Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

13 Ogos 2013

Daging Rusa Kicap Berempah



Malam-malam begini terasa lapar pula.  Lauk sambal tumis telur yang dimasak oleh anakanda siang tadi telah habis.  Pagi tadi ingat nak masak daging rusa yang Kak Noor beli daripada MARDI sebelum hari raya lagi; dah siap basuh dan potong daging rusa.  Tetapi disebabkan kurang mood kerana tidak sihat, masukkan balik di dalam freezer.   Sebenarnya terfikir juga nak masak apa dengan daging rusa ini sebab tak pernah beli dan tak pernah makan pun.  Ada rakan yang bekerja di MARDI ambil order, so pakatlah member-member sepejabat order daging rusa ini.  Sekilo RM35.00.


Puas jugalah godek internet mencari resepi-resepi yang bersesuaian dengan daging rusa ini.   Nak masak rendang, baru sahaja makan rendang daging semasa balik ke rumah bonda di Bukit Mertajam.  So anak perempuan Kak Noor suggest masak kicap aje... ringkas sahaja katanya.  Idea yang bagus juga tu!  Lagipun bahan-bahan yang diperlukan semua ada.  Kalau masak kicap ini, Kak Noor lebih suka yang ada rempah sikit.  Baru terasa pedasnya.


Daging rusa tidak mengambil masa yang lama untuk empuk jika dibandingkan dengan daging lembu.


Bahan-bahannya:
1 kg. daging rusa
2 labu bawang besar - dipotong gegelang
1 biji tomato - dibelah wedges
1 biji cili merah - dihiris
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar kicap pekat manis - Kak Noor guna jenama ABC
2 sudu besar gula perang
1 sudu kecil jus lemon (kalau tak ada, guna cuka)
Minyak untuk menumis
Garam dan serbuk perasa

Bahan-bahan A:
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih

Bahan-bahan B (disatukan dan dikisar):
1 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia

Bahan-bahan C (disatukan dan dibancuh dengan air, dijadikan pes):
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar serbuk rempah kurma


Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bahan A sehingga naik bau diikuti dengan bahan B.  Tumis sehingga bawang bertukar kekuningan.
2.  Masukkan bahan C, sedikit air dan kacau.  Biar masak di atas dapur sehingga rempah terbit minyak.
3.  Setelah terbit minyak, masukkan sos tiram dan kicap cair.  Kacau dan masukkan daging rusa.  Tambah air secukupnya dan masak sehingga daging rusa empuk.
4.  Selepas daging empuk, masukkan kicap pekat manis, gula perang, garam, serbuk perasa, dan jus lemon. Kacau rata.  Sekiranya mahukan kuah yang lebih, boleh tambah sedikit air lagi; bergantung kepada citarasa masing-masing.
5.  Akhir sekali masukkan bawang besar, tomato, dan cili merah.  Kaupbalikkan dan biarkan 2 - 3 minit di atas dapur.  Tutup api dan bolehlah dihidangkan.
6.  Semasa menghidang, boleh tabur daun sup/daun bawang atau hirisan daun salad.

First time Kak Noor cuba masak daging rusa kicap berempah ini, memang sedap. Dagingnya pun lembut.

SELAMAT MENCUBA...
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang