Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

1 September 2015

Kuih Cara Manis

Assalamualaikum.





Kuih Cara Manis, salah satu kuih tradisional yang masih dihidangkan untuk sarapan pagi dan minum petang. Semasa kecil, nenda Kak Noor suka buat kuih ini. Maklumlah tinggal di kampung. Bila telah penat bermain dengan kawan-kawan, nenda selalu hidangkan juadah petang seperti jemput-jemput ikan bilis, cekodok pisang, lempeng, pisang goreng, bingka, dan pelbagai lagi kuih-muih tradisional. Sedap dan berselera bila ditemani kawan-kawan makan bersama. Menghirup pula teh o wangi panas-panas. Hmm.... sedih pula bila terkenang saat-saat terindah ini. Semuanya nostalgia yang ditinggalkan melalui catatan di halaman ini. 




Ok... berbalik kepada kuih cara manis tadi. Sebenarnya dah berzaman juga acuan kuih cara disimpan sebagai harta karun di dalam almari. Inilah satu-satunya acuan kuih cara yang Kak Noor ada. Seingat Kak Noor acuan ini dibeli pada tahun 1989 semasa tinggal di Padang Besar. Bila berkahwin Kak Noor berhenti kerja dan mengikut suami tinggal di Padang Besar. Kalau telah bergelar suri rumah tangga sepenuh masa tu... apa lagi banyaklah masa terluang. Memang sejak dahulu lagi hobi Kak Noor ialah mencuba dan memasak pelbagai resepi. Semasa itu tiada internet, hanya rujuk kepada majalah sahaja. Suami pula memang `kaki makan' dan suka makan kuih-muih tradisional ini. 




Bila dah berzaman acuan di dalam almari, ini bererti dah berzaman jugalah Kak Noor tidak membuat kuih cara ini. Tetiba sahaja anak bongsu perempuan minta Kak Noor buatkan kuih hijau untuknya. Tertanya-tanya juga kuih apa yang dia maksudkan. Dia kata, "kuih yang Shila makan semasa Seminar Didik hari itu". Oh... kuih cara manis rupanya. Nasib baik ibunya turut berada di situ semasa para peserta minum petang selepas seminar tamat. So.. mengertilah apa yang dimaksudkannya. 




Hampir setiap hari Shila meminta untuk dimasakkan kuih cara manis ini. Dan... pada setiap kali itulah ibunya `begitu sibuk' dan tidak dapat menunaikan permintaannya pada saat itu. Kasihan Shila. Akhirnya pada hari Sabtu minggu lalu, maka tertunailah hajatnya. Kushyuk sungguh Shila melihat Kak Noor membuat kuih cara manis ini, dari mula sampailah akhir. Dia sendiri yang letak gula. Katanya, `ibu letaklah gula banyak-banyak, baru sedap', kalau letak sikit tak rasa manis. Emm... layan ajelah sikecil ni. Dia yang nak makan sangat-sangat. So ikut aje citarasanya.

Oh ya nak kongsi satu petua untuk mewangikan lagi kuih cara ini dengan aroma pandan.  Dulu semasa nenda menyapu minyak di dalam acuan, beliau gunakan beberapa helai daun pandan yang diikat dan dijadikan sebagai berus. Mungkin disebabkan itu kuih cara orang dulu-dulu ada aromanya yang tersendiri. 




Resepi kuih cara manis ini Kak Noor ikut resepi rakan FB CT Hajar atau nama penuhnya Siti Hajar Hashim. Setakat ini semua resepinya yang Kak Noor cuba memang menjadi sempurna. Terima kasih kepada empunya resepi yang telah mengketengahkan dan mengembalikan nostalgia kuih-kuih lama untuk dikongsi bersama. Kak Noor sendiri pun dah lupa resepi kuih-kuih lama ini kalau tiada rujukan.

Kak Noor salin semula dan kongsikan resepi Kuih Cara Manis oleh CT Hajar ini. 


Bahan-bahannya:
2 cawan tepung gandum
2 cawan air
1/2 cawan air pandan - Kak Noor guna 8 helai daun pandan
1/2 cawan santan pekat
1 biji telur
1 sudu teh pewarna hijau
Secubit garam
Gula pasir untuk inti

Cara-caranya:
1.  Kisar  semua bahan hingga sebati kecuali gula.
2. Panaskan acuan atas dapur gas. Sapu sedikit minyak. 
3. Tuang adunan di dalam acuan, masukkan gula pasir dan tutup guna tudung periuk.
4. Masa selama lebih kurang 5 - 8 minit menggunakan api kecil.
5. Bila telah masak gunakan garpu dan keluarkan kuih daripada acuan. 

Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang