Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

27 Julai 2012

KOAY TEOW GORENG UDANG



Assalamualaikum.... syukur kepada Allah kerana dengan keizinanNYA dapat lagi Kak Noor memuatkan resepi untuk tatapan semua pada bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.  Hari ini ialah hari kelapan umat Islam berpuasa. Syukur Alhamdulillah.... masih dipanjangkan umur untuk menunaikan ibadah rukun Islam yang ketiga.

Hujung minggu begini bolehlah santai sedikit sebab cuti.  Tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan segera masih boleh ditangguhkan. Tidak perlu tergesa-gesa dan `membanting tulang" sebab esok masih cuti.  Anak-anak pun selepas sahur  dan menunaikan solat Subuh terus menyambung tidur mereka.  Bolehlah bangun lewat sebab tidak bersekolah.

Apa menu untuk berbuka puasa hari ini ye?  Rasanya tak berselera sangat nak makan nasi.  Semalam selain menghidang nasi, Kak Noor sempat juga menggoreng mee mamak.  Sebungkus mee aje.... sebab tak ramai orang kat rumah.  Tahun ini tiga orang anak Kak Noor berpuasa di `perantauan'.  Bila masak tu... teringat kat dia orang, dan berkata-kata hati seorang ibu  `apalah yang dia orang makan masa buka puasa dan sahur nanti'.  Kalau di rumah semua ibu yang menyediakannya.  Masa sahur, ibu yang membangunkan mereka.... wajib bangun walaupun mata masih pejam semasa mengadap juadah sahur.  Apabila telah tinggal jauh dari keluarga, rasanya sahur pun tak bangun.  Kasihan anak-anak ibu....Disebabkan inilah Kak Noor hanya memasak ala kadar sahaja. Setiap kali bersahur atau berbuka, mesti teringat anak-anak... Itulah hati nurani seorang ibu.




Rasanya hari ini Kak Noor nak masak koay teow goreng aje.  Pagi tadi hubby ada beli koay teow dua bungkus.  Walaupun tak ramai orang di rumah, Kak Noor masak dua bungkus sekali sebab nak balas pinggan jiran yang hantar kuih.  Tak elok hantar balik pinggan kosong aje....tak manis orang tua-tua kata. Adat Melayu senantiasa dijaga....

Jom kita tengok resepi koay teow goreng udang sajian Kak Noor.

Bahan-bahannya:
2 bungkus koay teow - Kak Noor guna cap Laksamana 
10 ekor udang saiz sederhana
50 sen taugeh
2 ulas bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dititik
1 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
Garam, gula, dan serbuk perasa
Minyak secukupnya untuk menumis
Hiasan: Salad, timun, dan cili merah

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak secukup di dalam kuali.  Tumis bawang merah, bawang putih sehingga kekuningan dan layu. 
2.  Kemudian masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga garing.  Masukkan air secukupnya, diikuti dengan sos tiram, sos ikan, sos cili, sos tomato, garam, gula, dan serbuk perasa. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih (kalau nak koay teow goreng tu basah, lebihkan air).  
3.  Selepas itu masukkan udang dan biarkan di atas dapur sehingga udang masak.
4.  Masukkan koay teow dan kaup balikkan sehingga semuanya sebati.
5.  Akhir sekali masukkan taugeh dan kacau lagi. Bila telah sebati, terus angkat.  Jangan sampai taugeh layu.
6. Semasa menghidang bolehlah dihiaskan dengan salad, cili hidup, dan timun.

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang