Iklan Nuffnang

Iklan Nuffnang

12 Jun 2012

KARI BEBOLA AYAM DAN UDANG BERSAYUR



Kari bebola ayam dan udang bersayur ini adalah hasil eksperimen Kak Noor sendiri dengan mengkombinasikan bahan-bahan seperti bebola ayam, udang, dan sayur-sayuran.   Selain sedap dimakan bersama nasi, ia juga sedap dimakan dengan mee .  Dalam erti kata lain kuahnya sesedap kuah mee kari yang pernah kita makan. Pertama kali mencuba resepi ini, hasilnya memang memuaskan hati dan  menepati citarasa.  Kalau nak cuba masak, boleh gunakan resepi di bawah sebagai panduan.  Bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan resepi ini adalah terbatas kepada stok yang sedia ada di dalam peti ais Kak Noor pada ketika itu.


Untuk bebola daging ayam, Kak Noor membeli jenama Ayam Dindings (Asli), berat 800 gram, cuma gunakan separuh sahaja iaitu 400 gram.  Penggunaan bebola daging ayam ini sebenarnya tidak terhad kepada 400 gram sahaja, boleh digunakan lebih bergantung kepada citarasa masing-masing.  Begitu juga dengan udang, boleh gunakan udang yang bersaiz besar.  Kalau dapat udang galah bertambah-tambahlah kesedapannya.  Bagi penggunaan rempah, boleh digunakan sama ada rempah kari ikan atau rempah kari udang.  Begitu juga dengan sayur-sayuran, boleh dikurangkan dan boleh ditambah.  Seperti yang Kak Noor katakan, semuanya bergantung kepada citarasa masing-masing.  Santan pula Kak Noor lebih gemar menggunakan santan kelapa sawit kerana pati santannya lebih pekat daripada pati santan kelapa biasa.  Selain menjimatkan, rasanya  lemak dan elok untuk kesihatan iaitu kurang kolestrol.



Try makan dengan mee pulak...walaupun simple tetapi SEDAP!

Bahan-bahannya:
400 gram bebola daging ayam
250 gram udang saiz sederhana
3 sudu besar rempah kari ikan - dibancuh dengan air
4 biji ubi kentang - dipotong sederhana (sekiranya ubi kentang kecil, memadai dibelah dua sahaja, tetapi sekiranya besar, dibelah tiga atau empat)
1 biji lobak merah - dipotong bulat
10-15 batang kacang buncis - dipotong serong
2 biji tomato saiz kecil - sebiji dibelah dua
2 biji cili hijau
Beberapa keping tauhu pok saiz kecil
2 cawan pati pekat santan kelapa sawit - dicampur dengan 5 cawan air (Sekiranya menggunakan santan kelapa, gunakan 3 cawan pati santan dan dicampur dengan 5 cawan air)
Garam, gula, dan serbuk perasa

Bahan-bahan untuk ditumis:
2 biji bawang kecil (bawang merah) - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 pelepah daun kari
Minyak untuk menumis (lebih kurang 3 sudu besar)

Penyediaannya;
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis bawang kecil, bawang putih dan daun kari sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2.  Masukkan rempah dan kacau rata.  Tutup periuk dan masak sehingga rempah terbit minyak.
3.  Setelah terbit minyak, masukkan bebola daging ayam dan gaul rata dengan rempah.  Biarkan ia masak selama 3 minit.
4.  Masukkan santan, ubi kentang, garam, gula, dan serbuk perasa. Masak sehingga ubi kentang empuk dan kuah mendidih.
5.  Selepas itu masukkan lobak merah dan kacang buncis.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih sekali lagi.
6.  Akhir sekali masukkan tauhu pok, cili hijau, dan tomato. Kacau sekali lagi dan tutup api. Taburkan bawang goreng dan tutup periuk.
Catat Ulasan

Iklan Nuffnag

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

Iklan Nuffnang