Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

26 November 2013

AYAM MASAK MERAH MAMAK PENANG, ADA KELAINAN CITARASANYA...

ASSALAMUALAIKUM..


Pagi tadi sempat masak Ayam Masak Merah Mamak Penang untuk keluarga sebelum pergi kerja. Biasalah kalau masakan mamak, rujukan Kak Noor ialah blog Mamak Haji Roslan (MHR). Selalunya Kak Noor masak Ayam Masak Merah aje, tak ada mamak Penang kat belakang.  Ayam Masak Merah ni memang favourite keluarga Kak Noor. Tetapi hari ini nak cuba cara masakan MHR pula. Bila tengok bahan-bahan yang digunakan seperti lobak merah yang dikisar bersama cili dan tomato, badam kisar, dan juga bahan-bahan rempah seperti jintan manis, jintan putih, garam masala, dan kas-kas dalam masakan ini, sudah tentu ia menjanjikan suatu citarasa yang berlainan daripada ayam masak merah yang pernah Kak Noor masak sebelum ini.


Tengok gambar pun dah rasa lapar.  Sedapnye.... sehingga menjilat jari.  Tak kisah le.. boleh makan bersama nasi putih, nasi tomato, nasi beriani ataupun nasi minyak.  Nak makan bersama nasi lemak pun boleh.  Menyelerakan.  Kak Noor suka makan lauk ini bersama nasi panas dan taruh kicap manis sedikit.  Kemudian nasi digaul bersama sambal ayam dan kicap.  Laju aje... makan.  Bila makan cara ini, terkenang zaman kanak-kanak dulu.  Beginilah cara makannya.  Kicap dan sambal memang tak boleh dipisahkan.  Tak cukup satu pinggan nasi, mesti bertambah.

 
Tak sempat nak hias, sebab kesuntukan masa pada waktu pagi. Sempat snap gambar aje...

Bagi peminat-peminat masakan Mamak Haji, Kak Noor berikan juga link blog beliau.   Terima kasih ye MHR, kerana sudi berkongsi resepi yang enak ini. Jom kita tengok cara-cara menyediakan ayam masak merah mamak Penang. 


AYAM MASAK MERAH MAMAK PENANG
Dicedok dari Dapur  Mamak Haji Roslan
Bahan-bahannya:
1 ekor ayam (1.6 – 1.8kg). Bersihkan. Potong 12 bahagian.
½ tin (bersaiz 225gm) “Kimball Sup Tomato”
½ tin susu cair/sejat
100 gm santan pekat
2 sudu besar tomato puri 
1 helai daun pandan dipotong 2″ panjang untuk tumis bersama
3 biji bawang besar - dihiris memanjang (cara nasi kandar).
2 batang kayu manis berukuran 2 inci panjang
3 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga untuk menumis
5 kuntum bunga cengkih
1 batang serai - diketuk
1 senduk minyak masak untuk menumis dan minyak yang secukup untuk mengoreng ketulan ayam
1 kiub ayam - (menggantikan serbuk perasa)
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil kas-kas 
1 sudu kecil garam masala (siap beli di kedai)
100 gm santan pekat
2 sudu besar madu - (Kak Noor tambah)
Gula dan garam secukup rasa

Bahan-bahan A: Disatukan dan dikisar 
1 biji bawang labu besar
1 inci halia
5 ulas bawang putih

Bahan-bahan B: Disatukan dan dikisar
15 tangkai cili kering - direbus, dibersihkan dan dikisar
1 batang lobak merah sederhana besar.
1 biji tomato

Bahan C: Dikisar
100 gm biji badam direndam air panas dan dikisar halus

Cara-cara Menyediakannya:
1. Bersihkan ketulan ayam. Gaulkan dengan garam dan serbuk kunyit. Gorengkan ketulan ayam itu sehingga 3/ 4 masak sahaja. Ayam gorengan yang keras menjadi keras dan sukarkan rempah menyalutinya. Sekiranya menggunakan ayam kampung adalah disyorkan tidak perlu digoreng.

2. Panaskan kuali dan masukan minyak masak (minyak berlebihan gorengan ayam tadi boleh digunakan). Masukkan kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih, serai dan daun pandan. Apabila bau harum mula dikeluarkan, masukkan hirisan bawang besar. Tumis sehingga keluar bau yang harum dan hirisan bawang akan bertukar warna keemasan (jangan hangus).

3. Masukan kisaran Bahan A, tumis seketika hingga naik baunya, masukkan kisaran Bahan B, dan juga Bahan C. Masukkan sup tomato dan tomato puri dan juga susu sejat. Tumiskan sehingga bahan gorengan ini keluarkan bau haruman dengan api yang perlahan (ini amat mustahak supaya kuah ayam masak merah tidak berbuih semasa dihidangkan).

4. Masukkan serbuk jintan putih, jintan manis, garam masala dan serbuk kas-kas. Anda perlu adunkan sedikit untuk jadikannya pes supaya serbuk tidak menjadi ketulan terapung. 

5. Bila kuah pecah minyak, masukkan 100 gm santan pekat.

6. Masukkan gula, kiub ayam, dan garam secukup rasa.

7. Biarkan sebatian mendidih. Masukkan ketulan ayam yang telah digoreng bersama madu. Kacau rata kuah supaya tidak hangus dan kuahnya sebati dengan ketulan ayam. Kecilkan api apabila kuah mendidih (biasanya 15 minit – 20 minit sudah memadai).

8. Apabila kuah pecah minyak, bolehlah dikeluarkan untuk hidangan. Hidangkan dengan daun pudina dan bawang goreng (siap) di atas hidangan bagi menambahkan lagi bau yang harum.


Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang