Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

27 Disember 2014

Ayam Sambal Ala Thai, menu tengah hari di hujung minggu.




Bahan-bahan A:
½ kg. ayam
2 batang serai – dititik
2 sudu besar besar sos Thai
2 sudu  besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos sotong/ikan
2 sudu besar gula perang
2  cawan air
2 biji bawang besar – dipotong gegelang
Beberapa helai daun limau purut
Gula putih (tambahan kepada gula perang) dan garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan B (dikisar lumat):
3 senduk nasi cili kering yang telah dikisar – guna cili kering kerinting yang tidak pedas
2 biji bawang besar saiz sederhana
5 ulas bawang putih
Air secukupnya

Cara-cara Memasak:

1. Setelah dibasuh bersih, ayam digaramkunyitkan dan digoreng ½ masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak secukupnya di dalam periuk (guna minyak gorengan ayam tadi). Masukkan serai dan tumis sehingga naik bau.
3. Kemudian masukkan bahan-bahan B dan kacau rata. Tutup periuk dan gunakan api sederhana dan masak sehingga terbit minyak/cili garing.
4. Buka tudung periuk. Kacau dan masukkan 2 cawan air. Kacau lagi dan masukkan sos thai, sos tiram, sos sotong/ikan, kicap manis. Perasakan dengan gula perang, gula putih, dan garam secukup rasa. Kacau dan biarkan kuah sambal mendidih seketika. 
5. Selepas kuah sambal mendidih, bolehlah dimasukkan ayam goreng tadi bersama daun limau purut dan kacau rata. Gunakan api sederhana dan biarkan kuah mereneh di atas dapur sehingga ayam masak dan kuah menjadi pekat.
6. Setelah ayam masak, masukkan bawang besar yang dipotong gegelang tadi. Kaupbalikkan ayam bolehlah ditutup api.

25 Disember 2014

Kek Marble Butter Cheese, lebih extra rasa coklat dan moist

Assalamualaikum.



Malam ini berkesempatan buat Kek Marble Butter Cheese untuk kudapan keluarga. Dah agak lama cream cheese berada dalam peti ais tu, tak terusik. Beli cream cheese hari itu pun sebab nak buat kek cream cheese.




Teruja sangat tengok kek cream cheese yang dipos oleh kekawan kita dalam FB. Tetapi dari sehari ke sehari asyik tak jadi. Itulah, walaupun semangat berkobar-kobar nak buat kek ini tetapi bila kepenatan mengatasi semangat, terpaksalah ditangguh dulu.


Resepi ini Kak Noor dapat semasa blogwalking di Dapur Fiza's Cooking. Jenama cheese yang digunakan oleh Fiza sama dengan apa yang Kak Noor telah beli tempoh hari. Mudahlah bagi Kak Noor untuk ikut resepi ini.

Adunan yang dilorekkan dengan chopstick sebelum dimasukkan ke dalam oven.
Tetapi ada sedikit olahan pada resepi asal Fiza's Cooking ini. Kak Noor olah mengikut kesesuaian dan mudah untuk difahami oleh Kak Noor. Ada beberapa bahan yang telah ditokok tambah. Contohnya, selain menggunakan serbuk koko, Kak Noor tambang perisi coklat bagi membangkitkan rasa extra koko pada kek ini. Cream cheese pula Kak Noor lebihkan kepada 250 gram supaya lebih rasa cheese (resepi asal hanya guna 200 gram sahaja). Susu cair pula Kak Noor lebihkan kepada 120ml supaya kek lebih moist.

Antara bahan-bahan yang digunakan
Bahan A:
150gm butter
250gm cream cheese (jenama Tatura)
200gm gula kastor
4 biji telur ayam - Gred A
1sudu teh esen vanilla
1 sudu teh perisa coklat
120ml susu cair
3 sudu besar serbuk koko

Bahan B (diayak bersama):
250gm tepung gandum - Kak Noor guna jenama Cap Bunga Raya MFM
1sudu teh baking powder
1/2 sudu teh soda bikarbonat
4 sudu besar serbuk susu tepung

Cara Membuatnya:

1. Masukkan gula kastor, butter dan cheese dalam bekas mixer. Pukul hingga kembang. 
2. Masukkan telur satu persatu dan putar lagi. 
3. Selepas cukup kembang, masukkan pula Bahan B berselang seli dengan susu cair. Putar lagi sambil memasukkan esen vanilla. 
4. Selepas siap, bahagikan kepada dua bahagian iaitu satu adunan asal dan satu lagi di campur dengan serbuk koko dan pes coklat. 5. Sediakan loyang bersaiz 8'. Lapik dengan baking paper yang disapu dengan majerin. 
6. Sendukkan adunan berselang seli hingga habis dan hentak sedikit loyang supaya adunan sekata. 
7. Bakar pada suhu 160'c selama 40 - 45 minit atau sehingga masak.

24 Disember 2014

Makaroni Bakar Cheese

Salam kunjung ke blog Sajian Dapur Bonda. Selamat Malam. Esok cuti am kerana sambutan KRISMAS. Hai…. lega rasanya bila cuti. Tapi Kak Noor cuti esok aje, hari Jumaat perlu kembali bertugas. Seronok kalau dapat bercuti bersama keluarga sehingga hujung tahun. Tapi apakan daya Kak Noor, cuti awal-awal telah habis. Cuti disebabkan Kak Noor sendiri tak sihat, anak tak sihat, dan urusan-urusan lain yang memerlukan komitmen Kak Noor.



Memandangkan esok cuti, malam ini dapatlah Kak Noor bersantai lebih lama di depan komputer untuk memuatkan entry lama yang tidak sempat diposkan. Bagi mereka yang menggemari pasta dan cheese, pasti menu yang hendak dikongsikan bersama ini membangkitkan selera dan secara tidak langsung teruja untuk mencuba membuatnya.




Makaroni Bakar, menu pot luck yang dibawa ke pejabat minggu lalu sempena jamuan kesyukuran dan meraikan pelajar yang telah menamatkan latihan amali di jabatan Kak Noor bertugas. Alhamdulillah, walaupun first time buat, menjadi juga. Rakan-rakan pejabat kata sedap. Sos mayonisnya pun enak. Pada mulanya mereka ingat lasagna kerana kejadiannya seakan-akan lasagna.



Resepi ini Kak Noor jumpa semasa blogwalking mencari resepi makaroni bakar. Maka tersinggahlah di Postal Rasmi Tentera Laut DiRaja Malaysia. Makaroni Bakar ini menjadi menu pilihan aktiviti masakan BAKAT (L) yang diilhamkan oleh Y. Bhg. Datin Norol’ain Mior Ibrahim (Datin Noi). 

Kalau nak cuba membuat makaroni bakar ini bolehlah ikut resepi seperti bawah. Resepi ini telah diolah oleh Kak Noor mengikut citarasa dan bahan-bahan yang sedia ada di dapur. Walau bagaimanapun resepi asal Datin Noi masih boleh dirujuk di SINI



Antara bahan-bahan yang digunakan untuk membuat Makaroni Bakar Cheese.


Bahan A:
1 pek makaroni 500 gram
500 gm sosej daging – digril/digoreng dan dipotong kecil
100 gm sosej ayam – digril/digoreng dan dipotong kecil
2 labu bawang besar – dicincang
1 biji lada benggala hijau saiz sederhana – dipotong kiub
250 gram sayur campur (mixed vegetables)
1 tin cendawan butang – dipotong kiub
2 biji tomato saiz sederhana – dipotong kiub
1 botol sos spaghetti (traditional) KIMBALL
3 sudu besar tomato puri KIMBALL
1 camca besar serbuk lada hitam
1 camca teh `mixed herbs’
Mentega untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa

Bahan B:
1 botol susu segar 450ml
6 biji telur Gred A

Bahan C:
1 pek keju parut `pizza topping’
1 pek cheese sandwich slices

Sos Mayonis:
8 biji cili merah
3 ulas bawang putih
3 camca besar jus lemon
3 camca besar mayonis
Garam dan gula secukup rasa.

Cara Memasak (A):

1. Masukkan makaroni di dalam periuk bersama air secukupnya dan sedikit minyak zaitun/jagung. Kemudian rebus makaroni sehingga lembut. Toskan dan sejukkan sebentar.


2. Masak sosej terlebih dahulu sama ada menggunakan teknik menggoreng atau mengril. Bila telah sejuk, potong kecil-kecil.



3. Panaskan mentega di dalam kuali. Apabila mentega sudah cair, masukkan bawang putih, diikuti dengan bawang besar yang telah dicincang. Tumis sehingga naik bau. 

4. Masukkan sosej dan seterusnya sayur campur (mixed vegetables), cendawan butang, dan lada benggala yang telah dipotong kiub. 


5. Seterusnya masukkan sos spaghetti KIMBALL, tomato puri, dan buah tomato yang telah dipotong kiub, dan masak sehingga pekat. Masukkan lada hitam, `mixed herbs’, dan perasakan dengan garam dan gula.


6. Padamkan api, satukan sos daging bersama makaroni yang telah direbus tadi.


Cara Memasak (B):
1. Satukan telur dan susu segar di dalam blender. Kisar sehingga sebati. Ketepikan.
2. Masukkan makaroni yang telah sedia ke dalam loyang, dan tekan sedikit sehingga adunan agak mampat.
3. Curah adunan susu dan telur ke atas makaroni sehingga sama paras.
4. Letak beberapa keping cheese sandwich slices sehingga menutupi makaroni. Kemudian tabur keju parut `pizza topping’ dan dibakar dengan suhu 175C selama 30 minit atau sehingga masak. Ikut oven yang digunakan.

Cara Membuat Sos Mayonis:
1. Masukkan cili merah, bawang putih, dan air secukupnya ke dalam mesin pengisar. Mesin sehingga lumat.
2. Kemudian masukkan di dalam periuk dan masak sehingga mendidih. Sejukkan sebentar.
3. Satukan bahan cili yang telah dimasak, mayonis, jus lemon, garam dan gula di dalam blender. Kemudian dikisar sehingga semua bercampur sebati.
4. Tuang ke dalam bekas. Boleh disimpan di dalam peti sejuk. .

Cara Menghidang:
Hidangkan makaroni yang telah siap dibakar bersama-sama sos mayonis.

12 Disember 2014

Puding Jagung Kastard Jeli Sumi




Bahan-bahannya:
30 gram agar-agar tali (strip)
1 liter air
1 ¼ cawan gula pasir
1 tin jagung manis ala krim Ayam Brand – 425gram
1 tin susu sejat Dairy Champ – 390 gram
2 sudu tepung kastard perasa jagung
2 cawan ais krim perasa jagung
Jelly Sumi secukupnya.



Cara-cara Membuatnya:
1. Basuh agar-agar terlebih dahulu. Kemudian masak bersama 1 liter air sehingga larut.
2. Masukkan gula pasir dan masak sehingga gula larut.
3. Sementara itu satukan jagung manis, susu sejat, dan tepung kastard dalam blender dan blend sehingga lumat dan semuanya sebati.
4. Kemudian masukkan dalam larutan agar-agar tadi dan kacau sehingga pekat. Guna api perlahan supaya tidak bergentel.
5. Bila adunan telah mendidih, tutup api. Masukkan ais krim perasa jagung dan kacau rata sehingga ais krim cair dalam adunan tadi.
6. Aturkan jeli sumi secukupnya di dalam acuan. Kemudian tuangkan sedikit adunan perlahan-lahan, setengah paras tenggelam jeli sumi. Biarkan seketika lebih kurang 15 minit sehingga adunan keras sedikit. Kemudian baru dituang adunan selebihnya di dalam acuan. Sejukkan di dalam peti ais sehingga keras.





Puding Jagung Kastard Aiskrim Jagung

Assalamualaikum pengunjung-pengunjung Sajian Dapur Bonda.

At last.... dapat juga Kak Noor gunakan acuan khas Puding Jagung ini setelah lebih dua bulan membelinya. Teringin sangat nak tengok hasilnya bila gunakan acuan ini untuk membuat puding.





Acuan pun berbentuk jagung, so kita buat puding jagung, barulah sesuaikan! Untuk resepi puding jagung ini Kak Noor olahkan dengan memasukkan tepung kastard perasa jagung. Tepung kastard ini ada dijual di pasar raya, brand Bistari. Tepungnya memang berbau wangi jagung manis. Di samping itu Kak Noor masukkan juga aiskrim jagung.



Bahan-bahannya:
30 gram agar-agar tali (strip)
1 liter air
1 ¼ cawan gula pasir
1 tin jagung manis ala krim Ayam Brand – 425gram
1 tin susu sejat Dairy Champ – 390 gram
2 sudu tepung kastard perasa jagung
2 cawan ais krim perasa jagung
Pewarna kuning (yellow egg) dan pewarna hijau

Cara-cara Membuatnya:
1. Basuh agar-agar terlebih dahulu. Kemudian masak bersama 1 liter air sehingga larut.
2. Masukkan gula pasir dan masak sehingga gula larut.
3. Sementara itu satukan jagung manis, susu sejat, dan tepung kastard dalam blender dan blend sehingga lumat dan semuanya sebati.
4. Kemudian masukkan dalam larutan agar-agar tadi dan kacau sehingga pekat. Guna api perlahan supaya tidak bergentel.
5. Bila adunan telah mendidih, tutup api. Masukkan ais krim perasa jagung dan kacau rata sehingga ais krim cair dalam adunan tadi.
6. Masukkan adunan di dalam acuan yang sesuai dan biarkan ia sejuk seketika di luar. Kemudian baru dimasukkan dalam peti sejuk.




Cara-Cara Mewarnakan Adunan Sekiranya Menggunakan Acuan Puding Khas:
1. Sekiranya anda menggunakan acuan puding khas untuk puding jagung, ambil adunan secukupnya untuk diwarnakan dengan warna hijau untuk daun dan warna kuning untuk biji jagung. 
2. Tuang adunan kuning di dalam tapak biji jagung dan adunan hijau di dalam tapak daun. Biarkan ia sejuk seketika lebih kurang 15 minit. 
3. Kemudian dituangkan lebihan adunan di dalam acuan dengan perlahan-lahan. 
4. Masukkan dalam peti sejuk dan biarkan ia semalaman.

30 November 2014

Resepi Periuk Noxxa: Kari Ayam dengan Kentang, 10 minit telah boleh dihidangkan.

Assalamualaikum.

Bagi resepi periuk Noxxa kali ini, Kak Noor ingin kongsi cara-cara memasak kari ayam menggunakan periuk Noxxa. Kari ayam ini telah dimasak minggu lalu, tetapi N3nya yang masih tertunda. Bahan-bahan yang digunakan sama seperti kita masak kari ayam dalam periuk biasa. Cuma yang membezakan apabila kita memasak menggunakan periuk Noxxa ialah ayam cepat empuk dan dalam masa 10 minit kari ayam telah dapat dihidangkan. Kalau kita kesuntukan masa, contohnya pada awal pagi di mana kita perlu memasak untuk keluarga sebelum ke pejabat, periuk noxxa merupakan satu keperluan bagi ibu yang bekerja.



Periuk Tekanan Elektrik Berbilang Fungsi Noxxa

Resepinya....

Bahan-bahannya:
1 kg. ayam - dipotong kecil
3 - 4 biji ubi kentang - dibelah dua atau empat
1 cawan pati santan sawit KHALIS + 2 cawan air
1/2 ketul kiub ayam
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan ditumis:
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 batang serai - diketuk
1 helai daun pandan - disimpul

Bahan-bahan dikisar (disatukan dan dikisar):
4 sudu besar serbuk rempah ayam Babas
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu besar serbuk cili
Air secukupnya.

Cara-cara membuatnya:



1.  Sediakan bahan-bahan untuk ditumis.
2. Switch on periuk.  Tekan fungsi `STIR FRY' dan On.  Tumis bahan-bahan sehingga bawang kekuningan dan naik bau.
3. Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan kacau rata.  Masak sehingga rempah menjadi garing dan terbit minyak. 
4. Sediakan ayam telah digaramkunyitkan.  Apabila rempah telah terbit minyak, masukkan ke dalam periuk dan gaul rata (ayam bercampur dengan rempah).
5.  Masukkan santan, diikuti dengan garam, gula, dan kiub ayam.  Kacau rata.
6. Off fungsi STIR FRY.  Tutup periuk. Tukar kepada fungsi HIGH PRESSURE. Set juga tombol ke arah PRESSURE.  Set 8 minit dan tekan ON. 
7. Selepas 8 minit berlalu, putar tombol ke arah STEAM untuk bebaskan wap.  
8. Buka tudung periuk dan kacau rata. Masa ini ayam telah empuk. 9. Masukkan ubi kentang. Tutup periuk kembali. Set ke fungsi HIGH PRESSURE dan putar tombol ke arah PRESSURE sekali lagi. Set 2 minit untuk ubi kentang masak.  
10. Selepas 2 minit berlalu, putar tombol ke arah STEAM untuk bebaskan wap.  Kari ayam telah siap dihidangkan.
11. Biarkan dalam status PRE-HEAT/WARM supaya kari ayam senantiasa panas.


29 November 2014

Sempena Ulang Tahun Hari Kelahiranku, Chocolate Moist Cake Leleh, inspirasi puteri-puteriku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera rakan-rakan semua.


Terlebih dahulu Kak Noor ingin panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi, kerana masih memberi peluang Kak Noor hidup di muka bumi ini.  Telah 49 tahun Kak Noor diberi ruang untuk hidup di bumi Allah ini.   Masih banyak lagi ruang yang perlu dipenuhi dengan ilmu-ilmu Allah. Teras diri kita begitu kerdil di sisi Allah jika dibandingkan dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada kita.  Semoga Allah senantiasa merahmati dan memberi keampunan kepada hamba-hambanya. 




Kak Noor tertarik dengan satu doa hari lahir yang ditemui di blog ini.  Kak Noor copy and paste aje ye untuk dikongsi bersama. Kak Noor juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir pada mereka-mereka yang ulang tahun kelahirannya jatuh pada hari mereka membaca N3 Kak Noor ini.   Jom layan video Selamat Hari Lahir  oleh Saujana.

Seperti tahun-tahun yang lalu, pada setiap hari ulang tahun kelahiran Kak Noor, ia diraikan di rumah sahaja bersama keluarga. Malam sebelum itu, Kak Noor buat kek chocolate moist, cuba resepi salah seorang blogger. Terang-terang Kak Noor declare Kak Noor memang tak terror buat kek sejak zaman remaja lagi. 


Ingat lagi semasa remaja dulu bila buat kek mesti tak penah perfect. Kek kemantat, merekah kat permukaan atas, dan rentung. Masa tu guna oven Butterfly yang bentuk empat segi dan warna hitam tu. Tiga faktor inilah yang menyebabkan Kak Noor fade-up nak buat kek. Jealous juga tengok rakan-rakan kat FB dan blog pos kek mereka. 

Hishh... memang cantik-cantik belaka dan nampak sedap. Semua berlumpa-lumba nak tunjuk kek mereka. Kak Noor kasi 5 bintang.   Tak pelah Kak Noor tunjuk kek 1 bintang Kak Noor aje...Emm... mungkin Kak Noor tiada skil dalam bidang membuat kek ini. Setakat masak lauk pauk tu.., Insya Allah masih boleh kulakukan. Tapi bila bab membuat pelbagai variasi kek ini, awal-awal Kak Noor surrender. Setakat kek biasa tu bolehlah, untuk makan sendiri dan anak beranak.  



Sebenarnya bukanlah niat Kak Noor nak buat birthday cake ni, cuma kebetulan sahaja sebab hari tu cuti hujung minggu.  Time Kak Noor mencuba sesuatu resepi untuk keluarga.  So teringinlah nak cuba buat chocolate moist cake ni sebab tengok ramai rakan dah cuba dan post kat FB dan blog mereka.  


Kreativiti kedua puteriku menghias kek untuk hari kelahiranku. Thank you.

Bila kek telah masak, dua orang puteri Kak Noor pula sibuk nak menghiasnya.  Si kakak buat chocolate ganache dan si adik pula menghias.  Maka terhasillah birthday cake untuk Kak Noor.  Tak yah beli kat Secret Receipe.  Ingat juga anak-anak kat ibu mereka. Surprise! HAPPY BIRTHDAY IBU!! Tengoklah gambar kat atas tu.  Betapa kreatifnya mereka berdua menghias kek coklat tu. Campak-campak aje... apa yang ada.

Kita ke resepinya pula ye...  Resepi ini juga ada dalam FB Sajian Dapur Bonda.  Kak Noor copy and paste aje.  Nanti kalau nak taip semula, ambil masa juga kan...




22 November 2014

Mee Goreng Cintan, 3 minit sahaja dengan periuk Noxxa

Assalamualaikum.

Sebagai seorang ibu yang bekerja, sudah pasti kita akan memikirkan apakah sarapan pagi yang hendak disediakan untuk anak-anak sebelum kita berangkat ke tempat kerja. Kekadang waktu kita kesuntukan masa untuk memasaknya sendiri.

Sekiranya anda kesuntukan masa untuk menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak, periuk Noxxa merupakan penyelamat anda. Tak sampai 1/2 jam, sarapan pagi telah boleh dihidangkan.


Semalam, Kak Noor masak mee goreng menggunakan mee kering Cintan. Kebiasaannya kita panaskan air terlebih dahulu untuk merebus mee kering ini sehingga lembut kemudian ditoskan. Tetapi dengan menggunakan periuk Noxxa, mee kering terus dimasukkan ke dalam periuk. 3 minit sahaja mee telah masak dan boleh dimakan. Bagi teman-teman di luar sana yang ada periuk Noxxa, Kak Noor ingin berkongsi resepi ini bersama kawan-kawan semua.

Bahan-bahannya:
1 bungkus mee kering Cintan (550 gram – 10 keping)
10 ekor udang saiz sederhana
3 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos cili
750 gram air
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan tumis:
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dicincang
1 senduk nasi cili kering kisar
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-caranya:




1. Masukkan minyak secukupnya dalam inner periuk. Tekan fungsi STIR FRY dan ON.

2. Bila minyak panas, tumis bawang besar dan bawang putih sehingga bawang bertukar kekuningan. 

3. Kemudian masukkan cili kisar dan masak sehingga terbit minyak. Tuangkan air dan masukkan kicap, sos cili, garam, dan gula dan kacau rata. Bila kuah telah mendidih, masukkan udang dan biarkan sehingga masak.




4. Kemudian masukkan mee kering Cintan dan kacau rata bergaul dengan kuah. 

5. Off fungsi STIR FRY. 

6. Pusing tombol ke arah STEAM. Tutup periuk. 

7. Tekan fungsi STEAM 3x dan ON.



8. Selepas 3 minit, mee cintan goreng telah sedia untuk dihidangkan.





Selamat mencuba.

20 November 2014

Resepi Retro: Puding Koktel Bunga Ros

Assalamualaikum rakan-rakan semua.


Wow! Bunga Ros. Cantik sekali kejadiannya kan!  Menceriakan sesiapa sahaja yang menatapnya dan menggamit nostalgia sesiapa sahaja yang seangkatan dengannya.  So hari ini Kak Noor nak muatkan gambar-gambar yang ceria aje...






Inilah hasilnya Puding Koktel dengan menggunakan acuan Bunga Ros Retro. Memang sayang sangat nak makan. Kak Noor biarkannya selama sehari di dalam peti ais.  Anak bongsu Kak Noor tak benarkan Kak Noor memotongnya. Cantik katanya.... tunggu kakak balik baru potong sama-sama. 





Acuan  ini dibeli online daripada rakan FB kita Norhamida Ida dari Pantai Dalam.  Kalau sesiapa yang berminat nak beli acuan ini bolehlah contact Norhamida Ida. Acuan ini memang cukup `glam' sejak zaman nenda dan bonda Kak Noor lagi, dan sering digunakan untuk membuat puding atau agar-agar bagi hantaran pertunangan atau hantaran kahwin. 




Selepas acuan labu menjadi viral, disusuli dengan acuan Bunga Ros ini pula. Cukup teruja Kak Noor bila lihat N3 `Puding Si Bunga Ros' dalam blog Asmah Wani Nur Amni.  Tak sabar-sabar nak membuatnya. 



Moment yang paling best semasa membuat puding ini ialah part mewarna.  Emm... dah agak lama pencen kerja mewarna ni. Tangan pun terketar-ketar dan cukup berhati-hati semasa menuang adunan warna merah di dalam tapak bunga dan warna hijau di dalam tapak daun.  Memang perlu berhati-hati, takut berselerak pulak warnanya. Nanti kejadiannya tak molek. 





Adunan ini menggunakan 30 gram agar-agar tali.  Banyak juga adunan yang dihasilkan.  So...boleh guna dua acuan yang berbeza; satu guna acuan Bunga Ros dan selebihnya guna acuan labu.  




Resepi Puding Koktel Bunga Ros ini telah Kak Noor kongsikan dalam laman FB Sajian Dapur Bonda dalam bentuk JPEG.  Cuma hari ini Kak Noor baru sempat muatkannya dalam blog. 




Kak Noor kongsikan sekali lagi resepinya dalam bentuk catatan bagi memudahkan kekawan untuk melihatnya.

Bahan-bahannya:
30 gram agar-agar tali
1000 ml air
1 cawan gula pasir - boleh kurangkan kepada 3/4 cawan
1 tin susu sejat@cair
1 tin koktel – Kak Noor guna A & A Brand- 836g
2 sudu besar tepung kastard Bistari (perasa jagung manis)
1 biji kuning telur
Pewarna merah dan hijau

Penyediaan: 

Menggunakan blender untuk mengisar semua bahan

Masukkan susu sejat, semua jus koktel, ½ tin buah-buahan koktel, tepung kastard, dan kuning telur ke dalam blender dan kisar sehingga sebati dan lumat. 

Cara-cara Memasak:

1. Basuh agar-agar dan masak bersama 1000ml air sehingga larut. 


2. Masukkan gula dan masak sehingga larut. Selepas gula larut, masukkan bahan yang telah dikisar tadi dan kacau rata. Gunakan api sederhana dan masak sehingga adunan mendidih. Tutup api dan masukkan baki buah-buahan koktel tadi dan kacau rata. 

3. Untuk resepi ini, acuan Bunga Ros digunakan. Oleh itu gunakan kreativiti masing-masing untuk mewarnakannya. Ambil sedikit daripada adunan dan warnakan dengan warna merah – untuk tapak bunga, dan warna hijau untuk tapak daun. Yang selebihnya adunan warna kuning diketepikan. 

4. Tuang adunan ke dalam tapak bunga, dan tapak. Biarkan adunan menjadi keras sedikit (lebih kurang 10 minit). 

5. Kemudian dituang pula adunan warna asal (warna kuning) ke dalam acuan tadi. Sekiranya suka, adunan warna kuning itu boleh dibahagikan kepada dua warna. 

6. Masukkan ke dalam peti sejuk. Tunggu sehingga keras, bolehlah dihidangkan.

19 November 2014

Agar-agar Neslo Oreo, kanak-kanak sukakannya

Assalamualaikum dan Selamat Petang.







Masih tak tahu apa sajian petang untuk keluarga? Apa kata kalau kekawan semua cuba buat Agar-agar Neslo Oreo ini. Mesti anak-anak suka; penuh dengan limpahan coklat lemak berkrim.  Agar-agar Neslo Oreo ini adalah resepi eksperimen Kak Noor berpandukan Agar-agar Coklat Oreo yang diposkan oleh salah seorang rakan di FB.  Kak Noor pun dah lupa apa namanya. Terima kasih kepada empunya resepi asal yang mencetuskan idea untuk Kak Noor melahirkan menu ini.


N3 untuk resepi Agar-agar Neslo Oreo ini telah Kak Noor poskan dalam laman FB Sajian Dapur Bonda.




Memandangkan resepi di atas dalam bentuk JPEG, di sini Kak Noor perturunkan sekali lagi resepinya.

Bahan-bahannya:
30 gram agar-agar bertali 
3 cawan air
1 tin susu cair 
1 cawan gula – kalau nak manis lagi, boleh tambah 
¾ cawan milo 
¼ cawan serbuk koko 
1 sachet Nescafe Ipoh White Coffee with Brown Sugar
Beberapa keping biskut oreo 
Perasa coklat - opsyen 

Cara-caranya:
  1. Basuh agar-agar terlebih dahulu. Masak agar-agar bersama-sama 3 cawan air sehingga larut.
  2. Masukkan gula dan masak sehingga gula larut.
  3. Kemudian masukkan susu cair. Kacau sekejap.
  4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian; satu bahagian dicampurkan dengan milo/coklat dan perasa coklat, dan satu bahagian lagi dicampurkan dengan nescafe.
  5. Tuangkan bahahagian milo/coklat di dalam acuan. Apabila telah keras sedikit, tuangkan bahagian nescafe. 
  6. Patah-patahkan biskut oreo menjadi kepingan kecil dan letak di atas lapisan agar-agar nescafe tadi.
  7. Akhir sekali, apabila lapisan nescafe telah keras sedikit, tuang bahagian milo/koko.
  8. Masukkan di dalam peti sejuk. Bila telah keras, bolehlah dipotong dan dihidangkan

1 November 2014

FENOMENA KINI.... Jeruk Mempelam Asam Boi



Hai... kecur air liur tengok gambar di atas tu ye! Inilah jeruk mempelam asam boi yang sekarang ini telah menjadi satu fenomena bagi penduduk-penduduk di Malaysia. Di FB dan di blog, memang banyak N3 mengenai jeruk ini.  Tidak diketahui dari mana asal usulnya resepi ini, tetapi menurut rakan sepejabat, jeruk sebegini pernah disajikan di restoran Thai Seafood.  Dah lama kewujudannya  tapi sejak akhir-akhirnya telah menjadi viral pulak.




Memang kecur air liur bila tengok gambar jeruk mempelam asam boi ini yang ditayangkan di FB dan di blog.  Teruja nak cuba membuatnya dan juga merasanya. Jeruk ini Kak Noor buat hari Khamis lalu. Selepas selesai menjamu selera bersama Encik Hasben di Kedai Bihun Langgak yang terletak di AU2, sempat singgah di kedai runcit berdekatan dengan kedai berkenaan.  Adalah beberapa biji mempelam di dalam kotak yang terletak di hadapan kaunter cashier.  Hijau aje nampak... Macam tau-tau aje tauke kedai runcit ini pasal viral jeruk ni, sebab itu dia pun turut jual mempelam. Selalunya tak ada.  So tanyalah berapa RM sekilo.  Katanya RM6.00 sekilo, mempelam lemak.  Dalam hati berkata-kata juga, `Mahalnya... mentang-mentanglah sekarang ini orang tengah `demam' jeruk mempelam, mempelam pun dah naik harga'.  Tak pelah.... malas dah nak cari di tempat lain. Lagipun ketika itu dah nak hampir maghrib. Ambil 3 biji, RM5.80.   Mungkin kalau di tempat lain, boleh dapat harga lebih murah.




Selepas maghrib, terus saja ke dapur.  Sediakan apa yang patut.  Asam boi dan serbuk asam boi telah sedia ada, dibeli seminggu yang lalu.  Cuba nak tunggu mempelam saja. Sebenarnya mudah sangat untuk membuatnya.  Selepas membuang kulit mempelam dan dihiris, Kak Noor ikut petua orang tua-tua, perlu direndam dahulu untuk merangupkan lagi buah mempelam itu, supaya bila dah jadi jeruk, tidak lembik.  Selepas 30 minit  direndam, Kak Noor cuci bersih dan ditoskan.  Selepas itu campur dengan bahan-bahan yang lain seperti yang ada dalam resepi.


Em... tak sempat masuk dalam peti ais, semasa mengaul tu, dah masuk ke mulut beberapa keping. Tak boleh berhenti makan.  Patutlah ramai orang suke... Kenapa dulu kita tak tahu mengenai cara penyediaan jeruk ini ye?  Sedangkan ia mudah saja.  Selepas semua bahan bergaul rata, masukkan dalam botol atau bekas plastik.  Senantiasa simpan di dalam peti sejuk, tahan lama.  Nak makan baru ambil. 




Memandangkan jeruk mempelam asam boi ini telah menjadi fenomena/viral kepada penduduk Malaysia sekarang ini, secara tidak langsung ia membuka pintu rezeki orang yang rajin untuk membuat jeruk ini untuk jualan.  Ada yang dijual secara online dan ada juga jiran-jiran terdekat, dan juga rakan-rakan sepejabat menjualnya. Bercakap pasal bisnes jeruk ini, kita patut tahu bahawa jeruk homemade ini tidak ada pengawet.  So ia tidak akan tahan lama seperti jeruk-jeruk yang dijual di pasar raya.  Ada rakan sepejabat Kak Noor ni beli `online' dan penghantarannya secara pos laju. Penghantaran melalui pos laju ini seperti mana yang kita sedia maklum akan mengambil masa secepat-cepatnya 2 hari.  Hari ini pos, esok sampai.  Sekiranya tidak bernasib baik, 3 - 4 hari baru sampai ke tangan kita.  Agak-agak pembacalah, apa jadi kepada jeruk tersebut?  Rakan Kak Noor bagi tahu, jeruk tu dah busuk.  Bagi Kak Noor jeruk mempelam homemade ini tidak sesuai dihantar melalui pos laju.  Seelok-eloknya malam ini buat, esok `Serahan Tangan' kepada customer. Jeruk masih fresh lagi. 

Resepi jeruk mempelam ini sama saja seperti N3 orang lain dalam FB dan blog mereka.  Tetapi Kak Noor paparkan juga di sini ye!





Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang