Pengikut

2 November 2012

NASI BERIANI AYAM

Malam ini baru terluang masa untuk memuatkan resepi nasi beriani ayam yang Kak Noor jadikan sebagai hidangan keluarga pada hari kedua, Hari Raya Aidil Adha. Memang banyak sekali persediaan bahan yang diperlukan; dari bahan-bahan untuk memasak lauk beriani ayam sehinggalah bahan-bahan untuk memasak nasi beriani ayam.  Kak Noor pernah beberapa kali memasak nasi beriani  menggunakan resepi Mamak Roslan yang cukup terkenal dengan masakan nasi dan lauk kandarnya, di mana resepi yang digunakan agak mudah diikuti dan tidak banyak method yang digunakan.   Tetapi kali ini Kak Noor telah mencabar diri sendiri untuk memasak nasi beriani ayam cara masakan India.  Jika suatu ketika kita pernah makan nasi beriani dan lauknya secara berasingan, tetapi kali ini nasi dan lauk akhirnya disatukan bersama di dalam periuk  (2+1) dan dijadikan Nasi Beriani Ayam.




Apa yang pasti, antara bahan yang digunakan ialah daun pudina.  Daun pudina digunakan untuk menyediakan lauk beriani ayam dan juga nasi beriani ayam.  Daun pudina pula perlu dicincang dan dimasukkan di dalam masakan dan bukan ditabur di atas nasi atau lauk sebagai hiasan.  Bila melihat kepada bahan-bahan yang digunakan, Kak Noor dapat rasakan kelainan rasanya  daripada nasi beriani yang pernah Kak Noor masak sebelum ini.




Oh... nak tahu di mana Kak Noor dapat resepi ini?  Seperti yang pernah Kak Noor nyatakan dalam N3 terdahulu iaitu dua minggu sebelum raya, Kak Noor telah blogwalking mencari resepi-resepi yang dapat memenuhi citarasa keluarga di hari raya.  Blog yang Kak Noor temui ini memang ada kelainannya kerana empunya blog adalah seorang yang berbangsa India.  Banyak sekali masakan India yang menjadi favourite makanan orang Melayu dimuatkan di sini.  Walaupun beliau berbangsa India, tetapi bahasa perantaraan yang digunakan adalah Bahasa Malaysia (Cintailah Bahasa Kita).  Di sinilah Kak Noor memperolehi resepi nasi beriani ini.  Sebenarnya resepi asal ialah Nasi Beriani Udang. Tetapi memandangkan sejak akhir-akhir ini Kak Noor amat alah pada makanan seafood seperti udang dan sotong (muka jadi gatal dan kemerah-merahan), maka Kak Noor gantikannya dengan ayam.  So bertukarlah nama kepada Nasi Beriani Ayam.  Bahan-bahan lain tetap maintain, hanya lauk sahaja yang ditukar tau!  Bagi yang berminat dengan masakan India bolehlah jelajah blog saudara Thyaga Rajan yang berjudul Daun Kari Masakan Malaysia


Dihidang bersama acar sayur (timun dan lobak merah)

Bagaimana hasilnya?  Emm.... ikhlas Kak Noor katakan ia tidak 100%  memenuhi piawaian.  Kenapa ye..? adakah disebabkan menu itu tidak sedap atau adakah Kak Noor terlupa untuk memasukkan bahan-bahan yang sepatutnya: No...no...no... dah penat seharian di dapur ni mak oooi... ,  dan mestilah dah cuba untuk melakukan yang paling terbaik bagi mendapatkan hasil yang paling terbaik.    Tapi itulah...... kejadian nasi yang tidak berapa memuaskan hati Kak Noor.  Kebiasaannya bila digunakan beras basmathi untuk memasak nasi beriani, nasi yang telah masak akan berderai.  Pada firasat Kak Noor mungkin disebabkan beras basmathi yang digunakan adalah beras basmathi yang dibeli cara timbang (yang di dalam guni tu...)  Kebiasaannya Kak Noor beli beras basmathi Faiza.  Anak Kak Noor yang sulung juga dapat mengesan kelainan rasa nasi antara  beras  basmathi  Faiza dan beras basmathi yang dibeli cara timbang apabila telah dimasak.  Katanya beras basmathi yang dulu sedap lagi lah bu!  Tetapi tak apelah, bukan tak sedap sangat pun.... dan bukan tidak boleh dimakan...., cuma ada sedikit kureng aje..!

Ok, tak nak cerita panjang-panjang lagi.  Nanti jemu pula....  mukadimmah dah berkoyan-koyan, tetapi resepi tak muncul-muncul lagi.  Jom kita tengok...


Resepi diolah oleh:  Kak Noor, Sajian Dapur Bonda
Resepi Asal:  Nasi Beriani Udang oleh Thyaga Rajan

Sebelum memasak nasinya, kita perlu memasak lauk beriani ayam dulu.

BERIANI AYAM

Bahan-bahannya:
1.8 kg isi ayam - Kak Noor guna dada
1/2 cawan yoghurt
7 sudu besar minyak sapi
5 biji buah tomato saiz sederhana - dicincang
2 sudu teh serbuk cili
2 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh serbuk jintan manis
100gm daun pudina - dicincang
Daun ketumbar 
Serbuk perasa
2 sudu besar gula pasir
Garam secukup rasa

Bahan blend dengan 1/2 cawan air:
4 cm halia
10 ulas bawang putih
5 tangkai cili merah
9 tangkai cili hijau
1 biji bawang besar
1 sudu besar bawang merah

Bahan tumis:
2 batang kayu kulit manis
4  biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
1 biji bawang besar - dimayang

Cara-cara membuatnya:
1. Panaskan minyak sapi di dalam kuali besar.  Masukkan bahan tumis dan tumis hingga naik wangi dan bawang bertukar kekuningan.
2. Masukkan bahan yang telah diblend, tomato, serbuk cili, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, yoghurt, stok ayam dan 1/2 cawan air.  Kacau rata biar sampai pekat dan naik minyak. Masukkan daun pudina, dan kacau rata.
3. Akhir sekali masukkan ayam dan tambahkan sedikit air lagi.  Perasakan dengan garam dan gula.  Masak sehingga ayam empuk dan kuah kembali pekat. Tutup api, taburkan daun ketumbar dan kaup balikkan ayam.  Ketepikan.


Lauk beriani ayam  telah masak, ketepikan seketika untuk dimasukkan ke dalam nasi beriani





NASI BERIANI

Bahan-bahannya:
6 cawan beras basmathi
3 sudu besar minyak sapi
100gm daun pudina - dicincang
100gm daun ketumbar - dicincang
100gm gajus
100gm kismis
1/2 cawan yogurt
1 sudu besar serbuk rempah beriani cap Babas, dibancuh dengan sedikit air
6 cawan air
Garam secukup rasa 
Gula secukup rasa
2 kiub stok ayam
1 tin kacang peas

Bahan Tumis:
2 kuntum bunga lawang
2 batang kayu kulit manis
4 biji buah pelaga


Penyediaannya:
1.  Basuh beras dengan air hanya dua kali sahaja. Kekerapan membasuh akan menyebabkan nasi kembang dan pecah.  Selepas dibasuh, rendam 1/2 jam di dalam air biasa.  Boleh juga rendam beras 5 - 7 minit di dalam air panas dan toskan segera akan membawa hasil nasi yang berderai cantik.  Tos menggunakan penapis.
2. Panaskan periuk nasi elektrik di atas dapur gas dan panaskan minyak sapi.  Masukkan bahan tumis, biji gajus dan kismis, diikuti dengan bancuhan rempah beriani.   Adunkan semua rempah ini dan jangan sampai rempah hangus. 
3.  Apabila tumisan telah mengeluarkan bau haruman dan pecah minyak, segera masukkan air yang telah disukat, diikuti dengan yogurt, daun pudina, dan daun ketumbar.  Masukkan kiub stok ayam, gula, dan garam secukup rasa.  Tutup tudung periuk dan tunggu sehingga air mendidih.
4.  Letak periuk elektrik kembali ke dalam bekasnya.  Masukkan beras yang telah ditos ke dalam periuk, kacau,  dan masak dengan elektrik sampai nasi masak.
5.  Kacau nasi sehingga rata.  Di dalam periuk yang lain, ambil 2 - 3 senduk nasi dan ratakan di dalamnya. Ambil ayam beriani dan letak atas nasi satu persatu.  Curahkah sedikit kuah di atas nasi.  Taburkan dengan kacang peas.  Buat lapis macam ini sampai habis nasi dan ayam.  Tutup periuk dan panaskan di atas dapur kembali dengan api yang perlahan lebih kurang 15 minit.  Kemudian bolehlah ditutup api dan biarkan selama sejam, baru dihidangkan. 
6.  Semasa menghidang bolehlah ditaburkan  lagi kacang peas dan buah gajus.

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...