Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

22 Ogos 2013

Ketam Lemak Cili Padi, menggunakan santan sawit KHALIS. Lebih lemak dan berkrim...


Assalamualaikum dan Selamat Malam semua.

Just a simple N3.  Tak perlu celoteh panjang-panjang sebab mata dah ngantuk ni!  Just nak share masak lemak ketam cili padi.    Semua orang pernah masak kan!  Memang mudah sangat.  Tetapi kalau ikutkan selera Kak Noor, lebih gemar masak kari ketam tumis darat.  Oranglah Penanglah katakan... sememangnya kari!! Tetapi suami dan anak-anak Kak Noor lebih gemar masak lemak cili padi.  Lebih-lebih lagi kalau guna santan sawit KHALIS.  Lebih rasa lemak dan berkrim.  Kuahnya boleh dihirup lagi.  Kalau tak caya, cubalah guna santan sawit KHALIS untuk masak lemak.  Bukan nak promote, tetapi sebagai info kepada rakan-rakan yang belum pernah menggunakan santan ini dalam masakan mereka.

Bahan-bahan yang Kak Noor gunakan adalah seperti berikut:

1 kg. ketam (lebih kurang 6 ekor saiz sederhana) - Kak Noor guna ketam yang berkulit merah
2 batang serai - dititik
3 - 4 helai daun limau purut
320 ml santan sawit KHALIS (paket 320ml)
Sedikit gula
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar lumat:
2 labu bawang besar - dibelah kecil
3 ulas bawang putih
5 biji cili padi merah
5 biji cili padi hijau
2 inci kunyit hidup
1 inci halia
Air secukupnya.

Cara-cara memasak:
1.  Ketam dibuang kulitnya, potong hujung kaki-kaki kecil dan hujung penyepitnya yang tajam. Jika saiz ketam besar, setiap satu kerat dua.  Cuci bersih - gunakan garam dan beberapa biji limau kasturi dan perapkannya lebih kurang dua minit aje.  Kemudian barulah dicuci dan dibilas sehingga bersih.  Toskan.
2.  Di dalam periuk masukkan ketam bersama-sama bahan-bahan yang telah dikisar lumat, dan serai titik. Kacau rata dan masak atas api sehingga ketam berubah warna.
3.  Kemudian tuangkan santan sawit KHALIS dan kacau perlahan.  Kalau mahukan kuah yang cair, bolehlah ditambah air lagi.  Masak sehingga mendidih.
4.  Masukkan daun limau purut dan garam secukup rasa dan sedikit gula.  Kacau perlahan dan masak dengan api sederhana. Satu kelebihan santan sawit ini ialah ia tidak perlu dikacau selalu kerana santan sawit KHALIS tidak mudah pecah minyak seperti santan kelapa.
5.  Bila kuah mendidih sekali lagi, bolehlah dimatikan api.

Dah habis masak, baru teringat lupa nak letak nanas.  Mak ooooi.... penat pergi cari nanas kat pasar raya semalam!

18 Ogos 2013

Kari Ikan Bawal Emas (Stail Mamak Penang)




KARI IKAN BAWAL EMAS (STAIL MAMAK PENANG) - Hidangan untuk 4 orang
Resepi Asal: Kari Ikan Bawal Mamak Penang oleh Mohammad Roslan
http://balannambiar.wordpress.com/2009/09/12/siri-4-kari-ikan-bawal-mamak-penang/


Bahan-bahan:
½ kg. ikan bawal emas (seekor dipotong dua) – * lihat tips membasuh ikan bawal
75 gm. santan pekat atau 1/4 tin susu cair.
1 sudu besar pati asam jawa XTRA ADABI
1 biji tomato – dibelah empat
Beberapa biji bendi (basuh dulu kemudian potong tangkainya)
2 biji cili hijau – dibelah dua tetapi jangan sampai putus
Garam secukup rasa
½ senduk besar minyak masak.

Bahan-bahan ditumis:
1 sudu kecil halba campur
1 biji bawang besar dipotong hiris memanjang
2 ranting daun kari
1 sudu besar kisaran bawang putih + halia
2 sudu besar kisaran bawang besar

Bahan-bahan pes (disatukan dan dibancuh dengan air):
65 gm. rempah kari ikan jenama Babas
½ sudu kecil serbuk jintan putih.
½ sudu kecil jintan manis.
½ sudu kecil serbuk cili.
½ sudu kecil serbuk kas-kas (sekiranya diperlukan)

Cara-cara Penyediaannya:
1. Panaskan periuk. Masukkan minyak masak untuk menumis.
2 Masukkan halba campur. Jangan sampai halba campur ini hangit kerana ini akan menyebabkan bau hangit dan ia akan timbul dalam kuah kari nanti.
3. Apabila saja bau harum dikeluarkan dengan cepat masukan bawang yang dihiris untuk menumis dan daun kari.
4. Apabila hirisan bawang mengeluarkan bau yang harum dan bertukar warna keemasan, masukkan kisaran bawang puti+ halia. Tumis hingga keluarkan bau yang harum. Masukkan kisaran bawang besar.
5. Apabila tumisan mula mendidih dan keluarkan bau yang harum masukkan bahan-bahan pes. Tumisan ini akan mula mengeluarkan bau yang harum. Masukkan air 1/2 liter dan 1 sudu besar pati asam jawa, dan biarkan sebatian ini mendidih. Api yang kuat diperlukan untuk mendidihkan sebatian kari ini.
6. Apabila sebatian kari ini telah mendidih selama 5 -10minit, perlahankan api dapur dan masukan ketulan ikan. Biarkan ikan ini masak selama 15-20 minit. Jangan biarkan kari ikan mendidih terlalu kuat (ketulan isi ikan akan pecah). Masukkan tomato. Biarkan kari itu menggelegak selama selama 3-5 minit lagi.
7. Masukkan santan / susu cair dan garam secukup rasa. Kacau sama rata dengan perlahan dan berhati-hati supaya ketulan isi ikan tak pecah/ hancur.
8. Apabila ikan telah masak (jangan terlalu kerap kacau masakan ini supaya isinya tak pecah). Masukan bendi dan cili hijau, dan tutup api dapur. Kari ikan bawal emas telah sedia untuk hidang. Tutup bekas hidangan dengan penutup supaya bau haruman rempah kari tidak terbebas. Buka Tudung bekas hidang kari ini hanya semasa makan. kari yang sedap boleh ditentukan dengan bau harum kari akan menusuk hidung kita apabila dibuka tudung penutup bekas kari ikan itu.Selamat mencuba!.


*Tips Membasuh Ikan Bawal Supaya Tidak Hanyir Daripada Mamak Roslan Mohammad

Basuh ketulan ikan bawal terutamanya ambil kira basuh bekas darah ikan yang terdapat di tulang tengah. Kepala ikan bawal perlu dibasuh dengan membuang segala sisa darah dan insang. Sisa-sisa darah ikan ini menyebabkan kehanyiran dan juga memberi kesan kepada warna kari ikan menjadi kehitaman. Ketulan ikan yang telah dibersihkan perlu diperamkan dengan dua sudu garam dan 1 sudu besar asam jawa untuk menghilangkan bahan kimia atau pun lendir ikan yang akan menghanyirkan ikan tersebut selama 30-45 minit. Basuh kembali ketulan tersebut dengan air bersih. Ketulan ikan ini sedia untuk masak.


Kari ikan bawal emas di dalam periuk, siap untuk dihidangkan.

13 Ogos 2013

Biskut Arab Susu





Resepi  mudah yang memang menjadi kesukaan keluarga. Tak kira tua ataupun yang muda.  Tak kira hari raya ke... hari biasa ke.... kalau rasa rajin,  boleh buat.  Tapi make sure bahan utamanya iaitu minyak sapi ada. Kesedapan dan kelemakan biskut arab ini adalah bergantung kepada jenama minyak sapi yang digunakan.  Caranya mudah aje, bancuh dan gentel bulat je, kemudian bakar dan salut dengan susu. Memang mudah sangat.  Tapi ada juga yang bancuh terkeras disebabkan kekurangan penggunaan minyak sapi semasa menguli. Berdasarkan pengalaman Kak Noor, untuk 1 kg. tepung gandum, kita menggunakan habis 1 tin minyak sapi (400 gm), kemudian ditambah  lagi minyak sapi sehingga tepung boleh digentel. 






Bahan-bahannya:
1 kg. tepung  gandum
300 gm gula ising
420 gm minyak sapi  - dicairkan dahulu di atas dapur menggunakan api yang kecil
Susu tepung lemak berkrim secukupnya untuk menyalut biskut (cadangan susu tepung Everyday atau Nespray).

Cara membuatnya:
1.  Ayak tepung gandum dan kemudian masukkan tepung gandum dan gula ising ke dalam mangkuk adunan.  Gaul rata.
2.  Masukkan minyak sapi sedikit demi sedikit.  Gaul rata dan uli hingga menjadi doh yang lembut dan boleh dikepal dan digentel.  Tambahkan lagi minyak sapi sekiranya adunan masih keras.
3.  Gentel bulat-bulat dan bakar mengikut suhu oven masing-masing (antara suhu 160 - 180C, 20 - 30 minit)
4.  Setelah biskut masak, angkat dan biarkan ia suam seketika.  Kemudian digolekkan dengan susu tepung lemak berkrim.
5. Kemudian letakkan dalam paper cup jika suka ataupun dihidangkan tanpa paper cup.

Biskut Sarang Semut

Assalamualaikum semua...

Mesti semua tertanya-tanya kenapa Kak Noor poskan biskut raya ini sedangkan raya pun sudah.  Tak sempat buat kuih raya ke....ataupun dah habis biskut raya dan terpaksa buat semula.  Ataupun... ada orang order untuk open house?  Rajin sungguhlah Kak Noor kalau buat biskut raya selepas raya....!?  Bahan-bahan biskut raya pun masih berbaki lagi, tunggu hari raya haji kot baru buat.






Sebenarnya, Biskut Sarang Semut ini Kak Noor buat untuk hari raya, tapi tak sempat nak upload disebabkan kesuntukan masa.  Everyday busy..... So hari ini Kak Noor uploadkan untuk dikongsi bersama walaupun mungkin dah `basi'.  Ye le.. kita pun dah raya.  Siapalah.... yang `rajin' nak buat kuih raya lagi? Semua perkakas telah dibasuh dan disimpan rapi.  Next year baru dibuka harta karun ini semula.  Tapi... sayang pula kalau tak upload, nanti susah pula nak refer pada masa akan datang; mencari resepi dan godek sana sini.  Ingat lagi pesan bonda Kak Noor, kalau resepi itu menjadi dan sedap,  kita ikut resepi itu sahaja. tak payah cuba resepi lain.  Tak semua resepi itu menjadi tau!




Biskut Sarang Semut ini memang tak pernah lapok dek zaman.  Semasa Kak Noor kanak-kanak,  boleh dikatakan semua rumah yang Kak Noor bertandang ada biskut ini.  Kalau bukan Biskut Sarang Semut, mesti Biskut Sarang Burung; adik-beradik le...  Kalau biskut sarang burung, diletakkan jem di atas pastri dan diletakkan pula sebutir kacang. Nampaklah seakan-akan sarang burung.  Nanti next time Kak Noor cuba buat Biskut Sarang Burung pulak.

Resepi ini Kak Noor ambil dari You Tube - Video Try Masak.  Memang mudah penyediaannya.  Kalau tengok video lagi bertambah yakin kita membuatnya.  

Bagi memudahkan/mempercepatkan parutan doh, Kak Noor gunakan blender yang sedia ada.  Terlebih dahulu golekkan doh memanjang, balut dengan plastik dan letakkan dalam freezer untuk mengeraskan doh. Lebih kurang 15 - 20 minit doh telah ready untuk diparut. 


Bahan-bahannya:
200 gram gula kastor
200 gram mentega - Kak Noor guna buttercup
350 gram tepung kastard
50 gram tepung gandum
1 biji kuning telur
Coklat coloured rice untuk hiasan

Cara-caranya:
Mula-mula pukul gula dan mentega sehingga kembang.
Masukkan kuning telur dan gaul lagi sehingga rata.
Kemudian masukkan tepung kastard sedikit demi sedikit serta tepung gandum.
Uli menjadi doh bulat dan simpan di dalam peti sejuk untuk mengeraskan doh.
Apabila telah keras, parut doh ke dalam bekas (mangkuk kertas) dan tabur coklat rice sebagai hiasan.
Bakar pada suhu 150C selama 10 minit atau sehingga masak, bergantung kepada oven yang digunakan.

Daging Rusa Kicap Berempah



Malam-malam begini terasa lapar pula.  Lauk sambal tumis telur yang dimasak oleh anakanda siang tadi telah habis.  Pagi tadi ingat nak masak daging rusa yang Kak Noor beli daripada MARDI sebelum hari raya lagi; dah siap basuh dan potong daging rusa.  Tetapi disebabkan kurang mood kerana tidak sihat, masukkan balik di dalam freezer.   Sebenarnya terfikir juga nak masak apa dengan daging rusa ini sebab tak pernah beli dan tak pernah makan pun.  Ada rakan yang bekerja di MARDI ambil order, so pakatlah member-member sepejabat order daging rusa ini.  Sekilo RM35.00.


Puas jugalah godek internet mencari resepi-resepi yang bersesuaian dengan daging rusa ini.   Nak masak rendang, baru sahaja makan rendang daging semasa balik ke rumah bonda di Bukit Mertajam.  So anak perempuan Kak Noor suggest masak kicap aje... ringkas sahaja katanya.  Idea yang bagus juga tu!  Lagipun bahan-bahan yang diperlukan semua ada.  Kalau masak kicap ini, Kak Noor lebih suka yang ada rempah sikit.  Baru terasa pedasnya.


Daging rusa tidak mengambil masa yang lama untuk empuk jika dibandingkan dengan daging lembu.


Bahan-bahannya:
1 kg. daging rusa
2 labu bawang besar - dipotong gegelang
1 biji tomato - dibelah wedges
1 biji cili merah - dihiris
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar kicap pekat manis - Kak Noor guna jenama ABC
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil jus lemon (kalau tak ada, guna cuka)
Minyak untuk menumis
Garam dan serbuk perasa

Bahan-bahan A:
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih

Bahan-bahan B (disatukan dan dikisar):
1 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia

Bahan-bahan C (disatukan dan dibancuh dengan air, dijadikan pes):
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk rempah kurma


Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan A sehingga naik bau diikuti dengan bahan B.  Tumis sehingga bawang bertukar kekuningan.
2.  Masukkan bahan C, sedikit air dan kacau.  Biar masak di atas dapur sehingga rempah terbit minyak.
3.  Setelah terbit minyak, masukkan sos tiram dan kicap cair.  Kacau dan masukkan daging rusa.  Tambah air secukupnya dan masak sehingga daging rusa empuk.
4.  Selepas daging empuk, masukkan kicap pekat manis, gula perang, garam, serbuk perasa, dan jus lemon. Kacau rata.  Sekiranya mahukan kuah yang lebih, boleh tambah sedikit air lagi; bergantung kepada citarasa masing-masing.
5.  Akhir sekali masukkan bawang besar, tomato, dan cili merah.  Kaupbalikkan dan biarkan 2 - 3 minit di atas dapur.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan.
6.  Semasa menghidang, boleh tabur daun sup/daun bawang atau hirisan daun salad.

First time Kak Noor cuba masak daging rusa kicap berempah ini, memang sedap. Dagingnya pun lembut.

SELAMAT MENCUBA...

12 Ogos 2013

Kupang Masak Lemak Cili Padi





Bahan-bahannya:
1 kg. kupang
350 gm santan sawit KHALIS atau santan kelapa
2 batang serai dititik
2 keping asam gelugor (asam keeping)
1 kiub pati ayam
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar lumat:
2 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
1 inci halia
5 biji cili padi merah
5 biji cili padi hijau
1 biji cili merah
5 gm belacan
Air secukupnya

Cara-cara memasak:
1. Basuh kupang sehingga bersih. Masukkan kupang bersama-sama serai dan bahan yang telah dikisar lumat di dalam periuk. Rebus sehingga mendidih. Kacau rata.
2. Masukkan Khalis Santan Sawit. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah ditambah air. Masukkan kiub pati ayam, asam keping, dan garam secukupnya.
3. Selepas itu bolehlah dimasukkan kupang dan kacau rata. Masak sehingga kuah mendidih dan kupang masak.
4. Siap dan boleh dihidangkan.

1 Ogos 2013

Daging Masak Kicap Kerisek



Bahan-bahan A:
600 gram isi daging – dipotong 2 inci lebar
2 sudu besar kerisek
1 batang serai – dititik
3 biji bawang merah – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
1 tangkai daun kari – dilurut daunnya
Daun sup dan daun bawang
2 – 3 helai daun limau purut – opsyen
Garam dan gula putih secukup rasa.
Minyak secukupnya untuk menumis.

Bahan-bahan B (dikisar halus menggunakan blender basah):
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya

Bahan-bahan C:
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk kurma
1 sudu kecil rempah daging
1 sudu kecil serbuk lada hitam
3 sudu besar kicap ABC
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula perang

Cara-cara memasak:
1. Daging diperap bersama bahan B dan bahan C selama lebih kurang 20 – 30 minit.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis serai yang dititik bersama daun kari, kemudian diikuti dengan bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga bawang kekuningan dan naik bau.
3. Kemudian masukkan daging yang diperap tadi dan kacau rata. Masukkan air secukupnya dan masak sehingga daging empuk. Sekiranya mahukan kuah lebih, boleh ditambah air lagi.
4.  Selepas daging empuk, perasakan dengan garam dan gula. Masukkan kerisek dan kacau rata.
5.    Perlahankan api dan biarkan ia mereneh di atas dapur seketika.
6.   Akhir sekali masukkan daun sup dan daun bawang, dan daun limau purut.  Kacau sehingga semua bergaul rata, dan bolehlah ditutup api.



Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang