blog Mamak Haji Roslan.


Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (1.6 – 1.8 kg). Bersihkan. Potong 12
½ tin (bersaiz 225gm) `Kimball Soup Tomato’
3 sudu besar tomato puri / 1 tin kecil
½ tin susu sejat – Kak Noor guna susu sejat jenama IDEAL
Garam dan gula merah/gula putih secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menggoreng ketulan ayam

Bahan-bahan ditumis:
1 helai daun pandan dipotong 2” panjang
2 biji bawang besar dihiris memanjang
2 batang kayu manis berukuran 2” panjang
2 batang serai dititik
3 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
1 senduk minyak masak

Bahan-bahan dikisar (A):
2 biji labu bawang besar
1 inci halia
5 ulas bawang putih

Bahan-bahan dikisar (B):
10 biji cili merah
1 batang lobak merah saiz sederhana
1 biji tomato

Bahan-bahan dikisar (C):
100 gm biji badam, direndam air panas,
dibuang kulit dan dikisar halus

Bahan-bahan D (dibancuh menjadi pes):
1 sudu besar (table spoon) serbuk jintan manis
1 sudu kecil (tsp) serbuk jintan manis
1sudu kecil (tsp) kas-kas
1 sudu kecil garam masala
2 sudu besar serbuk cili (ikut kepedasan yang diperlukan)
Air secukupnya untuk membancuh rempah-rempah di atas

Bahan-bahan untuk dihias atas hidangan:
Daun pudina atau daun saderi
Bawang goreng



Cara Menyediakannya:



1. Bersihkan ketulan ayam dan digaramkunyitkan. Panaskan minyak dan gorengkan ketulan ayam itu sehingga ¾ masak. Sekiranya menggunakan ayam kampong, disyorkan tidak perlu digoreng. 


2. Panaskan kuali dan masukkan minyak gorengan ayam tadi secukupnya untuk menumis. Masukkan bahan-bahan tumis iaitu kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih, serai dan daun pandan. Apabila bau harum mula dikeluarkan, masukkan hirisan bawang besar. Tumis sehingga bawang bertukar warna keemasan, jangan sampai hangus. 


3. Masukkan bahan-bahan kisar A (bawang besar + bawang putih + halia). Tumis seketika sehingga naik baunya. 


4. Selepas itu masukkan pula bahan-bahan kisar B (cili merah + tomato + lobak merah) dan juga Bahan C (biji badam yang telah dikisar). Masukkan juga sup tomato, dan tomato puri. Tumiskan sehingga bahan-bahan tumisan ini mengeluarkan bau haruman. Gunakan api yang sederhana (ini amat mustahak supaya kuah ayam masak ros tidak berbuih semasa dihidangkan). 


5. Selepas itu masukkan pula Bahan D (pes rempah).

6. Bila kuah mula pecah minyak, masukkan ½ tin susu sejat.

7. Masukkan gula perang/gula putih dan garam secukup rasa.

8. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlan dimasukkan sedikit air. Biar sebatian mendidih seketika, kemudian masukkan ketulan ayam yang telah digoreng. Kacau rata kuah supaya tidak hangus dan kuahnya sebati dengan ketulan ayam. 

9. Kecilkan api bila kuah mendidih (biasa 15 – 20 min sudah memadai). Apabila kuah pecah minyak, bolehlah dikeluarkan untuk dihidangkan. 

10. Hidangkan dengan daun pudina dan bawang goreng di atas hidangan bagi menambahkan lagi bau yang harum. 


Nota:
Sebenarnya masakan nasi kandar ini memerlukan bahan masakan yang banyak. Bawang adalah kegunaan utama. Masakan nasi kandar tidak menggunakan air untuk menambahkan kuahnya atau pun cairkan. Bawang yang dikisar dengan air menjadi kuah masakan maka dicadangkan 50% air dan 50% bahan kisaran sudah memadainya. Sekiranya anda inginkan kuah yang cair, bolehlah tambah airnya. 

Tetapi perlu ingat kuah nasi kandaq mamak yang sedap adalah kerana kuahnya likat melekat, sebab itu ditambah lobak merah dan biji badam dalam resepi ini. Kalau ayam masak merah ditambah cili sos dan tomato sos untuk kelikatan hasil daripada tepung jagung yang digunakan untuk membuat kedua-dua sos ini. 

Kelikatan kuah masakan nasi kandar pekat likat dan baunya harum sehingga 1km boleh berbau. Tangan yang dibasuh selepas makan masih boleh bau rempahnya sekiranya menggunakan rempah yang baik. 

Jangan sesekali tambahkan air sejuk kepada kuah yang sedang mendidih kerana ini akan mengakibatkan air tidak akan sebati dengan kuah dan terapung di permukaan kuah nanti.

2 Februari 2015

Pajeri Nanas Berempah, stail masakan Oghang Utagha


Assalamualaikum.
Inilah pajeri stail oghang Utagha. Pajeri nanas berempah memang popular di kalangan orang-orang sebelah Utara. Masakan ini sering dihidangkan semasa kenduri kahwin dan merupakan pembuka selera selain acar buah. Rempah, santan, dan kerisek merupakan antara bahan utama masakan pajeri ini. 

Lain negeri, lain cara masakannya. Ada juga pajeri nanas kuning, yang dimasak tanpa menggunakan rempah, santan, dan kerisik. Hanya menggunakan serbuk kunyit dan cuka. Cara ini belum dicuba lagi. 




Tetapi selain nanas, terung panjang, jantung pisang, mangga, dan buah kedondong juga digunakan untuk masakan pajeri. 

Bahan-bahannya:
1 biji nanas masak 
4 sudu makan kerisik
1 cawan susu sejat (dicampur dengan 3 cawan air)
2 biji cili hijau
2 sudu makan gula perang
Gula putih secukup rasa
Garam secukup rasa.

Bahan-bahan dikisar:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
5 sudu makan rempah kari daging
Air secukupnya.

Bahan-bahan Tumis:
3 biji bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris mancis
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 tangkai daun kari
Segenggam udang kering - direndam sehingga sedikit kembang, dibersihkan dan ditoskan.


Cara-caranya:
1.   Nanas dikupas kulit dan dipotong bulat, ketebalan 1 cm.
2. Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, bawang kecil, bawang putih, halia, daun kari dan udang kering sehingga naik bau.
3. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan kacau. Tutup periuk dan gunakan api sederhana.  Masak sehingga terbit minyak.
4.  Kemudian tuang 1 cawan susu cair + 3 cawan air dan kacau rata.  Masukkan nanas, gula merah, gula putih, dan kerisik. Biarkan mendidih dan kuah pekat sedikit. 
5.   Akhir sekali masukkan cili hijau.  Kacau dan tutup api.
6.   Siap dan sedia dihidangkan. 

Kari Udang Sayuran




Bahan-bahannya:
½ kilo udang sederhana besar
15 batang kacang buncis
2 biji ubi kentang - dipotong kecil
1 biji lobak merah – dihiris serong
2 biji cili hijau – dibelah dua tapi tak putus
1 cawan susu sejat dicampur dengan 3 cawan air)
1 keping asam gelugor (asam keping)
Perasa garam dan gula secukupnya

Bahan-bahan dikisar: (jadikan pes)
4 sudu besar serbuk rempah kari ikan dan udang BABAS
1 biji bawang besar - dihiris
4 ulas bawang putih - dihiris
1 cawan air

Bahan-bahan ditumis:
3 ulas bawang merah (bawang kecil) - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia dihiris mancis
1 sudu kecil jintan manis
2 tangkai daun kari
Minyak secukupnya.

Cara-cara Memasak:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan tumis dan tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.

2. Selepas itu masukkan bahan-bahan kisar dan kacau rata. Gunakan api sederhana. Tutup periuk. Biarkan rempah mereneh di atas dapur sehingga terbit minyak/pecah minyak.

3. Selepas rempah terbit minyak, tuang 1 cawan susu sejat yang dicampur dengan 2 cawan air. Kacau rata dan masukkan ubi kentang dan masak sehingga kuah mendidih.

4. Masukkan udang. Perasakan dengan garam dan gula. Masukkan juga asam keping. Biar ia mendidih di atas dapur. 

5. Akhir sekali masukkan lobak merah, kacang buncis, tomato, cili hijau. Kacau. Bila kuah mendidih sekali lagi, bolehlah ditutup api.

Ayam Paprik Ala Thai

Assalamualaikum dan Selamat Malam.




Malam ini  Kak Noor just nak kongsi resepi Ayam Paprik Ala Thai yang dimasak petang tadi. Telah lama tak masak lauk ala Thai ini.  Permintaan daripada anak bongsu. Tapi kekurangan sayur-sayuran. Ayam baru sahaja dibeli oleh Encik Hasben pagi tadi. Cuma ada kacang buncis sahaja. Nasib baik dalam peti ais ada cili benggala, cili padi, serai, dan daun limau purut.  Inilah bahan-bahan yang menaikkan aroma masakan ayam paprik ini. 


Sempat snap gambar sejurus selepas masak, fresh from kuali.




Bahan-bahannya:
4 keping dada ayam (keel) – dipotong/dihiris kecil
3 ulas bawang putih – dihiris
4 biji bawang merah (bawang kecil) – dihiris
1 inci halia – dihiris mancis
2 labu bawang besar – dipotong gegelang
5 – 6 biji cili padi merah – dititik
2 batang serai – dititik
½ biji cili benggala (boleh pilih hijau/merah/kuning atau campur ketiga-tiga sekali)
5 – 6 helai daun limau purut – dikoyak hujungnya
3 sudu makan cili kering kisar
2 sudu makan sos cili thai
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan sos tiram
1 sudu makan sos ikan/sotong
Sedikit kicap manis
Gula perang dan garam secukup rasa
Air secukupnya untuk kuah
Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam

Sayur-sayuran:
10 batang kacang buncis @ kacang panjang
Boleh tambah sayur-sayuran lain seperti bunga kobis,
putik jagung dan lobak merah

Cara-caranya:
1. Gaul hirisan ayam bersama serbuk kunyit dan sos ikan/sotong.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng hirisan ayam sehingga masak. Tos dan ketepikan
3. Tinggalkan sedikit minyak gorengan ayam di dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, dan halia hingga naik bau.
4. Masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak/pecah minyak. Selepas itu masukkan sos cili thai, sos tomato, sos tiram, sos ikan/sotong, dan kicap manis, diikuti dengan isi ayam. Gaul rata.
5. Tuangkan air secukupnya (untuk kuah). Masukkan serai, daun limau purut dan cili pagi. Biar mereneh di atas dapur. Perasakan dengan gula perang dan garam. Kacau rata.
6. Akhir sekali masukkan bawang besar, cili benggala, dan sayur-sayuran. Tambahkan sedikit air sekiranya kuah pekat (bergantung kepada citarasa masing-masing).
7. Masak sehingga kuah mendidih dan bolehlah ditutup api.
8. Siap dihidangkan bersama nasi panas.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang