Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

8 Oktober 2013

IKAN KERING TALANG MASAK KARI CAMPUR KENTANG (TUMIS DARAT)

ASSALAMUALAIKUM...


Hmm... hari ni masak kari tumis darat lagi.  Dan...bahan utamanya ialah ikan kering talang.  Hm... sedap tu kari ikan kering talang tumis darat.  Kecur air liur.  Resepi ini memang tak asing lagi bagi orang-orang sebelah Utara, terutamanya di kampung-kampung di mana mereka bersama-sama bergotong royong memasak kari ikan kering talang ini, dicampur dengan ubi kentang atau nanas, atau kedua-duanya sekali.



Kuahnya jangan terlampau pekat, dan jangan terlampau cair


Salah satu daripada menu sampingan, ikan cencaru sambal belah belakang 


Kebiasaannya  menu ini dihidangkan untuk majlis keramaian secara kecil-kecilan seperti majlis doa selamat dan majlis bertunang.  Ada juga yang menjadikannya sebagai menu untuk majlis kenduri kahwin. Dihidangkan pula dengan lauk-pauk kampung yang lain seperti ikan sambal belah belakang, sambal tumis udang petai, sambal belacan, dan ulam-ulaman bersama nasi putih.  Hai...  bertambah berseleralah para jemputan yang hadir.  Bagi tuan rumah, kalau telah disediakan menu seperti ini, kenalah masak extra nasi dan lauk, takut tak cukup pulak nanti!



Bila isi dah habis, kuahnya sedap dicicah roti/roti bakar.


Tetapi ada juga orang yang mengalami alahan bila memakan ikan kering talang ini walaupun isinya lazat. Mereka kurang berminat untuk memakannya kerana dikhuatiri menimbulkan pelbagai penyakit, terutamanya menyebabkan gatal seluruh badan setelah memakannya. Tetapi bagi Kak Noor dan famili ok pulak.  Tak ada pun gatal-gatal.  Mungkin dah biasa memakan ikan kering talang ini sejak kecil maka telah `immune' dengannya. Alah bisa, tegal biasa.  Bagi mereka yang pernah mengalami alahan selepas memakan ikan kering talang ini,  Kak Noor ada selitkan satu artikel mengenai `Cara elak alah ikan talang'.  Kak Noor terbaca mengenai artikel itu di SINI.  Bagi mereka yang sedia alah dengan ikan kering talang ini bolehlah ditukar kepada ikan kering kurau atau ikan kering merah.


Bahan-bahannya:
450 gram isi ikan kering talang – dipotong kecil (anggaran 2 inci)
4 biji ubi kentang saiz besar – dikupas kulit dan dibelah dua
1 cawan santan kelapa sawit KHALIS – dicampur dengan 3 cawan air
1 sudu besar pes asam jawa Xtra ADABI – dibancuh dengan ½ cawan air
2 biji cili hijau - dibelah tengah, tapi tidak putus
1 biji tomato - dibelah 4
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan Dikisar Lumat:
70 gram rempah kari ikan dan udang pedas BABAS
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan-bahan Tumis Darat:
1 senduk nasi minyak masak
4 ulas bawang merah (bawang kecil) – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia – dihiris mancis
1 sudu besar halba campur
2 tangkai daun kari – dilurut daunnya

Cara-cara Membuatnya:

1. Rendam isi ikan kering talang di dalam air bersama 1 sudu kecil garam selama ½ jam supaya masinnya hilang. Kemudian dibasuh dan ditoskan.

2. Masukkan isi kering talang di dalam periuk bersama bahan-bahan kisar. Sekiranya pes agak pekat, boleh tambahkan air. Masak sehingga kuah mendidih.

3. Selepas itu masukkan santan, diikuti dengan bancuhan air asam jawa. Kacau dan masukkan pula ubi kentang. Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuah mendidih.

4. Setelah kuah cukup rasa bolehlah ditutup api dan ketepikan.  Masukkan cili hijau dan buah tomato.

5. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumis darat sehingga kekuningan dan naik bau. Curahkan bahan tumisan ini di dalam periuk kari tadi dan tutup periuk supaya aroma wanginya tidak keluar.

6. Sebelum menghidang, kacau dulu kuahnya supaya bercampur mesra dengan bahan tumisan.

Selamat mencuba.. 
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang